Author: Bernama

  • Bella bagi tahu ‘mommy’ dia dicili, dijirus air panas, diikat

    Bella bagi tahu ‘mommy’ dia dicili, dijirus air panas, diikat

    RAKAN baik kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella ada menceritakan kepadanya bahawa dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

    Pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, berkata, Bella memaklumkan kejadian itu ketika mereka berada di dalam ambulans untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan remaja berkenaan dilihat berada dalam keadaan trauma.

    “Semasa berada dalam ambulans ke HKL, saya bertanya kepada Bella apa yang terjadi. Bella yang memanggil saya ‘mommy’ mengatakan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu.

    Saksi pendakwaan pertama itu yang mengenali Siti Bainun sejak 2015 berkata, sebaik tiba di hospital, remaja itu dilihat tidak mampu berjalan dengan baik dan sukar bergerak kerana kakinya sakit.

    “Saya nampak Bella macam tidak larat dan dia kata kakinya sakit, tapi saya tak boleh pegang sebab saya bimbang Bella mungkin dijangkiti COVID-19. Bella juga merujuk beberapa nama individu yang melakukan perbuatan itu terhadapnya,” kata saksi itu yang dilihat sebak semasa memberi keterangan.

    Menurut Zuriaty, semasa beliau berada di hospital itu, Siti Bainun tidak pernah bertanyakan keadaan remaja tersebut sebaliknya mempersoalkan mengapa anak-anak di bawah jagaannya dibawa ke pusat kuarantin di MAEPS, Serdang.

    Saksi itu berkata, Bella adalah orang kurang upaya (OKU) yang diambil oleh rakannya itu untuk dijadikan anak angkat pada Julai 2020 dan sejak itu, dia tinggal bersama Siti Bainun dan remaja itu berada di bawah tanggungjawab wanita berkenaan.

    Terdahulu ketika membacakan laporan polis yang dibuatnya pada 24 Jun 2021, Zuriaty berkata remaja berkenaan mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

    Kepada soalan Zilfinaz, saksi berkenaan menjelaskan bahawa laporan polis itu dibuat berhubung kecederaan dan penderaan yang terdapat pada tubuh badan remaja perempuan itu.

    Memberikan gambaran terperinci berkaitan Bella, saksi itu berkata, meskipun dia seorang remaja sindrom Down, dia seorang yang sangat manja, rajin, baik dan berdikari serta boleh menguruskan diri sendiri seperti solat dan sangat pembersih.

    Ditanya mengenai hubungan Siti Bainun dan remaja berkenaan, Zuriaty memberitahu bahawa pada mulanya hubungan mereka sangat baik apabila Siti Bainun dilihat sangat sayang kepada Bella dan sentiasa cuba mengambil hati remaja itu dengan membeli barang-barang yang dia suka.

    “Bella suka mekap, bekas air kerana Bella suka minum air dan baju baharu namun pada Ogos 2020, saya mula lihat mereka tidak berapa mesra selepas Siti Bainun enggan membawa Bella berjalan ke Kuala Selangor untuk ke rumah abang ipar Siti Bainun,” kata saksi itu.

    Zuriaty berkata, disebabkan keengganan Siti Bainun membawa Bella, beliau ada bertanya kepada Siti Bainun mengapa dia bertindak sedemikian dan Siti Bainun memberitahu dia enggan membawa Bella kerana remaja itu suka buat perangai dan degil.

    Saksi itu menjelaskan bahawa beliau membawa Bella menaiki keretanya ke Kuala Selangor selepas Siti Bainun enggan membawa remaja itu bersamanya.

    “Sepanjang berada di sana (Kuala Selangor), Siti Bainun tidak mengendahkan Bella dan tidak bertanya sama ada remaja itu sudah makan atau tidak. Pemerhatian saya mendapati Bella tidak buat perangai dan tidak degil malah jika dia hendak minum air dia akan mengambilnya sendiri,” kata saksi itu yang turut memaklumkan beliau turut berada di Kuala Selangor bersama Siti Bainun pada hari berkenaan.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. – BERNAMA

  • Madinah terkejut arahan pinda, musnah salinan asal laporan 1MDB

    Madinah terkejut arahan pinda, musnah salinan asal laporan 1MDB

    BEKAS Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau ‘terkejut’ apabila mengetahui Tan Sri Ambrin Buang dan pegawai Jabatan Audit Negara, Datuk Nor Salwani Muhammad diperintahkan supaya meminda dan memusnahkan salinan asal Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Madinah, 66, berkata, Nor Salwani (yang kini Timbalan Ketua Audit Negara) memaklumkan perkara itu kepadanya sebelum beliau masuk ke bilik mesyuarat untuk diberi taklimat mengenai salinan pindaan itu.

    “Saya terkejut apabila Ambrin (Ketua Audit Negara sebelum beliau) diarah meminda salinan asal dan Nor Salwani diarah supaya memusnahkan salinan yang akan dibentangkan kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 2016). Bagaimanapun, dia (Nor Salwani) tidak memusnahkan versi asal laporan itu. Dia menyimpan versi asal di bawah kerusinya,” kata beliau.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang didakwa mengganggu laporan akhir audit 1MDB.

    Muhammad Shafee: Tan Sri, anda kata terkejut, tetapi tidak melakukan apa-apa mengenai perkara itu sehingga ada kerajaan baharu (Pakatan Harapan)? Madinah menjawab “betul”.

    Semasa ditanya siapa yang bertanggungjawab di sebalik pindaan itu, Madinah berkata, beliau tidak bertanya kepada Nor Salwani mengenai perkara tersebut kerana tergesa-gesa ke mesyuarat.

    Saksi itu juga mengakui bahawa semasa berada di bawah pentadbiran Najib selama setahun empat bulan, beliau tidak cuba mendapatkan penjelasan daripada Najib mengenai isu itu kerana tidak perlu baginya berbuat demikian.

    Kepada soalan lain, Madinah mengakui kesalahan telah dilakukan melalui arahan untuk meminda dan memusnahkan laporan audit asal 1MDB.

    Muhammad Shafee: Di sepanjang perbuatan salah itu, seseorang “membetulkan” (memanipulasi) laporan itu. Perbuatan jenayah?

    Madinah: Saya baru tahu adalah salah bagi Ambrin ditekan untuk meminda salinan laporan ketua audit negara yang telah dimuktamadkan, dan bagi Nor Salwani diarahkan untuk memusnahkan semua laporan asal.

    Kepada soalan lain, Madinah menafikan bertemu Najib untuk dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada awal 2016 dan juga menafikan beliau bergantung usaha melobi oleh arwah suaminya, timbalan pengerusi tetap UMNO ketika itu, Datuk Seri Rizuan Abdul Hamid, untuk menjadi dilantik sebagai ke jawatan itu.

    Muhammad Shafee: Adakah anda tahu arwah suami anda melobi supaya anda menjadi ketua audit negara?

    Madinah: Apabila perkara itu dibangkitkan, saya telah memberitahunya bahawa dalam keadaan apa pun dia tidak boleh campur tangan dalam apa cara sekalipun, terutamanya semasa saya menjadi Ketua Setiausaha di dua kementerian, Pendidikan dan MOSTI. Dia seorang ahli perniagaan, dia tidak cuba untuk menjalankan perniagaan dengan kedua-dua kementerian ini dan tidak melobi apa-apa daripada PM, kerana jika saya dilantik, ia harus atas merit saya sendiri dan dia faham.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung. – BERNAMA

  • KDN tandatangani MoU, lapan kontrak bernilai RM2.596 bilion

    KDN tandatangani MoU, lapan kontrak bernilai RM2.596 bilion

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan lapan kontrak dengan syarikat tempatan dengan nilai keseluruhan RM2.596 bilion.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata MoU dan kontrak berkenaan merupakan terjemahan kepada komitmen kerajaan, yang meletakkan aspek keselamatan nasional sebagai agenda utama.

    “Ini khususnya dalam perancangan perolehan, bagi memastikan aset-aset keselamatan negara sentiasa berada dalam mod kesiapsiagaan yang tinggi. Ia membuktikan kerajaan sentiasa memberi keutamaan mengenai keselamatan dalam negara.

    “Apabila sesuatu perancangan selesai, kita (KDN) akan bagi kontrak dan tandatangani (MoU). Ia bukti kita bukan hanya bercakap mengenai perancangan, malah kita lantik kontraktor untuk teruskan agenda kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis MoU dan kontrak berkenaan, yang diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022, di sini, hari ini

    MoU dan kontrak berkenaan ditandatangani antara Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mewakili KDN, dan Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Dr Yusof Ismail serta wakil-wakil syarikat tempatan.

    Hamzah berkata daripada lapan kontrak itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima tiga kontrak bernilai RM249 juta, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) satu kontrak bernilai RM124 juta dan Jabatan Imigresen menerima empat kontrak bernilai RM2.22 bilion.

    Menurutnya, antara kontrak berimpak tinggi ialah Perolehan Peralatan Satelit X-Band untuk PDRM, Projek Naik Taraf Sistem Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk Jabatan Imigresen.

    — BERNAMA

  • Individu hilang status lengkap vaksin masih boleh makan di restoran, masuk pejabat

    Individu hilang status lengkap vaksin masih boleh makan di restoran, masuk pejabat

    INDIVIDU yang hilang status lengkap vaksin bermula 1 April kerana tidak mendapat dos penggalak masih boleh melakukan aktiviti sama seperti mereka yang lengkap divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Antara aktiviti itu ialah makan di restoran, memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat.

    “Sehubungan itu, pemilik-pemilik premis perlu pastikan bahawa hanya pelanggan atau pengunjung yang telah sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seperti diumumkan sebelum ini, semua penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas akan kehilangan status vaksinasi lengkap dalam aplikasi MySejahtera sekiranya belum menerima dos penggalak.

    Bagaimanapun katanya, maklumat sejarah vaksin primer yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera masih kekal.

    Khairy berkata seseorang individu diiktiraf sebagai lengkap vaksinasi dos primer apabila memenuhi kriteria seperti bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

    Selain itu, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan.

    Beliau berkata bagi pengembara dari luar negara yang akan memasuki Malaysia, mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya pengembara yang menerima vaksinasi lengkap (lengkap vaksinasi dos primer dan dos penggalak) dibenarkan memasuki premis berkenaan.

    “Pemakluman SOP terbaharu ini bagaimanapun bukan bermaksud penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun dan ke atas tidak perlu mendapatkan dos penggalak,” katanya.

    Khairy berkata data penilaian yang dijalankan dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia mendapati tahap perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 menurun sehingga 20 peratus bagi dua dos vaksin Pfizer dan 48 peratus bagi dua dos vaksin Sinovac dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas vaksinasi primer.

    Menurutnya pengambilan dos penggalak akan meningkatkan semula paras antibodi dalam tubuh, seterusnya boleh mengurangkan risiko gejala teruk akibat jangkitan COVID-19.

    “Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan dan menggalakkan individu yang belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya dengan segera,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kerajaan BN Pahang mesti segera selesai masalah air

    Kerajaan BN Pahang mesti segera selesai masalah air

    KERAJAAN negeri Pahang digesa supaya segera bertindak menyelesaikan masalah bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, isu air yang sering dibangkitkan oleh wakil rakyat, harus diambil serius oleh kerajaan negeri kerana beberapa kawasan kerap mengalami masalah tekanan air rendah dan air keruh.

    “Selain itu, saya ingin menegur kerja-kerja yang dilakukan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ketika membaiki paip pecah di bawah tanah, kadang-kadang jalan diturap semula dengan keadaan yang tidak memuaskan. Ini menyebabkan jalan rosak dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

    Terdahulu, wakil rakyat DAP itu bertikam lidah dengan Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak (BN-Benta) yang mendakwanya sebagai berbohong apabila beliau berkata ADUN pembangkang tidak dilibatkan dalam sebarang mesyuarat selain tidak disalurkan informasi melibatkan isu semasa dan berkaitan rakyat.

    “ADUN Ketari berbohong, saya mencabar Ketari bahawa beliau tidak dapat informasi yang tepat daripada pihak kerajaan,” kata Mohd Soffi.

    Malah, beberapa wakil rakyat pembangkang turut meminta Mohd Soffi menarik balik kenyataan itu yang dianggap sangkaan jahat terhadap ahli dewan lain, bagaimanapun Timbalan Speaker Datuk Seri Mohamed Jaafar meminta perbahasan diteruskan.

    Sementara itu, Andansura Rabu (PAS-Beserah) ketika mencelah perbahasan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan) mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari penyelesaian secara tuntas masalah bekalan air negeri ini.

    “Hampir kesemua wakil rakyat bercakap soal yang sama (isu air), jika belum ada, tubuh pasukan khas bagi mencari penyelesaian isu air dalam tempoh masa setahun hingga tiga tahun.

    “Kemukakan penyelesaian supaya rakyat tahu apa yang kita sedang buat, libatkan kepakaran teknikal dan ekonomi kerana penyelesaian ini turut melibatkan sumber pembiayaan,” katanya.

    Persidangan bersambung esok. – BERNAMA

  • Jijik! Tikus, lipas, anjing berkeliaran dalam kilang pau dan dimsum

    Jijik! Tikus, lipas, anjing berkeliaran dalam kilang pau dan dimsum

    SEBUAH kilang memproses pau dan dimsum di Medan Melor Selatan, di Butterworth diarah tutup selama dua minggu berikutan keadaan premis yang kotor dan menjijikkan, termasuklah terdapat najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.

    Selain penemuan najis tikus, pihak berkuasa turut menemui tikus dan lipas di situ, malah pemiliknya juga membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran dalam kawasan pemprosesan makanan tersebut.

    Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid, berkata, pihaknya menjalankan serbuan menerusi Ops Tegar bermula pukul 10 pagi hari ini, hasil risikan dan intipan sejak sebulan lepas dan mendapati rumah teres setingkat yang dijadikan kilang itu, tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

    Katanya, notis penutupan selama 14 hari itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, dikeluarkan bagi membolehkan pengusaha premis melakukan kerja-kerja pembersihan.

    “Pemeriksaan juga mendapati kilang tersebut beroperasi tanpa lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), malah pemiliknya turut membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran di kawasan pemprosesan makanan sedangkan tiada haiwan peliharaan dibenarkan berada di situ.

    “Selain itu, kilang tersebut juga berada dalam keadaan kotor dan premis tersebut yang beroperasi sejak 10 tahun lepas, pernah diserbu pada tahun 2019 kerana kesalahan yang sama namun sehingga kini masih tidak mengikut peraturan serta menjaga kebersihan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu, hari ini.

    Mohd Wazir berkata, semasa serbuan dijalankan terdapat dua pekerja warga asing di kilang yang mengedarkan produk pau dan dimsum sekitar Butterworth itu.

    Katanya kilang tersebut turut dikenakan tiga kompaun oleh pihaknya dan masing-masing satu kompaun daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan nilai keseluruhan RM5,300.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah kilang memproses bebola ikan di Raja Uda, di sini dan mendapati pemilik kilang gagal mematuhi program keselamatan makanan iaitu antaranya pekerja tidak memakai sarung tangan, ketika mengendalikan proses pembuatan makanan.

    “Kilang itu mempunyai sijil program keselamatan makanan namun pemeriksaan kami mendapati pekerja-pekerjanya tidak mengikut dari segi peraturan dan kebersihan ditetapkan dan saya minta pegawai teknologi makanan dapat membuat pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua pengilang makanan mematuhinya,” katanya.

    Menurutnya dalam pemeriksaan di situ, pihaknya mengeluarkan dua kompaun dan empat notis yang kesemuanya bernilai RM2,900, antara kesalahan produk tidak mempunyai label serta kesalahan meletakkan produk makanan di atas lantai.

    Operasi kira-kira tiga jam itu turut disertai penguat kuasa dari MBSP dan KPNDHEP Pulau Pinang. – BERNAMA

  • 2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    DUA anggota polis ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM300 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh pada 20 Mac lepas.

    Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkata, kedua-dua mereka berpangkat koperal dan koperal sokongan berumur 45 dan 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani pada 6.15 petang semalam.

    “Anggota polis itu dikatakan telah meminta sebanyak RM1,500 daripada seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh di tepi Jalan Persiaran Amanjaya 2 berdekatan dengan Kolej Vokasional Sungai Petani 1.

    “Individu itu dikatakan telah menyerahkan RM300 kepada anggota polis tersebut dan dia diminta untuk membayar baki selebihnya apabila dihubungi oleh anggota polis tersebut,” katanya di Sungai Petani hari ini.

    Sementara itu, kedua-dua mereka yang merupakan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Kuala Muda direman selama tujuh hari bermula hari ini.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Sungai Petani Nadhirah Abdul Rahim.

    Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – BERNAMA

  • Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    KERAJAAN bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula Jumaat ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian itu membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.

    “Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, keputusan memberikan pengecualian bayaran tol melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan pembukaan sempadan laluan darat yang ditutup sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

    “Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, sempena pembukaan semula sempadan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.

    “Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, bagi memastikan perjalanan lancar, PLUS dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta kementerian dan agensi berkaitan juga giat melakukan persiapan akhir termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di lebuh raya PLUS.

    “Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, bermula 1 April juga, semua pengembara yang lengkap vaksinasi dibenar merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA

  • Tindakan disiplin anggota polis tolak laporan kes keganasan rumah tangga

    Tindakan disiplin anggota polis tolak laporan kes keganasan rumah tangga

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang perlanggaran dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga berhubung dakwaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Isnin lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, PDRM juga mengambil perhatian serius terhadap dakwaan keengganan anggota polis menerima laporan kes keganasan rumah tangga.

    “Sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkuat kuasa pada 1 jun 1996, PDRM telah mengeluarkan beberapa arahan pentadbiran berhubung pengendalian penyiasatan kes-kes keganasan rumah tangga untuk dipatuhi di semua peringkat.

    “Ini termasuklah arahan tindakan tatatertib ke atas anggota yang enggan menerima laporan polis kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, PDRM memohon KPWKM dan mana-mana pihak terkesan berhubung isu dibangkitkan untuk tampil serta memberi maklumat lebih terperinci supaya siasatan dalaman dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil ke atas anggota terlibat jika perkara itu benar berlaku.

    Pada Isnin lepas, KPWKM memaklumkan sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata, pihaknya menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

    Beliau juga dilaporkan berkata, laporan daripada hospital dapat diguna pakai supaya pihak polis tidak boleh menidakkan laporan yang mereka buat. – BERNAMA

  • ASB 2: PNB umum dividen 4.3 sen seunit

    ASB 2: PNB umum dividen 4.3 sen seunit

    PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) mengumumkan dividen 4.30 sen seunit untuk skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2).

    Bernama melaporkan, langkah itu melibatkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM514.5 juta kepada 481,030 pemegang unit ASB 2.

    PNB turut mengumumkan dividen 4.0 sen untuk Amanah Saham Malaysia (ASM), dengan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM883.5 juta kepada 567,904 pemegang unit.

    Berita lanjut menyusul.