Author: Bernama

  • Semua mayat mangsa nahas pesawat Nepal sudah ditemui

    Semua mayat mangsa nahas pesawat Nepal sudah ditemui

    JASAD terakhir mangsa tragedi pesawat penumpang Nepal telah ditemui pagi ini, menjadikan kesemua 22 mangsa nahas berjaya ditemui, menurut Tentera Nepal.

    “Jasad terakhir telah ditemui. Sedang menguruskan untuk membawa 12 jasad terakhir dari lokasi nahas ke Kathmandu,” menurut ciapan Brigadier Jeneral Narayan Silwal, jurucakap Tentera Nepal, yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat.

    Siasatan awal mendapati keadaan cuaca buruk menyebabkan pesawat Twin Otter itu terhempas di kawasan berbukit di daerah Mustang Nepal, tetapi siasatan penuh tragedi berkenaan akan dilakukan pasukan penyiasat lima anggota, jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Deo Chandra Lal Karn memberitahu Xinhua.

    Pesawat Tara Air hilang pada pagi Ahad sejurus berlepas dari bandar Pokhara, Nepal menuju ke Jomsom di daerah Mustang.

    Seramai 19 penumpang, termasuk 13 warga Nepal, empat warga India dan dua warga Jerman berada di dalam penerbangan itu bersama tiga anak kapal.

    Tentera Nepal menemui lokasi nahas termasuk 21 mayat pada pagi Isnin dan 10 jasad telah diterbangkan ke Kathmandu pada hari yang sama. – Bernama

  • UNIRAZAK-JHEV ATM meterai MoU, pertingkat akses pendidikan anak veteran

    UNIRAZAK-JHEV ATM meterai MoU, pertingkat akses pendidikan anak veteran

    UNIVERSITI Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan taraf pendidikan anak dari keluarga veteran yang kurang berkemampuan.

    MoU bagi tempoh lima tahun itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK Amil Izham Hamzah dan Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad dengan disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hashim Abdul Aziz dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, di Kuala Lumpur.

    Ikmal Hisham dalam ucapannya berkata, melalui MoU berkenaan, seramai 500 anak-anak veteran ATM lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang layak akan ditawarkan mengikuti Program Pengajian Asasi Sastera secara percuma setiap tahun dan pengambilan pertama akan memulakan pengajian pada Julai depan.

    “Melalui MoU ini UNIRAZAK akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian berjumlah RM12,500 bagi setiap pelajar manakala Yayasan ATM membiayai caj pentadbiran sebanyak RM100 setiap pelajar dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16 juta,” katanya.

    Beliau berkata, objektif MoU berkenaan adalah untuk membolehkan anak veteran dari golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan tinggi formal dan seterusnya memperoleh peluang kerja lebih baik bagi meningkatkan sosio ekonomi keluarga mereka.

    “Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat asasi ini kemudian boleh melanjutkan pengajian ke UNIRAZAK atau di universiti dan institut pengajian tinggi yang lain,” katanya.

    Menurut Ikmal Hisham, peluang yang ditawarkan kepada anak-anak veteran ATM berkenaan sangat luar biasa, menarik dan secara langsung melambangkan keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap kebajikan veteran ATM khasnya dalam skop peningkatan pendidikan anak-anak veteran ATM.

    Dalam pada itu, Ikmal Hisham turut berharap lebih banyak institusi pendidikan tinggi tempatan dan swasta menjalinkan kolaborasi dengan Kementerian Pertahanan agar lebih ramai anak-anak veteran dapat menikmati kemudahan serupa. – BERNAMA

  • Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

    Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

    SASTERAWAN Zaharah Nawawi meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor pada 7.55 pagi tadi dipercayai akibat penyakit barah.

    Berita itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Mohd Fadhil Jaffar, menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Mohd Fadhil menyifatkan ibu saudaranya itu sebagai seorang yang disenangi dan selalu berfalsafah serta antara seorang yang berjaya di kalangan adik-beradiknya, selain banyak memberi inspirasi.

    “(Beliau) Banyak memberi inspirasi atas kejayaan beliau yang banyak mendapat pengiktirafan, novelis tersohor dan sasterawan disegani… namun terselit juga kisah duka di sebalik suka.

    “Bertarung ke akhir hayat melawan penyakit barah yang dihadapi… Alhamdulillah… dua minggu lepas sempat kami datang menziarah, terpancar senyuman dan kegembiraan dalam menahan kesakitan melihat generasi dan legasi sekarang walaupun sekadar menumpang kasih sayang anak-anak dan cucu-cucu saudara,” katanya.

    Mohd Fadhil juga mendoakan semoga ibu saudaranya ditempatkan bersama orang yang beriman.

    Katanya, jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya selepas Zohor tadi.

    Zaharah, 82, yang merupakan anak kelahiran Kampung Parit Jawa, Mukim Empat, Batu Pahat Johor, dilahirkan pada 5 Mei 1940 dan mula mengasah bakat dalam penulisan pada usia 12 tahun.

    Pencapaian tertinggi yang diraih Zaharah adalah Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) pada September 1996 di Bangkok, Thailand menerusi novel Anugerah serta Hadiah Karyawan Sastera Johor, Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim pada 1999.

    Dalam kerjayanya, beliau pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan di Mingguan Malaysia dan Anggota Sidang Pengarang majalah WANITA dari 1968 hingga 1976 dengan jawatan terakhir Zaharah di Utusan Melayu adalah sebagai Ketua Redaksi majalah MASTIKA.

    Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Editor Umum Penerbitan Berbahasa Malaysia di Berita Publishing (anak syarikat Kumpulan The New Straits Times) dari 1976 hingga 1985.

    Beliau turut pernah menjadi Editor Urusan di Pustaka Cipta Sdn Bhd pada 1985 hingga 1986 selain pernah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dari 1997 hingga 1998.

    Antara novel dihasilkan beliau adalah Panglima Salleh, Selempang Merah; Jalur Sinar di Celah Daun; Azah Aziz: Kartika di Langit Seni; Anugerah; Sehelai Daun Yang Gugur; Haruman Kencana; Bulan dan Mentari; Di Hujung Penantian; Semangat Bunga; Wangian Bukit Peranginan serta Warna dan Wajah. – BERNAMA

  • Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, parti itu hanya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak akan terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.

    Beliau turut menegaskan, parti itu tidak terlibat dalam dakwaan terbaharu bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

    Beliau berkata, sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.

    “Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar Perdana Menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.

    “Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Parti Pejuang Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya di Kota Bharu hari ini.

    Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Bella demam, tidak dapat hadir ke mahkamah untuk pengecaman

    Bella demam, tidak dapat hadir ke mahkamah untuk pengecaman

    PENGECAMAN remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella oleh saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood hari ini ditangguhkan berikutan remaja itu demam.

    Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memaklumkan perkara itu kepada pemberita ketika mahkamah berhenti berehat.

    Menurut Nor Azizah, penjadualan semula akan dibuat untuk remaja itu hadir ke mahkamah pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

    “Sepatutnya Bella dan beberapa penghuni Rumah Bonda hadir ke mahkamah hari ini, tetapi disebabkan Bella demam maka pengecaman ditangguhkan. Kita nak buat pengecaman sekali gus untuk memudahkan saksi, Bella dan penghuni-penghuni lain,” katanya.

    Pada ketika ini mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berkenaan.

    Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi diteruskan dengan pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan terhadap penghuni rumah kebajikan itu Yasmin Nahar, 19.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Da’i Syed bebas dua tuduhan jenayah seksual

    Da’i Syed bebas dua tuduhan jenayah seksual

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada dua tuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

    Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal, 27, daripada kedua-dua pertuduhan itu.

    “Saya bersetuju dengan hujahan peguam supaya kes ini dilepas dan dibebaskan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes dan wang jaminan (RM25,000) dikembalikan,” katanya.

    Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Syed Shah Iqmal, yang memakai kot berwarna hijau kelihatan tenang sepanjang prosiding kes itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memohon Syed Shah Iqmal dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada dua pertuduhan itu.

    Norhashimah berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 254 (2) Kanun Tatacara Jenayah.

    “Selepas meneliti keseluruhan kes, pihak pendakwaan memohon kes ini diperintah untuk DNAA, memandangkan antara lain pengadu dalam kes ini mengalami kemurungan serius atas kejadian yang menimpanya, sehingga pengadu beberapa kali mencederakan diri sendiri dan mempunyai ‘Death Wishes’,” katanya.

    Norhashimah berkata pihak pendakwaan masih boleh meneruskan kes itu walaupun pengadu menarik balik laporan polis. 

    “Pengadu atau mangsa tidak hadir di mahkamah untuk angkat sumpah bagi memberi keterangan berkenaan laporan polis yang ditarik balik. Dalam kes ini, pihak pendakwaan sendiri yang mohon DNAA setelah ambil kira keadaan kesihatan pengadu yang tidak mengizinkan pada tahap ini,” katanya.

    Norhashimah berkata perintah DNAA tidak akan memprejudiskan tertuduh selagi tidak dibuktikan bersalah dan dia tidak perlu rasa terbeban, malah telah dilepas dengan ikat jamin oleh mahkamah sebelum ini.

    Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan tersebut kerana pihak pembelaan percaya pengadu tidak berniat untuk meneruskan kes dan pihak pendakwaan juga hanya akan berpaksikan kepada keterangan lisan pengadu.

    “Alasan pengadu mengalami kemurungan dan berada dalam keadaan tidak baik untuk memberi keterangan merupakan suatu alasan yang goyah. Wajar untuk berasa simpati, namun mahkamah telah menetapkan 13 kali tarikh termasuk sebutan kes tetapi pengadu sendiri telah menarik balik laporan pada Disember tahun lepas.

    “Ini menunjukkan pengadu tidak berminat untuk meneruskan kes ini. Laporan polis yang menjadi asas telah ditarik balik oleh pengadu dalam keadaan sukarela tanpa paksaan atau wujudnya elemen habuan,” kata peguam itu.

    Syed Amirul berkata siasatan yang dibuat adalah berdasarkan laporan polis oleh pengadu menyebabkan anak guamnya didakwa di mahkamah pada 10 Dis 2020.

    “Ini bermakna sudah 538 hari kes ini berjalan sejak tertuduh didakwa, namun hari ini pihak pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat untuk meneruskan kes. 

    “Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon kata putus daripada mahkamah bagi mengelakkan kes tersebut terus tergantung dan Syed Shah Iqmal boleh dituduh pada bila-bila masa dan akan terus dihantui sebagai pesalah seks,” katanya.

    Syed Shah Iqmal ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau bersyukur kerana sudah mampu menjalani kehidupan seperti biasa apabila dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan jenayah seksual yang dihadapinya sejak dua tahun lepas. 

    “Alhamdulillah saya tidak mampu untuk berkata-kata, hanya bersyukur kepada Allah SWT atas keputusan mahkamah hari ini. Selepas ini kalau ada mana-mana pihak yang ingin memberikan tawaran untuk berlakon, saya terima sahaja,” katanya. – BERNAMA

  • Anak keluar badan dari kereta, bapa didakwa

    Anak keluar badan dari kereta, bapa didakwa

    PEMANDU kereta yang tular menerusi video memaparkan aksi bahaya tiga orang kanak-kanak mengeluarkan separuh badan dari tingkap kenderaan itu ketika bergerak di jalan raya, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

    T. Vengadasalabathi, 37, bapa kepada ketiga-tiga kanak-kanak itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang didakwa dilakukan di Jalan Tambun di sini antara pukul 6.20 hingga 6.45 petang, 22 Mac lepas.

    Dia dituduh sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas ketiga-tiga kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun itu telah mendedahkan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan mendekati mangsa.

    Bagaimanapun, peguam K. Nahtan memohon jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai ejen insurans berpendapatan hanya RM2,000 dan perlu menanggung ketiga-tiga anak serta isteri selain tinggal bersama ibu bapa yang berusia 67 dan 72 tahun.

    Nahtan turut merayu atas larangan mendekati ketiga-tiga anak itu kerana ia bukan melibatkan kes dera atau jenayah seksual malah Vengadasalabathi adalah bapa kandung mereka.

    Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Pada 24 Mac lepas, lelaki itu ditahan di Sunway City di Ipoh selepas polis mengesan video berdurasi seminit dua saat itu di laman Facebook yang memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya tersebut dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya. – BERNAMA

  • 2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    CUBAAN dua lelaki menyeludup daun ketum seberat 1.35 tan ke Johor Bharu gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, Kedah malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supt Mohd Mahiri Hussin berkata, kedua-dua suspek berumur 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semasa sekatan jalan raya Op Bersepadu Luaran dijalankan.

    Katanya, semasa operasi, pegawai dan anggota dari Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara 1 telah menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki di R&R Gurun dalam keadaan mencurigakan dan membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menjumpai 135 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun hijau yang dipercayai ketum. Setiap satu bungkusan plastik itu adalah seberat 10 kilogram dan anggaran keseluruhan berat bungkusan 1.35 tan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Alor Setar hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Johor Bahru itu dipercayai mengambil daun ketum berkenaan di Pokok Sena untuk dihantar ke Kluang dan Johor Bahru.

    “Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd Mahiri berkata operasi yang bermula pukul 9 malam itu melibatkan sembilan pegawai dan 56 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

    “Pihak polis mengeluarkan 52 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala JPJ mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan temasuk membawa lebih muatan, membawa muatan berbahaya dan lesen tamat tempoh.

    “AADK pula melakukan saringan air kencing terhadap 33 individu dengan enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan heroin,” katanya. – BERNAMA

  • KPDNHEP Melaka tumpaskan sindiket penyelewengan diesel

    KPDNHEP Melaka tumpaskan sindiket penyelewengan diesel

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menumpaskan sindiket penyelewengan diesel selepas merampas 10,000 liter diesel bernilai RM21,500 tidak termasuk subsidi kerajaan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong, semalam.

    Pengarahnya, Norena Jaafar bagaimanapun berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7 petang itu, dua lelaki meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang premis yang dijadikan stor haram menyimpan dan memindahkan diesel.

    Beliau berkata, pihaknya turut merampas 18 tangki minyak tambahan yang setiap satunya berkapasiti 1,000 liter, dua motosikal, dua lori dan paip penyambung bernilai kira-kira RM135,000.

    “Berdasarkan intipan dan risikan selama seminggu, modus operandi sindiket itu didapati ialah mengisi diesel di stesen minyak sekitar Melaka antara RM300 hingga RM500 menggunakan kad kredit dan aktiviti itu dilakukan secara kerap dalam seminggu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Norena berkata, diesel itu kemudiannya akan dijual kepada pihak industri pada harga RM4 hingga RM4.30 seliter berbanding harga semasa diesel yang dibeli di stesen minyak iaitu RM2.15.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun jika sabit kesalahan bagi individu dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama melibatkan pertubuhan.

    “Kita memandang serius aktiviti penyeludupan atau penyelewengan diesel kerana ia melibatkan subsidi oleh kerajaan sekali gus menyebabkan kerugian besar sekiranya aktiviti ini terus berleluasa,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut atau aduan yang ingin disalurkan, boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 atau WhatsApp ke 019-279 4317 yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 6 petang. – Bernama

  • Pelajar tingkatan dua parah terjatuh dari jejantas

    Pelajar tingkatan dua parah terjatuh dari jejantas

    SEORANG pelajar perempuan tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Chukai, Kemaman, Terengganu cedera parah selepas terjatuh dari jejantas setinggi 10 meter di sekolahnya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Ramlan berkata jejantas tersebut digunakan pelajar berkenaan kerana ia menghubungkan dua blok akademik yang terletak di seberang jalan. 

    “Mangsa dikatakan mahu pergi ke blok bertentangan selepas selesai mengikuti sesi bacaan Yasin dan terjatuh ketika berada di jejantas tersebut pada 7.30 pagi.

    “Polis yang mendapat laporan terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita. 

    Hanyan berkata akibat kejadian itu, pelajar tersebut dilaporkan patah pinggang dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci.–Bernama