Author: Bernama

  • Instafamous Cik Lala ditahan anjur tarian separuh bogel

    Instafamous Cik Lala ditahan anjur tarian separuh bogel

    POLIS menahan seorang pesohor Instagram atau instafamous berhubung kejadian sekumpulan lelaki berperwatakan wanita yang menari separuh bogel dan membakar bunga api pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ‘instafamous’ dikenali sebagai ‘Cik Lala’ yang juga penganjur majlis tersebut, ditahan semalam dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan selepas tular beberapa rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok.

    Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu didakwa berlaku pada 27 Mei sekitar pukul 8 malam hingga 11.30 malam di sebuah unit di Centralwalk I-City, di sini.

    “Pengadu yang merupakan pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City membuat laporan polis pada 28 Mei setelah menerima pesanan WhatsApp mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai satu tarikan pelancong di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, aktiviti yang diiringi muzik kuat itu dilakukan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan ‘Cik Lala’ adalah individu yang menyewa unit berkenaan pada harga RM4,000 bagi menganjurkan majlis berkenaan dengan jemputan kira-kira 50 orang.

    Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Insp Nur Syuhada di talian 017-6942736. – BERNAMA

  • Risda, Felcra kolaborasi ternak ayam daging

    Risda, Felcra kolaborasi ternak ayam daging

    PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) meluaskan peranannya untuk terlibat dalam agromakanan negara dengan merancang menternak ayam daging bagi membantu menampung bekalan makanan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain lembu, ternakan ayam menjadi sasaran baharu agensi itu memandangkan terdapat isu kekurangan bekalan bagi keperluan tersebut, baru-baru ini.

    “Selain lembu, Risda dan Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) sedang berbincang berkolaborasi bagi terlibat dalam penternakan ayam. Ia akan melibatkan ladang-ladang dua agensi ini di seluruh negara, perkara ini sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda di Kuala Lumpur hari ini.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, kira-kira 82,000 kilogram jagung bijian untuk dijadikan bahan makanan ternakan dijangka dituai Julai ini.

    Beliau berkata, ia merupakan sebahagian program tanaman jangka pendek melibatkan 750,000 pokok dalam kawasan seluas 15 hektar di Perlis secara ladang kontrak.

    “Tanaman jagung bijian ini menjadi fokus Risda pada tahun ini dalam membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan,” katanya.

    Mahdzir berkata, program tanaman berkenaan termasuk dalam membantu sasaran kerajaan mengeluarkan 600,000 tan metrik jagung bijian untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    Sementara itu, Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, rancangan ternakan ayam menyasarkan 500,000 ekor ayam daging organik bagi sekali tuaian.

    “Risda mampu membantu kerajaan mengatasi isu bekalan ayam, kita akan bekerjasama dengan MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan).

    “Kita akan menguruskan ladang ternakan ini dan kita merancang menghasilkan ayam yang lebih sihat, halal dan bersih untuk keperluan rakyat dengan harga berpatutan, ia juga akan melibatkan peladang dan pekebun di samping mereka menjalankan aktiviti penanaman mereka,” katanya sambil menambah projek tersebut akan dimulakan tahun ini.

    Dalam pada itu, Mohd Salim berkata, buat julung kali agensi itu akan membekalkan keperluan 1,000 ekor lembu untuk tujuan korban bagi Aidiladha tahun ini.

    Ibadah korban akan diuruskan melalui agensi-agensi yang menguruskan ibadah korban termasuk secara dalam talian seperti EzyQurban.

    Beliau berkata, Risda juga menyediakan rumah penyembelihan di Semenyih, Selangor dan kemudahan untuk mengagihkan daging korban melalui syarikat kurier tempatan.

    Risda setakat ini mempunyai 6,000 ekor lembu di ladang-ladang yang disediakan seluruh negara dan menyasarkan untuk menambah kepada 10,000 ekor lembu akhir tahun ini, katanya. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Rafizi dahului Saifuddin di semua negeri

    Pemilihan PKR: Rafizi dahului Saifuddin di semua negeri

    RAFIZI Ramli mendahului Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022, setelah keputusan pengundian di semua negeri dikeluarkan hari ini.

    Keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 itu menyaksikan, Rafizi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden yang dilantik memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding Saifuddin dengan 48,223 undi.

    Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang direbut oleh dua aktivis menyaksikan Adam Adli Abd Halim mendahului dengan meraih 13,749 undi, berbanding Fahmi Zainol dengan 11,674 undi.

    Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail mendahului dengan meraih 21,690 undi.

    Pencabarnya, Senator Fadhlina Sidek mengekori rapat dengan 21,201 undi.

    Pemilihan PKR 2022 berakhir dua hari lepas, setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

    Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini. – BERNAMA

  • Mentega kacang Jif dicemari bakteria Salmonella – KKM

    Mentega kacang Jif dicemari bakteria Salmonella – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah meminta syarikat yang mengimport produk mentega kacang berjenama ‘Jif’, untuk menarik balik produk itu daripada pasaran.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan semakan yang dilakukan KKM ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM), yang mendapati produk berkenaan telah diimport ke negara ini.

    Beliau berkata, KKM mengambil maklum berhubung isu penarikan balik produk itu dari pasaran Amerika Syarikat, kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella melalui notifikasi yang diterima dari ‘International Food Safety Authorities Networks’ (INFOSAN).

    “Notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif, dengan nombor kumpulan di antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga digit terakhir 425 ditarik balik, kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella.

    “Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus memantau di semua pintu masuk negara, bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki negara.

    “Penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 dengan serta-merta, manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut,” katanya.

    Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses, jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

    Sebarang maklumat atau kemusykilan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau menyalurkannya melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – BERNAMA

  • Rauf nafi kepimpinan UMNO Melaka akan bertukar

    Rauf nafi kepimpinan UMNO Melaka akan bertukar

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan desas-desus mendakwa kepimpinan UMNO negeri berkenaan bakal bertukar dalam masa terdekat.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu berkata, tiada isu yang timbul berkaitan kepimpinan UMNO Melaka, ketika ini.

    “Tiada isu. Takde isu pun. Sehingga hari ini parti berada dalam keadaan yang terbaiklah,” kata Ab Rauf ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Badan Perhubungan UMNO Melaka di rumahnya di Kampung Pulau, Masjid Tanah malam tadi.

    Majlis yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam turut disertai Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ab Rauf, yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menganggap khabar angin yang timbul sebagai sebahagian daripada asam garam dunia politik.

    “Saya tak anggap benda (khabar angin) tu sebagai satu ancaman kepada kedudukan UMNO negeri pun. Masing-masing boleh meluahkan perasaan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

  • Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tipu Alliance Steel RM7.38 juta

    Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tipu Alliance Steel RM7.38 juta

    SEORANG pengarah syarikat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menipu pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB), membabitkan jumlah RM7.38 juta, tiga tahun lepas.

    Teh Teng Cheng, 52, yang beralamat di Puchong, Selangor didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Jun 2019 di pejabat ASSB di MCKIP, Gebeng di sini dengan mengemukakan Manual Perubahan Akaun Penerimaan Pembayaran Projek, yang mendorong ASSB membuat bayaran RM7.38 juta kepada Sureland Industrial Fire Safety (M) Sdn Bhd, yang tidak akan dilakukan jika tidak diperdayakan.

    Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warga Malaysia.

    Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu jumlah itu dikurangkan, atas alasan isteri tertuduh selaku penjamin hanya berkemampuan membayar RM30,000, dengan anak guamnya bersedia dikenakan syarat tambahan daripada mahkamah.

    “Syarikat tertuduh kini dalam proses penggulungan dan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap sejak dua tahun lepas. Isteri tertuduh merupakan seorang peniaga namun perniagaannya juga terjejas akibat pandemik COVID-19, menyebabkan mereka tidak dapat mengumpulkan wang yang banyak.

    “Tertuduh juga menghidap ‘sleep apnea’ dan memerlukan bantuan mesin pernafasan setiap malam. Selain itu, tertuduh turut menanggung tiga anak berusia antara lapan hingga 19 tahun serta seorang ibu berusia 74 tahun,” katanya.

    Mohd Shahrullah Khan juga memaklumkan sejak ditangkap pada 15 Nov 2021, tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya, termasuk tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan, menunjukkan dia tidak berisiko melarikan diri.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM750,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia, bersama syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Jun ini bagi serahan dokumen. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    PESAWAT Nepal yang hilang dengan 22 penumpang di dalamnya ditemukan terhempas, lapor Xinhua, memetik Tentera Nepal pada pagi Isnin.

    “Pesawat Tara Air ditemukan terhempas di Sanosware di Bahagian-2 Perbandaran Luar Bandar Thasang di daerah Mustang,” kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Narayan Silwal dalam satu kenyataan.

    “Butiran lanjut mengenainya akan menyusul.”

    Pesawat Twin Otter yang membawa 19 penumpang dan tiga anak kapal, termasuk empat warga India dan dua warga Jerman, hilang pada pagi Ahad ketika dalam penerbangan dari bandar Pokhara ke bandar pergunungan Jomsom di daerah Mustang.

    Dalam perkembangan terkini, sebanyak 14 mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat penumpang Nepal di kawasan berbukit terpencil di daerah Mustang Nepal, lapor Xinhua, memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal pada Isnin.

    “Empat belas mayat ditemukan di lokasi tetapi identiti mereka masih belum didedahkan,” kata agensi penerbangan itu dalam satu kenyataan.

    Keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Nepal.

    Pasukan penyelamat dengan 11 anggota berada di lokasi nahas untuk mencari mayat mangsa, dan disebabkan keadaan cuaca buruk tiada pasukan lain dapat terbang ke lokasi, ketua pegawai daerah Mustang Netra Prasad Sharma memberitahu Xinhua.

    “Kawasan itu mendung sehingga mengganggu jarak penglihatan,” katanya. – BERNAMA

  • Jumlah deposit TH melonjak kepada RM88 bilion setakat Mei 2022

    Jumlah deposit TH melonjak kepada RM88 bilion setakat Mei 2022

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022, mencerminkan keyakinan umat Islam yang semakin kuat terhadap institusi pengurusan haji negara.

    Jumlah deposit TH meningkat hampir 16 peratus kepada RM88 bilion daripada RM75.92 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2020.

    Menerusi Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24, TH menyasarkan jumlah deposit sebanyak RM100 bilion.

    Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab, berkata peningkatan itu sesuatu yang agak ketara apabila deposit bersih bulanan juga mencecah lebih RM1 bilion.

    “Untuk rekod, TH telah mencatatkan deposit bersih sebanyak RM1.1 bilion bagi April 2022, antara deposit bersih bulanan tertinggi setakat ini, menggambarkan keyakinan orang Islam di Malaysia terhadap TH,” katanya kepada Bernama.

    TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10 peratus bagi 2021 yang memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya melibatkan jumlah agihan RM2.46 bilion berbanding RM2.24 bilion yang diagih pada 2020, peningkatan sebanyak RM219 juta.

    Beliau berkata TH sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha menggalakkan seluruh umat Islam di Malaysia agar mempunyai akaun TH.

    Setakat ini, kira-kira 55 peratus umat Islam di Malaysia masih belum mempunyai akaun TH, katanya.

    “Jumlah pendeposit TH hari ini kira-kira 8.5 juta manakala jumlah orang Islam di Malaysia mengikut perangkaan 2020 adalah lebih kurang 18.9 juta.

    Kira-kira 45 peratus rakyat Malaysia beragama Islam adalah pendeposit TH.

    “TH ditubuhkan untuk membantu dan menguruskan umat Islam Malaysia mengerjakan haji yang merupakan antara tuntutan dalam rukun Islam.

    Maka, penting untuk semua orang Islam Malaysia membuka akaun serta mendaftar haji (mereka yang mampu). Kuota (giliran) haji pula ditentukan oleh pihak lain,” katanya.

    Mohamed Ameen berkata deposit daripada simpanan akan dilaburkan untuk memperoleh keuntungan yang kemudiannya akan dizakatkan.

    “Pada 2021, TH telah menyerahkan zakat berjumlah RM106 juta untuk golongan asnaf di seluruh negara.

    “Sekiranya 55 peratus orang Islam Malaysia yang belum mempunyai akaun TH ini membuka akaun, saiz deposit akan lebih berkembang dan lebih banyak keuntungan boleh dijanakan untuk membantu lebih ramai asnaf di seluruh negara,” katanya.

    Beliau berkata TH juga telah menambah baik perkhidmatan selari dengan kehendak pengguna, dengan pembukaan akaun boleh dilakukan secara dalam talian malah pemohon hanya perlu hadir di mana-mana cawangan TH di seluruh negara untuk pengesahan biometrik sahaja.

    TH kini telah automasikan kesemua perkhidmatan yang ditawarkan di cawangan, dalam bentuk digital atau dalam talian, katanya.

    Beliau berkata justeru, kesemua perkhidmatan yang boleh dilakukan di cawangan TH sama ada transaksi kewangan mahupun haji kini boleh dilakukan secara dalam talian.

    “Tahun ini, julung kalinya, TH mengeluarkan tawaran haji secara dalam talian melalui aplikasi THiJARI dan jemaah boleh menjawab tawaran tersebut melalui aplikasi yang sama, tanpa perlu hadir ke cawangan untuk menyerahkan borang penerimaan tawaran.

    “Mereka hanya perlu datang ke cawangan untuk menyerahkan pasport dan buku rawatan,” katanya.

    Beliau berkata TH berwawasan perkhidmatan di TH harus menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya setara dengan industri.

    “Pendeposit-pendeposit kami terdiri daripada pelbagai segmen. Justeru, apabila kita mahu memperkenalkan satu platform digital, ia haruslah menyeluruh untuk pelbagai segmen,” katanya.

    Platform digital THiJARI yang dilancarkan sejak Februari 2020 kini mencapai lebih 1.5 juta pengguna dan lebih 1.0 juta pengguna aplikasi telefon bimbit, katanya

    “Setiap hari kami menerima hampir 90,000 transaksi dalam talian. Angka ini menggambarkan penerimaan pendeposit terhadap usaha yang telah kami laksanakan,” katanya.

    Mohamed Ameen berkata sekiranya terdapat pendeposit yang kurang mahir dengan perkhidmatan dalam talian, mereka masih boleh menikmati semua perkhidmatan secara tradisional di kaunter cawangan-cawangan TH.

    “Kami juga mempunyai satu lagi saluran di mana kami bekerjasama dengan rakan-rakan bank kami iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan yang terbaharu, AmBank,” katanya. – Bernama

  • Ciptaan Sistem i_ProD pelajar SM Imtiaz YT Besut bantu pengusaha keropok

    Ciptaan Sistem i_ProD pelajar SM Imtiaz YT Besut bantu pengusaha keropok

    KERUGIAN dialami pengusaha keropok keping yang tidak sempat mengalihkan jemuran setiap kali hujan, mendorong sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut mencipta satu sistem untuk menangani masalah tersebut.

    Sistem ‘I Best Protection Device’ (i-ProD) itu dihasilkan oleh empat pelajar Tingkatan Lima iaitu Muhammad Amzar Najmi Saharuddin, Wan Ahmad Nu’man Wan Saidi, Muhammad Imdad Abdul Salam dan Muqri Syamil Aiman Mazdi Amram.

    Ketua kumpulan Muhammad Amzar Najmi berkata, mereka mengambil masa sebulan untuk menghasilkan prototaip i-ProD itu, dengan kos hanya RM49 menggunakan bahan seperti kotak, batang aiskrim, lidi, sensor hujan, straw terpakai dan beberapa alat sensor yang lain.

    “Pada musim tengkujuh, ramai pengusaha keropok keping tradisional di Terengganu berdepan masalah, tidak dapat menjemur bahan makanan tersebut kerana hujan yang tidak menentu melambatkan proses pengeringan.

    “Keistimewaan penggunaan sistem ini akan membolehkan pengusaha menjemur keropok keping mereka dengan lebih efisyen tanpa menggunakan tenaga pekerja yang ramai, malah risiko kerugian juga dapat diminimakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di pameran inovasi sempena perasmian sambutan ulang tahun Jubli Emas Yayasan Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kuala Terengganu.

    Tambahnya, hasil soal selidik yang dijalankan dengan pengusaha keropok keping mendapati 96 peratus mengakui i-ProD dapat dikendalikan dengan mudah dan berkesan, dalam menangani masalah yang sering dihadapi selama ini.

    “Cuma, untuk kegunaan industri, modal permulaan bagi memasang i-ProD agak mahal namun ia berbaloi untuk penggunaan jangka masa panjang. Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat, untuk mengkomersialkan i-ProD untuk pasaran,” katanya.

    Selain Besut, Yayasan Terengganu mempunyai tujuh lagi sekolah menengah Imtiaz yang mempamerkan produk inovasi hasil penyelidikan mereka di majlis tersebut iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. – Bernama

  • Nenek rugi RM565,700 selepas terperdaya ‘Love Scam’ seorang ‘doktor’

    Nenek rugi RM565,700 selepas terperdaya ‘Love Scam’ seorang ‘doktor’

    SEORANG wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM565,700 dipercayai akibat diperdaya oleh seorang ‘doktor’ yang dikenalinya melalui platform media sosial tahun lepas.

    Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata mangsa berusia 68 tahun bekerja sebagai penjaga stor kilang diperdaya suspek melalui modus operandi Love Scam atas talian sejak tahun lepas hingga Mei tahun ini.

    “Mangsa terpedaya setelah berkenalan dengan seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama sebagai Ding Nai Wei yang mendakwa seorang doktor sedang bekerja di Iraq,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Osman berkata suspek telah merayu kepada mangsa untuk  memasukkan sejumlah wang untuk dibayar kepada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya suspek dapat keluar dari Iraq dan berjanji akan memberikan wang sebanyak RM5 juta kepada mangsa apabila suspek sampai di Malaysia.

    “Rayuan suspek telah menjerat mangsa sehingga mangsa melakukan 69 kali transaksi ke dalam 13 akaun bank iaitu 12 kali transaksi melalui Maybank dan sekali melalui CIMB Bank,” katanya.

    Menurut Osman sebanyak 11 kali transaksi dilakukan ke dalam akaun penama Brayen Robson Anak Sito dan sekali atas akaun penama Ho Yee Mun serta satu kali transaksi mengunakan CIMB Bank di akaun penama Clayton Roland.

    Katanya semua transaksi wang berkenaan dilakukan mangsa melalui mesin ATM di Maybank Cawangan Taiping bermula dari 4 Okt 2021 hingga 21 Mei tahun ini.

    “Mangsa tidak pernah bertemu dengan doktor tersebut sepanjang perkenalan mereka dan mangsa hanya berhubung di aplikasi WhatsApp melalui dua nombor talian iaitu +1(786)6526776 dan +1(984)3683962,” katanya.

    Osman berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam setelah menyedari dirinya telah diperdaya suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA