Author: Bernama

  • 1MDB: Putera raja Arab jemput Najib sekeluarga cuti atas kapal layar

    1MDB: Putera raja Arab jemput Najib sekeluarga cuti atas kapal layar

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli keluarganya telah bercuti atas kapal layar ke selatan Perancis, perairan Greece dan Itali sejak 2009 hingga 2013 atas jemputan Putera Kuwait, Putera Saudi dan Putera Abu Dhabi.

    Bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, 48, berkata, setiap maklumat berkaitan destinasi percutian itu dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata pada Ogos 2009, beliau telah dihubungi oleh Jho Low dan memaklumkan bahawa Najib sekeluarga akan bercuti di selatan Perancis atas jemputan seorang Putera Kuwait dan seorang sahabatnya bernama Syeikh Hamed di atas kapal layar milik mereka iaitu RM Elegance.

    Wan Ahmad Shihab berkata Jho Low juga telah memberikannya nombor telefon seorang lelaki bernama Mr Sahle untuk membuat persiapan percutian itu.

    Beliau kemudian mengesahkan perkara tersebut dengan Najib sebelum menghubungi Mr Sahle untuk memberikan maklumat rombongan percutian tersebut termasuk senarai nama keahlian rombongan, tempoh percutian dan segala keperluan yang diperlukan di sana.

    “Percutian tersebut turut disertai oleh Datin Seri Rosmah Mansor, anak-anak beliau iaitu Nor Ashman, Nooryana Najwa dan Riza Shahriz Abdul Aziz. Selain itu terdapat juga kawan-kawan Najib termasuk Tan Sri Bustari Yusuf dan seorang anaknya.

    “Jumlah keseluruhan peserta rombongan percutian tersebut adalah lebih kurang 20 orang termasuk pegawai pengiring serta pembantu rumah,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

    Ketika menceritakan lebih lanjut mengenai percutian di Selatan Perancis itu, Wan Ahmad Shihab berkata pada hari kedua atau ketiga pelayaran, Najib telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat seorang Putera Saudi berada di sebuah kapal lain yang berdekatan dan beliau telah menjemput Najib sekeluarga untuk minum petang di atas kapal mereka.

    “Saya kemudian telah memaklumkan kepada Mr Sahle untuk menyediakan bot kecil untuk kami pergi ke kapal Putera Saudi tersebut. Seingat saya nama Putera Saudi tersebut adalah Putera Turki.

    “Setibanya kami di kapal tersebut, kami telah disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid,” katanya sambil menambah beliau tidak tahu apa tujuan pertemuan tersebut dan ketika beliau masuk ke ruang tamu kapal itu, beliau mendapati Jho Low telah berada dalam kalangan mereka.

    Menceritakan mengenai percutian kedua iaitu di perairan Greece dan Itali pada pertengahan 2010, Wan Ahmad Shihab berkata, Jho Low memberitahunya bahawa seorang Putera Saudi menjemput Najib dan keluarganya untuk bercuti di atas kapal layarnya sebelum memberikan nombor telefon kapten kapal, Mike Hitch.

    “Rombongan tersebut disertai lebih kurang 17 orang termasuk Najib, Rosmah, Riza Shahriz, Nooryana Najwa, Nor Ashman, saya sendiri, pegawai-pegawai pengiring serta seorang rakan Najib. Setibanya di Athens, Greece, kami telah disambut oleh Mike Hitch dan terus dibawa menaiki kapal Golden Odyssey.

    “Setibanya kami di atas kapal tersebut, saya dapati Tan Sri Bustari dan beberapa kenalan Najib yang lain telah berada di atas kapal tersebut. Mereka juga hadir sebagai ahli rombongan percutian tetapi mereka menaiki penerbangan komersial yang mereka uruskan sendiri dan tiba sehari lebih awal di situ,” katanya.

    Mengenai percutian itu, saksi berkata pada hari kelima pelayaran di atas kapal Golden Odyssey, beliau telah dihubungi oleh seorang wanita bernama Natasha iaitu rakan kepada Rosmah melalui SMS dan menanyakan maklumat di mana kapal akan berada sekiranya sampai di Rome kerana beliau (Natasha) ingin membawa beberapa orang tetamu untuk berjumpa dengan Rosmah.

    “Saya terus memaklumkan Natasha melalui e-mel mengenai lokasi kapal akan berlabuh apabila berada di Rome dan saya juga memberikan nombor kapten Mike Hitch untuk beliau berhubung terus. Setelah kapal berlabuh di Rome, selang sehari selepas itu saya ternampak Natasha telah berada di atas kapal bersama dengan Rosmah.

    “Saya tidak begitu mempedulikan beliau kerana saya tidak begitu mencampuri urusan Rosmah. Di penghujung lawatan tersebut, saya telah pulang dahulu ke Malaysia dengan menaiki pesawat komersial dari Lapangan Terbang Cote D’azur, Nice, Perancis kerana saya ada urusan persendirian yang perlu saya uruskan,” katanya.

    Mengenai percutian pada 2013, Wan Ahmad Shihab berkata, Najib sekeluarga telah dijemput untuk bercuti di Selatan Perancis di atas kapal layar Topaz milik Sheikh Mansour, seorang Putera dari Abu Dhabi, yang turut kelihatan adalah Mohamed Badawy Al-Husseiny iaitu pengarah syarikat Aabar Investments PJS bersama Robert Baker, seorang jurulatih golf profesional.

    Wan Ahmad Shihab berkata, pada malam itu, seorang yang dkenali sebagai Robert Shepherd memaklumkan bahawa beliau sedang bersiap menyambut Riza Aziz untuk datang ke kapal Topaz dan semasa Riza Aziz tiba di kapal Topaz, beliau mendapati Jho Low dan Joey McFarland (producer filem Wolf Of Wall Street) turut serta bersama dengan Riza Aziz.

    “Saya tidak tahu apa tujuan Jho Low dan Joey McFarland hadir bersama tetapi saya menganggap mereka hadir untuk bersama-sama menikmati percutian tersebut. Sepanjang Jho Low dan Joey McFarland berada di atas kapal tersebut, saya nampak hampir setiap masa mereka sentiasa bersama dan kedengaran perbualan mereka banyak tertumpu berkaitan pembikinan filem untuk Hollywood,” katanya.

    Wan Ahmad Shihab berkata, tiada sebarang pembayaran penginapan dikenakan terhadap ketiga-tiga percutian itu kerana Najib dan keluarganya bercuti atas jemputan.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • Rasuah RM2.8 juta: Cukup keterangan dakwa Bung Moktar, Zizie

    Rasuah RM2.8 juta: Cukup keterangan dakwa Bung Moktar, Zizie

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa terdapat keterangan mencukupi untuk mendakwa Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas kesalahan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta.

    Pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Haris Ibrahim, 42, berkata, beliau mengesyorkan kepada pihak pendakwaan untuk mendakwa Bung Moktar dan isteri berdasarkan dokumen yang diperoleh serta keterangan saksi-saksi (yang dirakam percakapan oleh SPRM).

    “Jumlah wang yang disyorkan bagi pertuduhan terhadap Datuk Seri Bung Moktar dan Datin Seri Zizie Izette adalah RM2.8 juta,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah Bung Moktar dan isteri berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

    Penguasa Kanan SPRM itu berkata, berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan, beliau telah mencadangkan kepada pihak pendakwaan supaya Bung Moktar mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala Zizie Izette atas pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 28(1) (c) akta sama.

    Disoal sama ada isu wang RM2.8 juta pernah ditimbulkan sebagai ‘introduction fee’ (wang pengenalan) kepada Zizie Izette sebelum pertuduhan terhadap pasangan suami isteri dicadangkan kepada pihak pendakwaan, saksi pendakwaan ke-27 dan terakhir itu menjawab: Tidak pernah.

    Law: Sejak bila kamu dengar RM2.8 juta itu adalah ‘introduction fee’ untuk Datin Seri Zizie Izette?

    Mohd Haris: Saya dengar mengenai ‘introduction fee’ pada Februari 2021 selepas dimaklumkan oleh pegawai penyiasat yang menggantikan saya bagi mengendalikan kes ini iaitu Penguasa Kanan Mohd Ihsan.

    Dalam prosiding sebelum ini, perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Mohd Haris turut memberitahu mahkamah bahawa Norhaili dan ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid tidak pernah dipaksa, diugut dan dijanjikan oleh SPRM semasa rakaman percakapan mereka direkodkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara 2016 dan 2017.

    Mereka juga tidak mengadu kepada pihak SPRM ketika rakaman percakapan mereka diambil.

    Kepada soalan peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar, saksi itu berkata rakaman percakapan Norhaili direkodkan sebanyak empat kali manakala Madhi, lima kali.

    Pada awal prosiding, Hakim Rozina Ayob membenarkan bantahan awal oleh pihak pembelaan berhubung maklumat yang diperoleh Mohd Haris daripada pegawai atasan, yang didakwa bersifat dengar cakap dan boleh memprejudiskan kedua-dua tertuduh.

    “Mahkamah berpuas hati bahawa maklumat itu tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta SPRM 2009. Oleh itu bantahan awal pihak pembelaan dibenarkan,” kata Rozina.

    Pada 12 April lepas, Mohd Haris ketika memberi keterangan berkata, pada 9 Jun 2016 beliau menerima arahan daripada seorang pegawai atasan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menulis aduan berkaitan kes itu.

    Bagaimanapun, pihak pembelaan berhujah bahawa aduan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai FIR kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat.

    Pendakwaan pula berhujah aduan yang diterima daripada pegawai atasan itu dikategorikan sebagai FIR bagi membolehkan siasatan dimulakan dan pasukan siasatan tidak bergantung pada laporan itu semata-mata ketika menjalankan siasatan.

    Bung Moktar, 64, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

    Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA

  • 2 tahanan lolos PUSPEN Bukit Chabang ditahan semula

    2 tahanan lolos PUSPEN Bukit Chabang ditahan semula

    DUA pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang, Beseri yang melarikan diri pada Sabtu, ditahan semula hari ini.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, kedua-dua tahanan lelaki itu, ditahan di hadapan sebuah kilang di Chuping pada 1.00 tengah hari tadi.

    “Ketika ditahan, kedua pelatih masing-masing berusia 51 dan 44 tahun, masih memakai seluar ‘trek’ gelap namun baju berbeza daripada sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua pelatih itu kini ditahan di lokap Balai Polis Padang Besar.

    Semalam Bernama melaporkan, Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar telah melancar Op Tutup bagi mengesan kedua-dua pelatih terlibat. – BERNAMA

  • 2 suspek rompakan RM1 juta kedai pajak gadai ditahan

    2 suspek rompakan RM1 juta kedai pajak gadai ditahan

    POLIS Kelantan menahan dua individu bagi membantu siasatan kes rompakan wang tunai bernilai RM1 juta serta barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas, dekat sini, yang berlaku Khamis (5 Mei) lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, lelaki dan wanita warga tempatan berusia 30-an itu ditahan sehari selepas kejadian (6 Mei) dan kini direman hingga 12 Mei ini.

    Beliau berkata, pihaknya masih mencari bukti-bukti baharu bagi membantu siasatan selain turut memerlukan saksi lain tampil untuk memberi maklumat.

    “Kita masih mencari bukti-bukti baharu dan dalam kes ini beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh saksi sebelum ini kita perlu sahkan memandangkan pada peringkat awal terdapat pencanggahan maklumat.

    “Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan daripada bahagian forensik membabitkan bukti-bukti yang ada dan setakat ini ia masih dalam tindakan makmal, kita jangka kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Supt Tan Seng Lee yang memangku jawatan itu sebelum ini kepada pemangku ACP Amran Dolah.

    Media sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai. – BERNAMA

  • Cabul penumpang wanita: Pemandu kedua bas ekspres direman

    Cabul penumpang wanita: Pemandu kedua bas ekspres direman

    SEORANG pemandu kedua sebuah bas ekspres direman bagi membantu siasatan kes cabul seorang penumpang wanita yang sedang tidur ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka awal pagi semalam.

    Perintah tahanan reman selama empat hari hingga Khamis itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Hairul Azhar Mohamad terhadap lelaki berumur 27 tahun itu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, setelah mendapat permohonan daripada polis bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian itu, seorang penumpang wanita berusia 21 tahun mendakwa diraba pemandu kedua bas ekspres semasa kenderaan itu berhenti rehat di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira 4 pagi Ahad.

    Berdasarkan maklumat itu, pihak polis terus menahan pemandu kedua yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu, sebaik sahaja bas tiba di Terminal Melaka Sentral, kira-kira 10.30 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud semasa dihubungi mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan kes yang melibatkan penuntut (mangsa) maktab perguruan di Melaka itu. – BERNAMA

  • Kes SRC: Rayuan akhir Najib bermula 15 Ogos, selama 10 hari

    Kes SRC: Rayuan akhir Najib bermula 15 Ogos, selama 10 hari

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Perkara itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 29 April yang disediakan kepada media, dan ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Hafiizullaah Omar@ Md Salleh yang memaklumkan tarikh bagi mendengar rayuan bekas perdana menteri itu ialah pada 15 hingga 19 Ogos dan 22 hingga 26 Ogos.

    Menurut surat itu, kedua-dua pihak (pembelaan dan pendakwaan) turut diarah mengemukakan hujahan bertulis sebelum 31 Julai.

    Pada 25 April, Najib telah mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng RM42 juta dalam dana SRC International Sdn Bhd.

    Antara alasan yang dibangitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International itu. – BERNAMA

  • Pemandu kedua bas ekspres raba penumpang wanita sedang tidur

    Pemandu kedua bas ekspres raba penumpang wanita sedang tidur

    POLIS menahan pemandu kedua sebuah bas ekspres yang disyaki mencabul seorang penumpang wanita berusia 21 tahun yang sedang tidur ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Melaka, ACP Lim Meng Seah berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sejurus selepas bas ekspres berkenaan tiba di Terminal Melaka Sentral, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

    “Mangsa yang juga penuntut maktab perguruan di Melaka mendakwa diraba oleh suspek semasa bas ekspres itu berhenti rehat di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira pukul 4 pagi.

    “Berdasarkan maklumat itu, pihak polis terus menahan pemandu kedua yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu, sebaik sahaja bas tiba di Melaka Sentral,” katanya kepada media hari ini.

    Beliau berkata, wanita itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 12 tengah hari tadi, dan kes akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam hantaran di Facebook rasminya, menggesa golongan wanita agar tidak berdiam diri apabila menjadi mangsa cabul, terutama ketika menggunakan pengangkutan awam.

    Beliau membuat kenyataan itu menerusi satu video berdurasi tiga minit 41 saat di Facebook, selepas menerima pesanan di akaun media sosial berkenaan bagi meminta bantuan berkaitan kejadian itu.

    “Pagi tadi ketika bangun Subuh saya terima pesanan mesej daripada sahabat di Facebook berhubung kejadian yang menimpa rakannya yang ingin pulang semula ke Melaka.

    “Adik (mangsa) ini terlalu baik sehingga dia hendak menjerit pun takut, dan dia hanya mampu menangis teresak-esak. Saya bersama beberapa rakan yang tunggu di Melaka untuk bantu selamatkan gadis ini,” katanya. – BERNAMA

  • Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    HUKUMAN berat mengikut Akta Pengangkutan Jalan boleh dikenakan kepada sesiapa yang membenarkan anak atau remaja tidak cukup umur memandu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    “Bukan sahaja terhadap pemandu bahkan pemilik kenderaan juga akan dikenakan tindakan paling berat kerana kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak.

    “Sesiapa yang disabit kesalahan ini boleh diambil tindakan keras, sebab remaja itu tiada lesen memandu dan perlindungan insurans,” katanya ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden remaja berumur 16 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dua pemotong rumput hingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, remaja itu tidak memiliki lesen memandu dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu Wee berkata, krisis Ukraine-Rusia yang telah memacu harga minyak mentah dunia, menjadi antara sebab harga tiket penerbangan domestik dan antarabangsa naik mendadak, selain permintaan yang tinggi.

    Bagaimanapun, katanya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah diminta untuk memantau peningkatan harga tiket berkenaan.

    Wee turut mengulangi bahawa harga tiket penerbangan yang dibeli pada saat akhir boleh menjadi mahal kerana penggunaan mekanisme penetapan harga dinamik, dengan memberikan contoh pembelian tiket pada musim Tahun Baru Cina dibuka pada harga antara RM300 hingga RM400, tetapi pembelian tiket beberapa hari sebelum penerbangan pula menyaksikan harga yang jauh lebih tinggi. – BERNAMA

  • Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    SEORANG remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dalam insiden kebakaran sebuah bilik di rumahnya di tingkat lapan Pangsapuri Desa Bayan, Bayan Lepas dekat George Town hari ini.

    Muhammad Nur Iqmal Aiman Mohd Shakrisham, 18, ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan 80 peratus bahagian belakang badannya melecur.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi dan jentera pertama dari Bayan Baru tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah di tingkat lapan berlaku kebakaran dan kediaman itu dalam keadaan berkunci, pasukan bomba bertindak memecahkan pintu rumah bagi menjalankan operasi pemadaman di situ.

    “Sebaik pintu berjaya dipecahkan, kami mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik berkeluasan 9.3 meter persegi dan selepas operasi pemadaman, kami menemukan seorang mangsa lelaki dalam keadaan tertiarap di bucu bilik tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia selepas dipercayai lemas akibat asap kebakaran itu dan berdasarkan siasatan, mangsa adalah seorang yang hiperaktif.

    “Kami dimaklumkan jika bapanya keluar ke tempat kerja, mangsa akan ditinggalkan sendirian dalam bilik tersebut dan mereka memang tinggal berdua sahaja di rumah itu… seorang lagi adik perempuan si mati tidak tinggal bersama,” katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Bapa mangsa, Mohd Shakrisham Mohamad, 40-an, pula berkata dia masih terkejut dengan insiden yang telah meragut nyawa anaknya itu.

    “Saya pergi kerja pada 6.40 pagi dan tutup pintu seperti biasa… ketika sedang bekerja, ada orang beritahu rumah terbakar dan saya terus pergi lihat, tengok-tengok itu rumah saya dan dimaklumkan anak saya turut terlibat,” katanya sambil menahan sebak.

    Pekerja kedai runcit itu yang kematian isteri pada 9 Mac lepas akibat kanser juga berkata sebelum keluar bekerja, dia memeluk serta meminta maaf kepada anaknya dan mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    “Memang itu yang saya lakukan setiap hari dan dia juga sebelum tidur setiap malam peluk serta minta maaf dengan saya, dia juga cakap sayangkan saya,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki Bangladesh ditahan bantu siasatan kes bunuh

    Lelaki Bangladesh ditahan bantu siasatan kes bunuh

    POLIS menahan seorang lelaki warga Bangladesh lewat tengah malam tadi yang dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh seorang lelaki senegaranya di Sitiawan, Manjung, Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah premis tempat mencuci kereta di kawasan Sitiawan kira-kira pukul 12.50 tengah malam.

    “Polis turut merampas senjata yang digunakan yang dipercayai untuk menikam si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes itu berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek, dan lelaki berkenaan kini direman sehingga 14 Mei ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam, polis dilaporkan sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan selepas berlaku pergaduhan di ruang lapang pada bahagian atas bumbung sebuah bangunan kedai di Sitiawan Isnin lepas. – BERNAMA