Author: Bernama

  • Harga siling ayam mungkin naik, tetapi masih menang-menang

    Harga siling ayam mungkin naik, tetapi masih menang-menang

    HARGA maksimum baharu ayam yang akan diumumkan esok telah mengambil kira kepentingan pengguna dan golongan peniaga secara seimbang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

    Katanya, meskipun terdapat kemungkinan berlaku sedikit kenaikan, ia dilihat sebagai situasi menang-menang antara pengguna dan pemain industri ternakan.

    “KPDNHEP melalui anggota penguatkuasaannya sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan keberadaan bekalan dan kestabilan harga ayam di pasaran,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Imam Bilal Mukim Cawangan Hulu Terengganu Kali Ke-15, di Kuala Berang hari ini.

    Menurut Rosol, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan berhubung segelintir penternak, pemborong dan peruncit mengenakan caj tambahan termasuk upah tangkap, upah potong dan kos plastik sehingga membebankan pengguna.

    Katanya, pihak berkenaan mendakwa terpaksa mengenakan caj tambahan itu bagi memastikan kelangsungan perniagaan disebabkan pelbagai kos lain yang terpaksa ditampung pada masa ini.

    “Bagaimanapun kita akan siasat lebih lanjut dan tengok daripada beberapa sudut untuk pastikan kebenaran dakwaan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Rosol berkata pihaknya juga sedia maklum dengan kekurangan minyak peket satu kilogram (kg) di pasaran dan pihaknya telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menambah kuota minyak peket tersebut untuk mengatasi masalah berkenaan.

    “Sekarang ini kerajaan bekalkan 60,000 tan minyak masak bersubsidi sebulan dan kita minta tambahan lagi 10,000 tan sebulan untuk atasi masalah rakyat.

    “Bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan kewangan negara. Kita harap Kementerian Kewangan akan lihat dengan terperinci permohonan berkenaan,” katanya. – BERNAMA

  • Haji: Petugas TH perlu konsisten, mentaliti taraf dunia

    Haji: Petugas TH perlu konsisten, mentaliti taraf dunia

    Oleh ZALINA MAIZAN NGAH

    PETUGAS Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah disaran terus konsisten dalam menerapkan mentaliti bertaraf dunia dan sentiasa mempunyai maklumat ketika menyantuni jemaah.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH mengamalkan polisi ‘no wrong door’ dan petugas perlu bersedia pada bila-bila masa atau sekurang-kurangnya membawa jemaah menyelesaikan persoalan mereka dengan unit lain.

    “Walaupun jemaah haji tahun ini kurang jumlahnya daripada musim haji sebelum ini, janganlah kita (petugas) menganggap mudah untuk melaksanakan tanggungjawab di segenap aspek operasi haji di Tanah Suci.

    “Pencapaian TH pada setiap tahun adalah konsisten dengan memenuhi sasaran yang ditetapkan dan menunjukkan jemaah haji berpuas hati atas perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Petugas di ibu pejabat TH di Abraj Al Janadriah.

    Beliau berkata, petugas juga digalakkan tampil dengan idea dan memberi cadangan baharu bagi menambah baik sistem serta proses perkhidmatan haji.

    Selain itu, beliau menasihatkan petugas agar bijak menyusun atur tugasan apabila tiba hari kemuncak iaitu Hari Arafah yang berbaki 12 hari lagi, kerana ketika itu mereka akan mengalami cabaran lebih getir terutama dalam berdepan dengan jemaah dan dalam masa sama perlu melakukan ibadah.

    “Masyair (wukuf) menuntut kita melaksanakan perancangan dan gerak kerja dengan lancar dan tersusun bagi menjamin jemaah haji dapat berwukuf serta mengerjakan rukun dan wajib haji termasuk urusan pergerakan, penempatan, perkhidmatan sajian dan ibadah,” katanya.

    Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 300 petugas yang antaranya daripada pasukan perubatan, pembimbing haji, kaunselor, pentadbiran dan kewangan hadir mendengar amanat Syed Saleh di bangunan Abraj Al Janadriah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji.

    Selain petugas di Abraj Al Janadriah, ada dalam kalangan mereka yang berkhidmat di dua lagi bangunan penginapan jemaah Malaysia iaitu Qsar Al Janadriyah dan Lane Premium.

    Setakat semalam, seramai 8,663 jemaah haji telah tiba di Makkah. Malaysia memperoleh sebanyak 14,306 kuota haji tahun ini setelah Arab Saudi memberi kebenaran untuk melaksanakan rukun kelima itu. – BERNAMA

  • Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menangguhkan keputusan kes dihadapi bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta ke 7 Ogos ini.

    Hakim Kamarudin Kamsun dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan hari ini, bagaimanapun beliau berkata masih terdapat beberapa hujahan daripada pihak-pihak terbabit yang belum diterima.

    “Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

    “Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu,” katanya.

    Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Abd Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, kemudiannya memohon mahkamah untuk mendengar hujahan daripada pihak pembelaan.

    Prosiding turut mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Mahadi Abdul Jumaat.

    Selain Salehuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican manakala perunding , Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, diwakili Khairulazwad Sariman.

    Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

    Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

    Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

    Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001. – BERNAMA

  • Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    DUA pekerja sebuah kapal membawa muatan pasir hilang sementara dua orang lagi berjaya diselamatkan selepas kapal berkenaan karam di Sungai Batang Igan berdekatan Kampung Bungan Kecil, kira-kira 45 km dari Sibu dari awal pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, identiti dua mangsa yang hilang itu masih belum dikenal pasti namun mereka dianggarkan berumur dalam lingkungan 20-an, sementara yang selamat berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

    Beliau berkata, PGO Sarawak menerima laporan dari Balai Polis Sungai Merah pada pukul 6.05 pagi menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah telah digerakkan ke lokasi.

    “Semasa kejadian pelapor sempat menyelamatkan dua orang pekerja kapal dan dipercayai ada dua lagi pekerja kapal itu masih berada di dalam kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    POLIS sudah menerima laporan berhubung kehilangan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nur Hidayati Duwaijah Mazlan sejak 20 Jun lepas di Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, laporan mengenai kehilangan remaja berusia 17 tahun itu diterima daripada ibunya pada 21 Jun lepas.

    Beliau berkata, siasatan mendapati remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya iaitu sebuah kondominium di Kampung Bandar Dalam pada 7.20 petang.

    “Remaja berkenaan dikatakan telah keluar dari rumah mereka untuk ke kedai dan sehingga kini, masih gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Beh berkata, Nur Hidayati berketinggian kira-kira 145 sentimeter itu, yang berkulit cerah, berbadan sederhana dan kedua-dua matanya berwarna coklat, kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah serta seluar hitam dan kehilangannya telah dihebahkan melalui Nur Alert.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222. – BERNAMA

  • Lebih 900 wanita pilih kerjaya sebagai pelaut

    Lebih 900 wanita pilih kerjaya sebagai pelaut

    SEHINGGA hari ini terdapat seramai 909 pelaut tempatan wanita yang sedang berkhidmat dalam industri maritim, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong.

    Katanya, meskipun jumlah tersebut hanya mewakil 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 28,414 pelaut tempatan, namun ia tetap merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

    “Walaupun jumlah pelaut wanita masih kecil berbanding dengan jumlah pelaut lelaki, namun ia merupakan satu petanda yang baik. Ramai juga dalam kalangan pelaut wanita kita menerajui jawatan penting termasuk kapten kapal, ketua pegawai kapal dan ketua jurutera.

    “Mereka ini tidak kurang hebatnya dengan pelaut lelaki berkhidmat di atas kapal dan berlayar merentasi pelbagai negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pelaut Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, di Kerteh, Kemaman, hari ini.

    Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Datuk Baharin Abdul Hamid dan Pengarah JLM Wilayah Timur Abd Majid Rais.

    Henry berkata, kerajaan sentiasa mengambil pelbagai langkah menggalakkan golongan wanita menceburi industri maritim, termasuk melalui penubuhan Pertubuhan Wanita Sektor Maritim Malaysia (MyWIMA).

    Katanya, MyWIMA yang ditubuhkan pada 2017 di bawah JLM, antara lain berperanan memberi pendedahan kepada golongan wanita mengenai kerjaya sebagai pelaut, dan berkongsi kisah kejayaan serta pengalaman para pelaut wanita kepada masyarakat luar.

    “Sekarang ini di Malaysia kita ada MyWIMA yang dianggotai semua wanita yang bekerja dalam industri perkapalan dan industri pelabuhan, melalui pertubuhan tersebut pelbagai langkah dilaksanakan untuk menggalakkan wanita masuk ke dalam bidang ini,” katanya. – Bernama

  • 18 maut dalam kejadian rempuhan

    18 maut dalam kejadian rempuhan

    ANGKA kematian meningkat kepada 18 orang dalam satu kejadian rempuhan apabila lebih 2,000 pendatang sub-Sahara cuba menceroboh sempadan antara Maghribi dan Melilla, sebuah bandar enklaf Sepanyol di Afrika, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita Maghribi MAP.

    Menurut laporan awal lima pendatang maut dan 76 yang lain cedera, manakala 140 pegawai keselamatan Maghribi turut cedera, termasuk lima dalam keadaan kritikal.

    Pasukan keselamatan Maghribi ‘campur tangan’ apabila pendatang cuba memanjat atau memotong pagar yang memisahkan bandar Sepanyol dari wilayah Maghribi, kata kenyataan itu.

    Pihak berkuasa Sepanyol di enklaf itu berkata kebanyakan pendatang sudah dipaksa pulang kecuali 130 daripada mereka berjaya sampai ke enklaf itu.

  • Empat lagi parti mahu sertai GRS

    Empat lagi parti mahu sertai GRS

    EMPAT lagi parti tempatan menyatakan hasrat menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama lima parti yang sudah membentuk gabungan itu, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, permohonan daripada semua parti berkenaan akan dipertimbang dalam mesyuarat pemimpin GRS, sebelum membuat keputusan.

    Bagaimanapun beliau tidak menamakan parti itu.

    “Ini bermakna apa yang kita (GRS) lakukan selama ini sejak mendapat mandat rakyat telah memikat hati kawan-kawan lain daripada parti yang lain.

    “Kalau tidak, mereka tidak akan memohon untuk sertai GRS. Mungkin inilah yang dikehendaki oleh rakyat, melihat satu gabungan yang kuat untuk memerintah Sabah pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ARMADA Bersatu Sabah di sini malam tadi.

    Hajiji berkata, GRS ialah parti yang sentiasa mahu mewujudkan keharmonian dalam kalangan parti komponen gabungan itu yang bersama-sama memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

    GRS dianggotai lima parti iaitu BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), selain membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan Sabah.

    Sebelum ini, dilaporkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) memohon menyertai GRS. – Bernama

  • 45 majikan dikompaun, gagal daftar pekerja, perusahaan

    45 majikan dikompaun, gagal daftar pekerja, perusahaan

    TAKTIK memberi alasan hanya menggaji pekerja sambilan dan menyuruh pekerja segera pulang ketika diserbu penguat kuasa membawa padah kepada 45 majikan apabila dikompaun selepas didapati gagal mendaftar pekerja dan perusahaan mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata, alasan tersebut tidak boleh diterima memandangkan peraturan sedia ada jelas mewajibkan majikan mencarum walaupun pekerja itu hanya bekerja sehari di premis perniagaannya.

    “Begitu juga dengan alasan pekerja mereka belum disahkan jawatan dan terkesan disebabkan pelaksanaan gaji minimum,” katanya pada sidang media selepas Op Gegar Malam lewat malam Jumaat.

    Beliau berkata, hasil operasi bermula 3 petang itu melibatkan 168 premis di sekitar kawasan Serkam, Umbai dan Klebang, sebanyak 45 kompaun bernilai RM24,500 dikeluarkan penguat kuasa Perkeso.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kompaun bernilai RM18,500 dikeluarkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kerana majikan gagal daftar perusahaan manakala di bawah Seksyen 5 akta sama, 11 kompaun bernilai RM6,000 dikenakan kerana majikan gagal mendaftar pekerja.

    “Jika pendakwaan dilakukan, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara dua tahun,” katanya.

    Beliau berkata, tumpuan operasi kali ini adalah melibatkan perusahaan atau perniagaan yang dijalankan pada waktu malam terutama kedai makan, restoran dan kedai serbaneka.

    “Ini adalah operasi pertama bagi tahun ini dan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan kita anggap op malam ini sebagai warm up (gerakan pemanas) untuk memberi peringatan kepada majikan yang masih gagal mencarum dan mendaftar pekerja mereka.

    “Suka diingatkan pada semua industri sama ada beroperasai siang atau malam, Perkeso akan memastikan tiada majikan terlepas daripada tanggungjawab mencarum pekerjanya kerana ini adalah berkaitan keselamatan sosial,” katanya.

    Sementara itu, Abd Razak berkata dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 25 majikan telah didakwa di mahkamah manakala sepanjang 2021, Perkeso Melaka telah menjalankan 99 kes pendakwaan melibatkan pelbagai kesalahan.

    Katanya, pihak Perkeso Melaka juga telah mengambil tindakan ke atas majikan yang gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh ditetapkan kepada agensi tersebut. – Bernama

  • MPN akan terus berperanan sebagai badan penasihat kerajaan

    MPN akan terus berperanan sebagai badan penasihat kerajaan

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) akan terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan terutama ketika negara berdepan isu membabitkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

    Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan sentiasa memberi pandangan dan buah fikiran, namun ia terserah kepada kerajaan sama ada untuk menerima cadangan tersebut atau sebaliknya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata baru-baru ini, pihak MPN ada berbincang bersama tokoh dan pakar ekonomi berkenaan isu inflasi dan kenaikan harga makanan global serta jaminan keselamatan makanan untuk jangka masa pendek dan panjang.

    “Susulan itu, MPN mencadangkan kepada kerajaan agar mempunyai strategi jangka pendek untuk mengeluarkan hasil bahan asas seperti makanan, ternakan dan lain-lain dengan menggunakan cara yang tersusun.

    “Begitu juga dengan jangka panjang, semua perlu bersedia, kita sudah memberi idea,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan bakal haji dan penyerahan lembu korban Parlimen Pagoh di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keluhan rakyat berhubung isu kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menyambut baik bantuan tunai tambahan di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang diumumkan kerajaan pada Rabu lepas.

    Sementara itu, mengulas mengenai jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin, Muhyiddin berkata perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan.

    Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sebagai Menteri jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri.

    — BERNAMA