Author: Bernama

  • Suspek rogol remaja bukan pemain Kelantan FC

    Suspek rogol remaja bukan pemain Kelantan FC

    KELANTAN FC hari ini mengesahkan bahawa tiada pemain pasukan itu ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja berusia 18 tahun, di Kota Bharu Ahad lepas.

    Pengurus Operasi TRW Kelantan FC, Qusmaini Noor Rosli berkata, perkara itu disahkan selepas siasatan dalaman oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan berhubung isu tersebut.

    “Kami (Kelantan FC) mengesahkan bahawa tiada pemain Kelantan FC yang terlibat mahupun berkait rapat dengan isu tidak bermoral ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan suspek seorang pemain bola sepak liga tempatan berusia 28 tahun ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, selepas mangsa yang berusia 18 tahun membuat laporan polis.

    Qusmaini berkata, Kelantan FC juga mengambil serius tohmahan yang dilemparkan oleh pengguna media sosial terhadap pasukan itu berikutan kes tersebut.

    “Kelantan FC telah mengenal pasti beberapa pemilik akaun yang menabur fitnah kepada pemain pasukan,” katanya. – Bernama

  • Baru sebulan bebas, bekas banduan ditahan bersama 48,000 pil yaba

    Baru sebulan bebas, bekas banduan ditahan bersama 48,000 pil yaba

    SEORANG lelaki yang baru dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara lebih 14 tahun di Penjara Songkhla, Thailand ditahan bersama 48,000 biji pil yaba bernilai RM480,000 di Kampung Dangar, Pasir Mas, Kota Bharu, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek berusia 42 tahun ditahan di tepi jalan di hadapan sebuah sekolah pada 5.30 petang, dan semasa ditahan, polis merampas sebuah beg galas yang mengandungi 48,000 biji pil yaba bernilai RM480,000.

    “Suspek dalam kes ini merupakan seorang bekas banduan yang pernah dipenjarakan di Penjara Songkhla, Thailand selama 14 tahun tiga bulan dan baru dibebaskan pada 27 April lepas,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata susulan penahanan itu, polis seorang lagi lelaki yang disyaki tokan dadah berusia 35 tahun di Kampung Keroh Bayu Lalang, Pasir Mas.

    “Suspek didapati positif methamphetamine, dan polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream bernilai RM40,000,” katanya. – Bernama

  • Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    SEORANG wanita Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat pada Rabu, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.

    Ghufran Harun Warasneh, ditembak di dada berhampiran kem Al-Aroub, utara Hebron.

    Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, tentera Israel menghalang pegawai perubatan untuk sampai ke tempat kejadian selama kira-kira 20 minit.

    Wanita Palestin itu dimasukkan ke hospital Al-Ahly dalam “keadaan kritikal” sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

    Tentera Israel bagaimanapun mendakwa wanita itu bersenjatakan pisau dan cuba menyerang seorang anggotanya, menyebabkan tentera bertindak melepaskan tembakan. – BERNAMA

  • Bayar RM50 sahaja, boleh makan durian sampai puas

    Bayar RM50 sahaja, boleh makan durian sampai puas

    PENGUNJUNG Melaka River Cruise (MRC) berpeluang makan durian selepas menaiki bot menelusuri Sungai Melaka dengan membeli pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ yang ditawarkan selama dua bulan sempena musim raja buah itu bermula hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, menerusi pakej itu, pengunjung berpeluang makan durian sampai puas dengan hanya membayar RM50 untuk tiket dewasa dan kanak-kanak (RM30).

    Beliau berkata, pakej berkenaan menawarkan durian kampung yang berkualiti tinggi selain turut menawarkan durian tembaga serta musang king, dengan bekalan diperoleh dari Jementah dan Segamat di Johor selain Melaka sendiri.

    “Pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ adalah produk baharu MRC khususnya bagi musim durian yang baru menjelang tiba ini dan pakej ini amat murah dan berbaloi terutama untuk penggemar durian.

    “Sebagai contoh, untuk harga pakej dewasa, harga tiket menaiki bot adalah RM25 manakala harga makan durian sampai puas adalah RM25 dan ia adalah sangat murah lebih-lebih lagi harga durian ketika ini masih mahal,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

    Beliau berkata, pengunjung MRC boleh menikmati raja buah itu di bawah khemah yang disediakan di jeti mereka menaiki bot iaitu sama ada di Jeti Taman Rempah di Pengkalan Rama atau di Jeti Samudera di Bandar Hilir.

    Katanya, pengunjung akan diberi masa kira-kira 40 minit untuk makan durian sambil bersantai di tepi Sungai Melaka selepas menaiki MRC dan pakej itu ditawarkan setiap hari bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

    Murad berkata pakej berkenaan tertakluk kepada bekalan durian yang diperoleh daripada pembekal yang dilantik iaitu Pokok Besar Gulai Kawah Enterprise, bagaimanapun pihaknya komited memastikan bekalan tidak terjejas dalam tempoh dua bulan itu.

    Beliau berkata orang ramai yang ingin makan durian tanpa menaiki bot MRC juga dialu-alukan dengan membayar harga RM35 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak) dan mereka boleh membeli durian tersebut untuk dibawa pulang pada harga yang ditetapkan pembekal.

    Katanya, kira-kira lima peratus daripada 115,000 pengunjung MRC yang disasarkan dalam tempoh Jun dan Julai ini membeli pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ dan setakat ini, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak berkaitan pakej berkenaan.

    Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 253,892 pelancong telah menaiki MRC dan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat menerusi pelbagai produk baharu lain yang ditawarkan seperti pakej makan di atas Kapal Mendam Berahi, bot loncat-loncat dan bot ‘everlasting love’. – BERNAMA

  • Peniaga berhati mulia beri nasi lemak percuma kepada pelajar

    Peniaga berhati mulia beri nasi lemak percuma kepada pelajar

    PENGALAMAN menjalani hidup susah dan dibebani masalah kewangan sehingga tidak dapat meneruskan pelajaran, mendorong seorang peniaga gerai nasi lemak, Siti Aishah Othman menawarkan makanan secara percuma kepada pelajar.

    Mahu dikenali sebagai Kak Chah, 32, yang baru sebulan berniaga di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengalu-alukan para pelajar di universiti itu untuk datang mengambil makanan secara percuma di gerainya.

    Inisiatif sejak dua hari lepas itu tular di media sosial, menyebabkan ramai pelajar beratur seawal pukul 7 pagi untuk mengambil nasi lemak biasa yang lengkap dengan ikan bilis, timun, kacang, dan telur secara percuma.

    “Masa saya mula berniaga di sini ada budak-budak (pelajar) tiap hari datang beli nasi lemak biasa yang saya jual RM1 sebungkus.

    “Saya faham mereka perlu berjimat, tetapi takkan nak makan nasi lemak biasa sahaja setiap hari, dan ada yang bayar guna duit syiling. Dari situ saya nampak kesusahan mereka, jadi saya sedekah sahaja,” katanya ketika ditemui di UTM di Skudai.

    Menu nasi lemak yang dijual Kak Chah.

    Dua hari lepas, nota Siti Aishah yang bertulis ‘Adik-adik pelajar kalau langsung tidak ada duit jangan tahan lapar datang sini beritahu, saya belanja, saya pun pernah jadi pelajar jangan malu’, tular di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi dan pujian netizen.

    Ibu kepada seorang cahaya mata itu yang hanya sempat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam selama setahun pada 2010 kerana mengalami masalah kewangan berkata, sejak semalam gerainya dikunjungi ramai pelajar sehingga terpaksa ditutup seawal pukul 11 pagi.

    “Semalam ada individu belanja nasi lemak RM1 untuk 200 pelajar, jadi saya tolong buatkan dan semua habis diagihkan.

    “Ada juga pelajar yang datang tapi malu-malu hendak ambil, saya faham kita orang susah memang pemalu tetapi saya ikhlas memberi,” kata anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu yang telah kematian ibu bapa.

    Wanita berasal dari Kedah itu berkata, selain memberi nasi lemak percuma kepada pelajar, dia juga berniaga seperti biasa dengan menjual nasi lemak berlauk bagi menampung perbelanjaan. – BERNAMA

  • Bila PRU-15? GPS serah kepada Ismail Sabri

    Bila PRU-15? GPS serah kepada Ismail Sabri

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menyerahkan soal bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu merupakan prerogatif Perdana Menteri.

    “Pilihan Raya Umum adalah (perkara) kebangsaan yang melibatkan parlimen. Oleh itu, kita serahkan kepada Perdana Menteri (mengenai soal itu),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Gawai Dayak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini.

    Semalam, dalam temu bual bersama akhbar Nikkei di Jepun, Ismail Sabri dilaporkan berkata sekarang bukan masa sesuai mengadakan PRU-15 dalam keadaan negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi tinggi.

    GPS merupakan gabungan yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dan di peringkat parlimen, ia memiliki 18 kerusi. – BERNAMA

  • Covid-19 di Mekah terkawal, jemaah Malaysia disaran terus pakai pelitup muka

    Covid-19 di Mekah terkawal, jemaah Malaysia disaran terus pakai pelitup muka

    haji

    WABAK COVID-19 di Mekah  dilaporkan  semakin terkawal dan prosedur operasi standard (SOP) turut dilonggarkan tanpa pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka, kata Konsul Haji Malaysia, Tabung Haji (TH) di Jeddah, Muhammad Saimi Mat Som.

    Meskipun terdapat kelonggaran, beliau masih menyarankan jemaah Haji Malaysia untuk terus memakai pelitup muka bagi mengurangkan sebarang risiko jangkitan.

    “SOP jemaah haji telah dilonggarkan dan mereka hanya perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup.

    Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga saya nasihatkan jemaah Malaysia terus memakainya kerana jumlah jemaah akan terus meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeddah selepas menyambut ketibaan 84 petugas TH semalam.

    Kerajaan Arab Saudi membenarkan seramai satu juta jemaah haji berumur di bawah 65 tahun menunaikan ibadah rukun kelima itu pada tahun ini.

    Menurut Muhammad Saimi, jemaah haji juga akan didedahkan dengan aplikasi TH Hujjaj bagi memudahkan penyaluran maklumat penting terutama mengenai penginapan, pergerakan bas,  kesihatan dan panduan ibadah haji.

    “TH akan cuba salurkan maklumat secara digital, bagi jemaah yang berumur masih boleh mendapatkan sedikit panduan daripada anak-anak untuk memuat naik aplikasi berkaitan urusan haji terutama TH Hujjaj.

    Pelbagai maklumat akan disalurkan di situ, begitu juga dengan kenyataan semasa yang dikeluarkan oleh Arab Saudi….insya-Allah TH akan pastikan semua maklumat dapat disampaikan kepada bakal haji,” katanya.

    Katanya setelah dua tahun ibadah Haji ditangguhkan untuk jemaah dari Malaysia, pihaknya berpeluang membuat penilaian semula terutama dalam urusan dokumentasi kerana Kerajaan Arab Saudi mula memperkasa penggunaan secara dalam talian.

    Seramai 340 orang petugas berpengalaman TH akan bertugas sepanjang musim haji kali ini, bagi menyantuni kira-kira 14,306 jemaah.

    — BERNAMA

    *Ikuti laporan Lembaga Tabung Haji di media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Lebih 100 pelombong emas terbunuh dalam keganasan

    Lebih 100 pelombong emas terbunuh dalam keganasan

    LEBIH 100 pelombong emas terbunuh manakala 40 lagi cedera dalam keganasan yang tercetus pada minggu lalu di lombong emas Kouri Bougoudi di utara Chad, kata seorang pegawai pada Isnin.

    Imej tersebar di media sosial memaparkan jasad bergelimpangan atau hangus di lombong emas yang terletak di wilayah Tibesti bersempadan dengan Libya, lapor Xinhua.

    “Insiden tercetus akibat pertengkaran antara dua individu… kemudian ia bertukar menjadi pertempuran yang dahsyat.

    “Anggota tentera telah dikerah ke lokasi berkenaan bagi menyuraikan pertelingkahan itu.

    “Operasi di tapak perlombongan emas telah digantung dan semua warga asing dipindahkan ke Libya, manakala rakyat tempatan ditempatkan di Wour oleh pasukan tentera,” Daoud Yaya Brahim, seorang menteri Majlis Presiden, dipetik sebagai berkata.

    Sejak 2017, lombong emas Tibesti yang terletak di kawasan pergunungan, telah menarik perhatian puluhan ribu rakyat Chad, dan pelombong emas dari Libya, Nigeria serta negara jiran lain. – Bernama

  • Peniaga didenda RM14,000 miliki, jual walkie talkie tidak diperakui

    Peniaga didenda RM14,000 miliki, jual walkie talkie tidak diperakui

    SEORANG penjual alat komunikasi hari ini didenda berjumlah RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menjual dan memiliki 16 unit walkie-talkie yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

    Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Wan Ying, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dihadapinya.

    Bagi pertuduhan pertama, Lee didenda RM4,000 atau enam bulan penjara kerana menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S pada 11.33 pagi, 16 Jun 2020.

    Bagi pertuduhan kedua pula, dia didenda RM10,000 atau enam bulan penjara kerana memiliki 16 unit walkie-talkie jenama sama yang tidak diperakui di bawah peraturan sama pada 11.15 pagi, 4 Oktober 2021.

    Lee melakukan kedua-dua perbuatan itu di Plaza Low Yat, Off Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan di mahkamah sama, sebuah syarikat dan pengarahnya masing-masing didenda RM12,000 dan RM5,000 atas dua pertuduhan memiliki dan menjual 28 unit kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui MCMC.

    Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Evpad TV Box (M) Sdn Bhd dan pengarahnya, Yap Kum Loong selaku OKS selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut dan memerintahkan OKS dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar denda.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Syarikat Evpad TV Box dan Yap didakwa memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi iaitu 28 unit TV Box jenama Evpad pelbagai model yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat Evpad TV Box di Wisma Menjalara, Bandar Menjalara, di sini, pada 9 September 2021 mengikut Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

    Terdahulu, peguam Jeffrey Wong yang mewakili OKS memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja selain syarikat yang dimilikinya sudah tidak beroperasi.

    “Anak guam saya masih dalam proses mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan,” kata peguam itu.

    Pegawai Pendakwa MCMC bagi kedua-dua kes berkenaan Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang konsisten dengan trend hukuman semasa.

  • Polis buru penagih dadah bakar rumah

    Polis buru penagih dadah bakar rumah

    SEORANG lelaki yang dipercayai penagih dadah diburu polis kerana disyaki membakar sebuah rumah di Kampung Keruak di Hulu Besut, di Jertih petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 40an itu dipercayai sedang bersembunyi di dalam hutan di sekitar kampung tersebut selepas melakukan perbuatan khianat itu kira-kira pukul 4 petang.

    “Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran dan kes ini sedang disiasat menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

    “Suspek dikatakan mahir dengan selok-belok di dalam hutan di situ menyebabkan usaha memberkasnya berdepan kesulitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam kejadian tersebut, rumah milik Nor Baidi Abdullah, 60, musnah sepenuhnya dipercayai dibakar oleh lelaki itu menggunakan minyak petrol.

    Menurut Nor Baidi, perbuatan suspek itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia 16 tahun yang ketika itu berada di dalam bilik air sebelum terdengar suatu bunyi mencurigakan.

    “Anak saya terkejut kerana ketika mengintai melalui lubang bilik air, dia ternampak suspek sedang menjirus cecair dipercayai petrol ke dinding rumah sebelum suspek bertindak membaling kain yang dinyalakan api ke salah satu bilik tidur.

    “Kejadian kali ini merupakan perbuatan kali keenam suspek membakar rumah saya termasuk ada sekali suspek membakar kereta saya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, namun kami sekeluarga sempat memadamkan api sebelum merebak pada lima cubaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Nor Baidi berkata, beliau tidak mengetahui motif lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana beliau sekeluarga tidak pernah mengganggunya selama ini. – BERNAMA