Author: Bernama

  • Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah

    Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah

    SATU gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter berlaku di Beluran, Sabah pada 8.39 malam tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman tujuh kilometer (km) itu berlaku pada jarak 47km Timur dari Pitas, Sabah.

    Menurut kenyataan itu, gegaran mungkin dirasai di Beluran dan kawasan sekitarnya. – BERNAMA

  • Lori tangki terbalik, asid sulfurik tumpah atas jalan

    Lori tangki terbalik, asid sulfurik tumpah atas jalan

    SEORANG pemandu lori cedera selepas lori tangki membawa muatan asid sulfurik yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Simpang Tiga Pondok Labu, Jalan Sungai Labu, di Bukit Mertajam hari ini.

    Lori yang membawa tujuh buah tong bahan kimia, setiap satu berisi padu 1,500 liter itu, terbalik di bahu jalan dan menyebabkan berlakunya tumpahan asid sulfurik.

    Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Mohd Shariff Md Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4 petang tadi.

    “Sebaik pihak bomba tiba, (kami) mendapati sebuah lori lima tan terbalik dan pemandunya berjaya keluar dari kenderaan itu menyelamatkan diri, namun mengalami kecederaan di kepala.

    “Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Prai turut berada di lokasi kejadian untuk membantu kerana ia melibatkan bahan kimia yang merbahaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mohd Shariff berkata, pemeriksaan awal mendapati dua buah tong mengandungi asid sulfurik telah bocor dan tumpah di tepi jalan dan pihaknya ketika ini sedang memeriksa tong-tong lain sama ada terdapat kebocoran.

    Beliau berkata, sehingga pukul 6.30 petang tadi, operasi membersih dan memindahkan semua tong itu giat dijalankan dengan dibantu syarikat bahan kimia tersebut.

    Katanya, pemandu lori lelaki berusia 50an itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Angin kuat di Ipoh, kenderaan dan khemah peniaga rosak

    Angin kuat di Ipoh, kenderaan dan khemah peniaga rosak

    BEBERAPA kawasan di sekitar bandar raya Ipoh dilanda angin kuat dan hujan lebat petang tadi, sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan khemah peniaga.

    Salah satu insiden terbabit, yang turut tular di media sosial, ialah di kawasan parkir restoran makanan segera di Medan Gopeng yang melibatkan beberapa kenderaan pelbagai jenis.

    Tinjauan Bernama di lokasi tersebut mendapati sebahagian kenderaan telah ditunda ke bengkel dengan trak tunda.

    Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Husna, 30an, berkata bumbung serta cermin kereta Proton Saga miliknya rosak teruk akibat dihempap pokok.

    Beliau yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi hanya disedari selepas dimaklumkan oleh majikannya.

    “Saya sangat terkejut apabila melihat kenderaan saya telah rosak, apa boleh buat perkara sudah berlaku, saya reda sahaja,” katanya.

    Kira-kira 10 kilometer dari kawasan itu, beberapa buah khemah peniaga ranap di hadapan sebuah stesen minyak di Desa Aman, Pengkalan di sini, setelah dilanda angin kuat dan hujan lebat.

    Dilaporkan beberapa batang pokok turut tumbang di kawasan itu.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pokok tumbang yang berlaku di Gunung Rapat pada pukul 3.53 petang tadi.

    Katanya, sejurus tiba di lokasi pihaknya mendapati sebatang pokok besar telah menimpa lima buah kenderaan, namun kejadian itu tidak melibatkan mangsa.

    Beliau berkata, anggota bomba telah melakukan kerja-kerja memotong dahan pokok menggunakan gergaji rantai serta mengalihkan potongan pokok itu ke tempat yang lebih selamat.

    Operasi yang turut dibantu pihak Majlis Bandaraya Ipoh itu tamat sepenuhnya 5 petang tadi. – BERNAMA

  • Rewcastle-Brown gagal tangguh bicara kes saman Sultanah Terengganu

    Rewcastle-Brown gagal tangguh bicara kes saman Sultanah Terengganu

    EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam buku, The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

    Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menolak permohonan Rewcastle-Brown dengan kos RM5,000.

    “Mahkamah menetapkan 4 April untuk pengurusan kes seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan,” kata peguam itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian.

    Sementara itu, peguam Mervyn Lai yang mewakili Rewcastle-Brown, berkata mahkamah menolak permohonan anak guamnya selepas mendapati permohonan itu akan melucutkan hak plaintif (Sultanah Nur Zahirah) daripada mendengar dan memutuskan kesnya.

    Menurut peguam itu, mahkamah juga memutuskan bahawa tiada keadaan khusus yang mewajarkan penangguhan dan isu utama adalah perkara jenayah masih di peringkat permulaan dan tidak diketahui berapa lama ia akan mengambil masa.

    Berdasarkan notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas pada 13 Dis 2021, Rewcastle-Brown memohon perintah supaya prosiding kes saman itu ditangguhkan, sementara menunggu penyelesaian kes jenayah yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Wanita itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan terdapat persamaan membabitkan isu dan fakta berhubung kedua-dua kes kerana ia berkaitan dengan penerbitan buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”.

    Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, menamakan Rewcastle-Brown; penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin; dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd; selaku defendan pertama hingga ketiga.

    Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

    Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan juga memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.

    Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

    Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB. – BERNAMA

  • [VIDEO] 15 lelaki bersenjata kayu besbol rompak kedai komputer

    [VIDEO] 15 lelaki bersenjata kayu besbol rompak kedai komputer

    POLIS sedang mengesan 15 lelaki dipercayai memecah masuk sebuah premis menjual perkakasan komputer dan melarikan barangan berjumlah RM70,000 di Bandar Damai Perdana, Cheras, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian pada 6 pagi itu, pengawal keselamatan premis yang terletak di tingkat satu lot kedai komputer itu turut diserang suspek dengan menggunakan kayu besbol.

    “Kami menerima laporan mengenai kejadian daripada lelaki berkenaan (pengawal keselamatan) pada 9.35 pagi hari sama.

    “Menurut pengadu (pengawal keselamatan) kenderaannya turut dirosakkan oleh suspek ketika dia cuba menghalang mereka daripada melarikan diri selepas mencuri barangan daripada premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kredit video: Saluran YouTube Sukasuka Saja explore

    (Klik capaian untuk menonton video kejadian rompakan: https://fb.watch/c106pLyvaV/)

    Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis atau Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985 730 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Sebelum ini tular dua video menerusi laman sosial menunjukkan sekumpulan lelaki yang menaiki beberapa kenderaan memecah masuk sebuah premis. – BERNAMA

    (Klik capaian untuk menonton video kejadian rompakan: https://fb.watch/c0-W9KnTBy/)

  • Jangan sebar maklumat peribadi wanita bersama makcik OKU

    Jangan sebar maklumat peribadi wanita bersama makcik OKU

    SEORANG wanita yang video mengenainya tular selepas dilihat bersama warga emas orang kurang upaya (OKU) menaiki motosikal roda tiga dalam cuaca panas terik di Kuala Terengganu, memohon agar semua pihak menghentikan penyebaran maklumat peribadinya.

    Wanita berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Hijrah Soleh itu, berkata dia berasa tidak selesa apabila terlalu ramai menghubunginya untuk menzahirkan simpati dan mahu memberi pelbagai bantuan selepas video serta butiran peribadinya tular di media sosial sejak Sabtu lepas.

    “Alhamdulillah, rakyat Malaysia memang sangat prihatin dan ia terbukti apabila saya ‘dihujani’ terlalu banyak panggilan serta mesej yang mahu menyampaikan pelbagai bentuk bantuan.

    “Namun, dengan rendah hati saya ingin tegaskan bahawa hasil jualan saya masih mampu menampung perbelanjaan dan keperluan hidup setakat ini. Saya lebih gembira jika bantuan tersebut diberikan kepada golongan lebih memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Video tersebut dirakam di Jambatan Angkat di sini, tanpa pengetahuannya dan tersebar di media sosial menyebabkan warganet tersentuh hati menyaksikan warga emas OKU tersebut yang terpaksa berbaring di bahagian tempat meletak barangan motosikal roda tiga tersebut.

    Hijrah Soleh berkata, pelbagai kenyataan tidak tepat dibuat oleh warganet di bahagian komen media sosial tersebut, seperti warga emas OKU itu adalah ibunya yang baru pulang mendapatkan rawatan di hospital, menyebabkan lebih ramai bersimpati dan mahu menghulur bantuan.

    Wanita tersebut menjelaskan bahawa warga emas OKU itu bukanlah ibu kandungnya sebaliknya ibu saudara yang tinggal bersamanya untuk sementara waktu.

    “Saya sangat hargai keprihatinan semua pihak, namun cukuplah sekadar itu, jangan kongsikan lagi maklumat saya seperti nombor telefon dan alamat. Jika mahu membantu, saya lebih suka ia dilakukan dengan cara menyokong perniagaan saya,” katanya yang menjual aiskrim potong dan produk kesihatan di sekitar bandar ini. – BERNAMA

  • Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    PRESTASI tidak memberangsangkan PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tempoh 2020 hingga Mac 2022 menjadi antara agenda utama Kongres Nasional parti itu yang dijangka berlangsung Jun ini.

    Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siri kekalahan itu menuntut pengubahsuaian terhadap strategi, naratif kepada rakyat, latihan jentera pilihan raya dan penggunaan data yang sesuai dengan cabaran pilihan raya semasa.

    “Kita tidak pernah mengamalkan sikap sindrom penafian dan kita akan bersemuka dengan isu ini secara berdepan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Lembah Pantai di Kerinchi di Kuala Lumpur hari ini.

    Untuk rekod, PRN Sabah pada 26 Sept 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri, kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 Nov 2021) serta Sarawak (18 Dis 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lepas.

    Menyentuh pemilihan parti yang akan berlangsung pada 8 April ini, Saifuddin Nasution berkata beliau belum membuat keputusan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan.

    Katanya ketika ini, beliau masih berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pucuk pimpinan serta rakan dalam parti mengenai jawatan yang sesuai ditandingi.

    Mengulas mengenai hasrat Naib Presiden PKR Tian Chua untuk tidak mempertahan jawatannya pada pemilihan parti kali ini, Saifuddin Nasution berkata beliau menghormati perdirian pemimpin itu.

    “Saya percaya beliau ada alasan tersendiri untuk tidak bertanding namun yang paling penting, beliau menegaskan akan kekal dalam parti… beliau mahu memperkukuh parti menggunakan keupayaannya (tanpa jawatan dalam parti),” katanya.

    Hari ini, media melaporkan Tian Chua mengesahkan tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden namun akan mempertahan jawatan sebagai Ketua Bahagian Batu selain berhasrat membantu parti mengukuhkan sokongan akar umbi bagi berdepan PRU akan datang. – BERNAMA

  • Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    DUA rakan maut apabila kereta Perodua Kancil yang mereka naiki terbabas dan merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan di Pekan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, insiden pada 3 petang itu menyaksikan Hasyim Amin, 29, dan Dolah Muhtar, 39, maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam kereta.

    “Siasatan awal mempercayai kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Hasyim dari arah Chini menghala ke Kuantan terbabas ke jalan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux yang tidak dapat mengelak disebabkan jarak terlalu dekat,” menurutnya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, pemandu dan penumpang Toyota Hilux turut cedera dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chini untuk rawatan.

    Mayat kedua-dua mangsa, yang merupakan Orang Asli, dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Kerajaan tidak pernah jual aplikasi MySejahtera – Khairy

    Kerajaan tidak pernah jual aplikasi MySejahtera – Khairy

    KERAJAAN tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta dan ia adalah hak milik kerajaan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, ini sepertimana diputuskan kerajaan pada 26 Nov tahun lepas, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dilantik sebagai pemilik utamanya untuk pengurusan kesihatan awam negara.

    “Data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan, dengan segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab isu status pemilikan aplikasi MySejahtera yang dibangkitkan beberapa pihak sejak semalam, termasuk Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang membangunkan aplikasi berkenaan sepanjang tempoh penggunaannya dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

    Ini menurutnya berdasarkan ketetapan syarikat berkenaan, yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi itu kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran, berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

    Setelah tamat tempoh CSR tersebut, Khairy berkata, kerajaan pada 31 Mac tahun lepas bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan, kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya dan telah melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan hari ini.

    Justeru pada 26 Nov 2021, menurutnya, kerajaan menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga, bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras tatacara perolehan kerajaan.

    Perolehan itu, katanya, dipersetujui Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Feb lepas untuk dilaksanakan, dan kini proses rundingannya telah dimulakan, menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan ‘due diligence’ dilakukan dalam proses ini, bagi memelihara kepentingan kerajaan.

    Jelas Khairy, skop perolehan ini merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan disediakan pihak ketiga, termasuk langganan ke atas ‘Google Map and Places Application Programming Interface’ dan perkhidmatan ‘Short Messaging Service’.

    Khairy berkata, sejak dilancarkan, penggunaan aplikasi MySejahtera adalah melalui pendekatan ‘perisian sebagai platform perkhidmatan’ (SaaS), di mana ia membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran diperlukan untuk membangunkan sesuatu perisian baharu.

    Menurut Khairy, penggunaan dan pengurusan datanya pula perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa, selain tidak boleh dikongsi KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

    “KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin, dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya.

    Jelasnya lagi, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera yang kini mempunyai lebih 10 modul serta 38 juta pengguna berdaftar, dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaaan aplikasi MySejahtera sahaja. – BERNAMA

  • Bekas isteri setia jaga Amran Tompel hingga akhir hayat

    Bekas isteri setia jaga Amran Tompel hingga akhir hayat

    MESKIPUN sudah berpisah hampir tujuh tahun, bekas isteri pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramli atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel tetap membantu anak-anak menjaga dan menguruskan Allahyarham sehingga akhir hayatnya di kediaman di Taman Matahari Height, Senawang, di sini.

    Anas Salmee Syed Mohamad, 53, berkata perasaan sayang, hormat dan rasa tanggungjawab mendorong dirinya untuk menjaga Allahyarham. 

    Beliau mula menjaga bekas suaminya itu pada Mac 2020 selepas Amran Tompel diserang angin ahmar kali ketiga yang menyebabkan dirinya terlantar selain mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi.

    “Hubungan saya dengannya selepas berpisah pada Mei 2015 tetap baik malah kami sering bertanya khabar. Berakhirlah urusan arwah di dunia ini dan kami bersyukur dapat mengurus dan menjaga arwah sehingga akhir hayatnya. 

    “Melihat keadaan kesihatannya semakin merosot pada hujung tahun lepas, saya mengambil keputusan menjaga arwah bersama anak-anak di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewa anaknya di Seremban, hari ini. 

    Anas Salmee berkata jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang kira-kira pukul 10 malam tadi. 

    Dalam pada itu, beliau berkata Allahyarham tidak banyak kerenah dan mudah dijaga sepanjang beliau sakit terlantar. 

    “Rutin harian saya setiap hari selepas solat subuh, saya akan tengok dia sekejap…bagi dia makan dan pastikan makan ubat mengikut masa namun sejak beberapa hari ini keadaan dia agak murung dan tidak memberikan respons seperti biasa serta tiada selera makan,” katanya. 

    Pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel atau nama sebenarnya, Amran Tompel Ramlie meninggal dunia pada usia 72 tahun disebabkan sakit tua. 

    Allahyarham meninggalkan empat anak berusia antara 22 hingga 29 tahun dan Amran adalah anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah Allahyarham AR Tompel dan aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an. 

    — BERNAMA