Author: Bernama

  • Kes SRC: Najib fail petisyen rayuan hari ini

    Kes SRC: Najib fail petisyen rayuan hari ini

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan petisyen rayuan untuk mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

    Ini susulan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang membenarkan permohonan Najib untuk lanjutan masa selewat-lewatnya hari ini untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

    Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

    Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul selepas permohonan itu didengar secara dalam talian .

    “Bagi permohonan (oleh Najib) untuk lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan hari ini, keputusan sebulat suara (diberi) oleh Mahkamah Persekutuan untuk memberikan lanjutan itu mulai 11 April.

    “Pemohon (Najib) akan memfailkan petisyen rayuan untuk rayuan utama kes (sabitan) SRC selewat-lewatnya hari ini,” kata Mohd Ashrof kepada pemberita selepas pendengaran permohonan tersebut.

    Pada 11 April lepas, Ahli Parlimen Pekan itu melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya pada 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

    Berdasarkan afidavit sokongannya, Najib berkata alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid keseluruhannya dan pihak pembelaan menerimanya pada 31 Mac lepas.

    “Adalah mustahil untuk pasukan pembelaan saya meneliti semua rekod rayuan dan menyediakan petisyen rayuan yang lengkap dalam masa yang singkat bagi menangani segala isu yang telah dibangkitkan oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan.

    “Alasan penghakiman itu perlu diteliti dengan memeriksa nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding bagi memastikan ketepatan dalam dapatan fakta, inferens yang dibuat dan undang-undang yang terpakai,” kata Najib.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Sementara itu, Najib hari ini mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya berhubung mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

    Dalam petisyen rayuan yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co hari ini, Najib, 68, mendakwa beliau terkilan dengan kesilapan serius dalam fakta dan undang-undang yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah dalam alasan penghakiman masing-masing secara keseluruhan, dan kecuali yang dinyatakan dengan jelas, perayu berpendirian bahawa penemuan dalam keseluruhan alasan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) menunjukkan kesilapan yang serius.

    “Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan fakta atau inferens Mahkamah Tinggi yang tidak dibuktikan sepenuhnya, dan tidak menggambarkan keterangan secara menyeluruh.

    “Kedua-dua mahkamah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dengan gagal menilai bukti dengan betul dan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, dan antara inferens yang dibenarkan dibuat, dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka, dan khabar angin,” katanya.

    Najib seterusnya mendakwa bahawa kedua-dua mahkamah tersilap fakta dan/atau undang-undang dalam setiap penemuan fakta yang tidak memihak kepadanya, selain telah tersilap fakta atau undang-undang dalam membuat penemuan mengenai unsur-unsur semua pertuduhan dengan menggunakan logik mereka sendiri atau rasional yang bertentangan dengan keterangan lisan atau dokumentari.

    Justeru Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau akan membentangkan kesilapan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan tindakan pihak pendakwaan yang telah menafikan hak perayu di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mengakibatkan ketidakadilan serius terhadapnya apabila gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama. – BERNAMA

  • Polis tembak kereta cuba rempuh anggota, dua maut

    Polis tembak kereta cuba rempuh anggota, dua maut

    SEBUAH kereta cuba melanggar anggota polis pada Isnin, memaksa polis Paris melepaskan tembakan hingga mengakibatkan dua maut.

    Menurut sumber polis, kereta itu dilaporkan cuba merempuh anggota yang sedang bertugas di jambatan Pont Neuf berhampiran Muzium Louvre.

    Polis mengarahkan pemandu supaya menghentikan kenderaan tetapi tidak diendahkan, memaksa pihak polis melepaskan tembakan, lapor Agensi Anadolu.

    Pemandu dan penumpang di kerusi hadapan maut manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang cedera.

    Punca kejadian masih disiasat.

    Pihak berkuasa mengadakan kawalan keselamatan yang ketat di Paris berikutan pilihan raya presiden pusingan kedua yang diadakan pada Ahad.

    Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan anti-Macron yang menggelar diri mereka sebagai “anti-fasis,” bertempur dengan polis di Dataran Republik.

    Protes yang sama turut berlaku di bandar Rennes dan Nantes.

    Kira-kira 250 penunjuk perasaan membakar tong sampah di sepanjang jalan memaksa polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

    Pilihan raya itu menyaksikan penyandang, Emmanuel Macron berjaya mempertahankan kedudukannya dengan menewaskan pemimpin parti sayap kanan Marine Le Pen dengan memperoleh 58.2 peratus undi berbanding pencabarnya yang sekadar mendapat 41.8 peratus. – BERNAMA

  • Lebih 73,000 peserta Felcra terima keuntungan boleh agih RM136.4 juta

    Lebih 73,000 peserta Felcra terima keuntungan boleh agih RM136.4 juta

    LEBIH 73,000 peserta Felcra Bhd di seluruh negara menerima Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 bagi Fasa 2 Projek-projek Peserta Felcra Malaysia 2021 berjumlah RM136.4 juta yang telah dibayar bermula Jumaat lepas.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agihan keuntungan pada kadar purata RM2,755 per hektar itu dijangka akan selesai keseluruhan pembayaran pada pertengahan minggu ini.

    “Faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan agihan ini adalah pengurusan perladangan yang efektif dan sistematik oleh Felcra dengan usaha-usaha penambahbaikan proses aliran kerja, peningkatan penggunaan jentera-jentera dan alatan mekanisasi di ladang-ladang yang diurus Felcra.

    “Pengenalan aspek automasi seperti penggunaan dron pemantauan pertanian serta turut dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit iaitu harga buah tandan segar RM844.14 per metrik tan dan RM5.74 per kilogram bagi getah,” katanya dalam kenyataan pada lawatannya ke Sandakan hari ini.

    Di Sabah, seramai 1,367 peserta menerima keuntungan boleh agih tersebut.

    Mahdzir berkata, dalam usaha menjadikan aspirasi membandarkan luar bandar sebagai realiti, kementeriannya memberi fokus kepada kesejahteraan masyarakat dan ekosistem luar bandar.

    Menurutnya, dalam pusingan kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe12), Felcra telah menerima peruntukan geran berjumlah RM161.6 juta untuk melaksanakan aktiviti pelengkapan kampung iaitu ameniti sosial, premis perniagaan, pelancongan desa, penglibatan komuniti, program tanam semula dan penambahbaikan infrastruktur ladang di seluruh negara.

    “Impak pembangunan ini akan dinikmati oleh melebihi 107,000 peserta Felcra… sudah pasti warga Felcra Wilayah Sabah juga diberikan keutamaan untuk menerima kesan pembangunan ini dan sebagai sebuah agensi pelaksana yang dekat di hati rakyat, kerajaan telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sejumlah RM11.17 juta bagi aktiviti pembangunan kerajaan di sini,” katanya. – BERNAMA

  • Hina mahkamah: Maria Chin dipenjara tujuh hari

    Hina mahkamah: Maria Chin dipenjara tujuh hari

    AHLI Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.

    Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhi hukuman itu selepas mendapati artikel yang diterbitkan oleh Maria Chin selaku responden pada 5 Sept 2019 berkaitan kes membabitkan ahli perniagaan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emilia Hanafi, jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah serta menghina Mahkamah Syariah.

    “Tajuk yang digunakan oleh responden (Maria Chin) dalam artikel tersebut sendiri telah menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk terhadap institusi Mahkamah Syariah di mata awam. Responden juga telah menggunakan fakta yang salah, tidak berkaitan dalam penulisannya.

    “Mahkamah dengan ini mensabitkan perbuatan menghina mahkamah oleh responden melalui artikel yang diterbitkan pada 5 Sept 2019.

    “Mahkamah juga menolak notis tunjuk sebab yang dikemukakan oleh responden (Maria Chin). Oleh itu mahkamah memerintahkan Maria Chin Abdullah dihukum penjara tujuh hari mulai hari ini,” kata hakim itu.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah.

    Pada 10 Sept 2019, SM Faisal, yang merupakan pengarah Naza World Group dan ibunya Datin Seri Zaleha Ismail selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Okt 2019.

    Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Syarie Mohamed Fouzi berkata kenyataan responden bukan tergolong dalam komen yang adil, bahkan seolah-olah berniat memburukkan Mahkamah Syariah dengan menggunakan fakta kes yang tersasar dan tidak berkaitan.

    “Kenyataan yang dibuat ini tidak berdasarkan fakta sebenar yang berlaku di dalam penghakiman mahkamah itu sendiri dan menjerumuskan responden kepada salahnyataan dan penghinaan kepada mahkamah ini.

    “Sudah tentu, dengan kenyataan yang bersifat memburukkan, skandal, bersifat negatif, menuduh dengan menggunakan fakta yang tidak tepat boleh menyebabkan kepercayaan awam kepada Mahkamah Syariah semakin terjejas teruk akibat tindakan responden,” katanya.

    Hakim syarie itu berkata responden sengaja menghina mahkamah itu dengan menyatakan bahawa mahkamah melakukan diskriminasi kepada Emilia bahkan kepada wanita-wanita yang mendapatkan perkhidmatan keadilan di mahkamah.

    “Fakta sebenarnya adalah semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa ini adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang mana responden sebagai Ahli Yang Berhormat turut berada di dalamnya dan dikuatkuasakan dengan kelulusan dan persetujuan ahli yang berhormat.

    “Mahkamah ini hanya melaksanakan keadilan yang dibenarkan oleh undang-undang yang telah diluluskan oleh Ahli Yang Berhormat dan menguatkuasakan keadilan tanpa mengira jantina berdasarkan tuntutan pihak-pihak tersebut,” kata hakim itu.

    Katanya, sebagai seorang Ahli Yang Berhormat, responden seharusnya lebih mengetahui bahawa mahkamah itu hanya akan memutuskan kes setelah semua prosedur ditetapkan telah dipenuhi dan hanya berdasarkan wujud bukti yang jelas.

    Hakim Syarie itu berkata sebagai Ahli Parlimen yang berperanan meluluskan sesuatu undang-undang, adalah tidak wajar bagi responden mempertikai dan merendahkan serta menghina undang-undang dan mana-mana mahkamah semasa mahkamah itu menjalankan tugasnya.

    “Bahkan sebagai Ahli Yang Berhormat, responden mempunyai cukup ruang dan tempat yang luas untuk mendapatkan maklumat yang tepat selain memberi pandangan dan cadangan yang baik dan adil untuk kebaikan mahkamah ini,” katanya.

    Prosiding itu dihadiri peguam syarie Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili SM Faisal manakala peguam syarie Rosli Dahlan mewakili Maria Chin yang tidak hadir hari ini kerana sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat menghidap gejala COVID-19.

    Pada 4 Sept 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka (Faisal). 

    Emilia dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

    Hukuman yang dijatuhkan terhadap Emilia menyebabkan Maria Chin mengeluarkan kenyataan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia, yang disiarkan sebuah portal.

    Susulan itu, SM Faisal dan Zaleha memfailkan permohonan komital terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

    Maria Chin, 65, kemudian memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini, pada 3 Mac tahun lepas bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya dan pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 25 Mei ini. – BERNAMA

  • Gara-gara klip video raya ‘panas’, ahli perniagaan dirujuk JAKIM

    Gara-gara klip video raya ‘panas’, ahli perniagaan dirujuk JAKIM

    KLIP video lagu raya seorang ahli perniagaan yang menjadi perdebatan dan perbincangan panas rakyat Malaysia telah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa kepada pihak berkuasa.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, klip video itu yang diringi watak penari jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal setelah menempuh ujian dan tarbiah dalam bulan Ramadan.

    “Saya terpanggil untuk mengulas isu ini kerana ketika semua umat Islam teruja untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan mencari sebanyaknya pahala, seolah-olah isu ini saya khuatir menenggelamkan keghairahan umat Islam dalam mengejar rahmat takwa ini.

    “Semua rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam khususnya perlu menjaga sensitiviti kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan menjaga batasan terhadap hiburan yang mahu ditonjolkan, apatah lagi negara kita baru nak pulih daripada ingatan Allah terhadap COVID-19,” kata Idris menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.

    Klip video ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ itu menunjukkan aksi beberapa penari lelaki bergelek dengan ada antaranya memakai singlet tetapi bersongko

    Idris dalam pada itu menasihatkan agar klip video seumpamanya dikeluarkan daripada siaran di mana-mana platform media atau ditetapkan pada mod privasi untuk tatapan peribadi pemilik sahaja.

    “Saya yakin ia mampu memberi jiwa besar dan hati lebih lapang jika kita patuh pada ajaran dan nilai agama yang tidak rugi pun jika kita menurutinya, malah insya-Allah akan melapangkan lagi rezeki kita,” katanya.

    Berharap dapat bertemu dengan pemilik video itu, Idris turut menyeru masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan cakna terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama yang semakin baik dalam kalangan rakyat Malaysia.

    “Jika ada peluang, mungkin saya boleh bertemu mata bersama dengan empunya video ini sebagai tanda ingatan dan ukhuwah sesama Islam, dan mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dalam pertemuan ini. Insya-Allah,” katanya. – BERNAMA

  • Motif tular PASLeaks agar MN tidak digerak semula – Tun Faisal

    Motif tular PASLeaks agar MN tidak digerak semula – Tun Faisal

    PENYEBARAN ‘PASLeaks’ dibuat oleh pihak yang tidak mahu melihat Muafakat Nasional (MN) digerakkan semula selain meningkatkan lagi kebencian kumpulan tertentu dalam UMNO terhadap PAS.

    Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PASLeaks, yang tular di media sosial, bukan minit mesyuarat atau sebarang perancangan sebaliknya suatu catatan yang tidak diketahui dibuat oleh siapa dan sama ada kandungannya benar atau ditokok tambah.

    Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa itu berkata, bagi UMNO, PASLeaks dilihat boleh mencetuskan semula polemik dua mazhab iaitu ‘UMNO Go SOLO’ dan ‘Muafakat Ummah.’

    “Bagi penyokong mazhab Muafakat Ummah, tentulah berita yang diterima tanpa diketahui dengan jelas siapakah sumbernya, ditangani dengan cermat dan penuh tabayyun. Lebih baik bertanya kepada PAS dan menyelami sejauh mana agenda permuafakatan demi mengalahkan musuh yang berbeza ideologi masih kukuh dalam diri mereka,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

    Beliau berkata, bagi penyokong mazhab itu, MN masih boleh digerakkan bagi memastikan matlamat kemenangan dua per tiga majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, bagi penyokong mazhab UMNO Go SOLO pula, berita yang tidak diketahui sumbernya itu disambut ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ kerana ia disebar secara meluas kepada ahli UMNO, ditambah dengan tuduhan yang membakar emosi bahawa ia ‘minit mesyuarat PAS untuk menghancurkan UMNO.’

    “Matlamat akhirnya adalah PAS perlu dibenci oleh UMNO; MN mesti dibenam sedalam-dalamnya dan hanya dengan bertanding solo, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan mutlak dua per tiga majoriti.

    “Ia kerana ketika ini, UMNO dalam posisi yang sangat kuat dan bukti daripada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, UMNO telah diterima rakyat dan boleh menang besar jika PRU15 dilaksanakan sekarang,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan pihak berkaitan agar membuat pertimbangan yang betul sebelum mendesak PRU15 diadakan.

    Tun Faisal merujuk situasi pada PRU14 apabila Pegawai Khas Perdana Menteri ketika itu yakin BN akan menang besar dua per tiga majoriti dan mengajak meraikan kemenangan seawal 6.30 petang pada hari mengundi walaupun Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) meramalkan BN akan kalah dan hanya memenangi maksimum 90 kerusi.

    Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan BN. – BERNAMA

  • Usah menikam dalam senyuman, Annuar Musa sindir siapa?

    Usah menikam dalam senyuman, Annuar Musa sindir siapa?

    SETIAP ahli mempunyai cara berbeza dalam menzahirkan kesetiaan kepada parti dan perkara itu perlu diraikan, kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

    Malah, beliau menyifatkan percubaan mempertikaikan kesetiaan mereka yang sepanjang hayat berjuang demi parti bukan satu tindakan baik kerana ia akan menanam kebencian sesama ahli sekali gus melemahkan parti.

    “Bercakap tentang setia kepada parti adalah satu tajuk yang sentiasa menarik. Malah hampir semua orang bercakap tentang setianya mereka pada parti…kadangkala bukti setia mereka adalah dengan menuduh pihak lain tidak setia.

    “Pendek kata, kalau pun jasa tak mahu dikenang, setiakawan mahu disalah ertikan, usah soal setia mahu dibicarakan. Usah menikam dalam senyuman,” menurut Annuar dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata kesetiaan kepada parti sememangnya amat penting dan ia berbeza dengan kesetiaan kepada individu yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti.

    Annuar berkata, kesilapan serta perlakuan individu yang menyalahi roh, matlamat dan semangat perjuangan parti tidak boleh menuntut kesetiaan kerana ia adalah daripada aspek individu dan bukannya parti.

    “Begitu juga teguran kepada individu atau perlakuan tertentu, bukan satu perlakuan tidak setia pada parti. Sering parti dijadikan perisai tindakan peribadi. Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi.

    “Membelakangi mandat parti, tidak menjunjung amanah parti, tindakan tidak patuh kepada keputusan parti, lain ditetapkan parti lain dibuat di luar pengetahuan parti, membohongi parti adalah antara tanda tidak setia kepada parti,” katanya. – BERNAMA

  • Hadap ‘sangkut jem’ 10 jam kalau tak ikut jadual TTA PLUS

    Hadap ‘sangkut jem’ 10 jam kalau tak ikut jadual TTA PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pengguna dari Lembah Klang yang akan pulang ke kampung yang jauh pada 29 April hingga 2 Mei ini bagi perayaan Aidilfitri supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya juga menyarankan orang ramai mematuhi jadual perjalanan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada 29 April hingga 9 Mei 2022 dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

    “Memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, kami menjangka kira-kira dua juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya kami.

    “Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar.

    “Orang ramai yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi. Bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Zakaria, berdasarkan kajian pihaknya mendapati bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pelanggan lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini.

    “Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9 pagi.

    “Tempoh perjalanan dari selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga tujuh jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9 pagi,” katanya.

    TTA yang dikeluarkan PLUS bagi perjalanan di lebuh raya pada 29 April hingga 9 Mei depan ini juga bertujuan mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat sekali gus mengurangkan kesesakan.

    “Ia direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang.

    “TTA ini direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat. Dengan mematuhi TTA ini, ia boleh memberikan perbezaan yang lebih baik kepada pengalaman dan tempoh perjalanan anda, insya-Allah,” katanya.

    Tambahnya selain jadual TTA, pelanggan lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.

    Pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.

    PLUS juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sampai ke destinasi untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang. – BERNAMA

  • Khemah Besar? Bersatu belum bincang lagi masuk khemah mana

    Khemah Besar? Bersatu belum bincang lagi masuk khemah mana

    BERSATU belum menetapkan sebarang pendirian berhubung pendekatan ‘Khemah Besar’ yang melibatkan gabungan beberapa parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia hanya akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

    “Kami belum bincangkan tentang khemah mana yang kami ingin sertai sama ada khemah besar atau kecil. Ini semua terserah kepada keputusan yang akan dibuat MPT setelah tiba masanya nanti.

    “Rakan-rakan dalam komponen Perikatan Nasional tentunya akan terus komited bersama kami, terutama sekali di Semenanjung ini,” katanya kepada pemberita ketika program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia negeri Perak di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, fokus utama Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkasa dan memantapkan hubungan dengan PAS yang dilihat mampu meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan tanah air selain menolak segala kemungkaran dan salah guna kuasa.

    Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini dilapor berkata pemimpin parti pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan ‘Khemah Besar’ untuk berdepan Barisan Nasional. – BERNAMA

  • Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    SEBUAH bot membawa 60 pendatang asing, karam di luar pantai bandar Tripoli, Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut Palang Merah Lubnan pada Sabtu.

    “Bot yang membawa 60 penumpang itu karam. Pasukan Palang Merah Lubnan menghantar tujuh ambulans ke pelabuhan Tripoli untuk bantuan,” ciapnya di Twitter.

    Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan seorang remaja terbunuh dan 27 lagi mangsa hilang manakala yang lain diselamatkan tentera laut.

    Sementara itu di Jepun, empat penumpang bot pelancong KAZU 1 yang dilaporkan hilang di pantai Hokkaido Jepun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, lapor Sputnik memetik penyiar NHK.

    Dalam kemas kini pada Ahad, NHK melaporkan penyelamat menjumpai tiga lagi penumpang namun keadaan mereka masih tidak dapat dipastikan.

    Pada Sabtu, bot persiaran KAZU 1 menghantar isyarat kecemasan selepas belayar meninggalkan pelabuhan Utoro di Hokkaido.

    Bot itu membawa 24 penumpang, termasuk dua kanak-kanak serta dua anak kapal.

    Sebuah helikopter dan kapal peronda telah dihantar ke lokasi bot itu disyaki hilang tetapi penyelamat gagal menemukan kapal berkenaan. – BERNAMA