Author: Bernama

  • Jemaah Malaysia dapat kelebihan, tapak penempatan baharu di Arafah, Muzdalifah dan Mina

    Jemaah Malaysia dapat kelebihan, tapak penempatan baharu di Arafah, Muzdalifah dan Mina

    haramain

    JEMAAH Malaysia yang mengerjakan ibadah haji tahun ini bertuah apabila Kerajaan Arab Saudi bukan sahaja memberi penempatan baharu tetapi juga kawasan khemah yang berdekatan dengan masjid, ketika berada di Mina.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kelebihan itu boleh dimanfaatkan jemaah haji kerana bukan sahaja boleh solat di masjid tetapi juga menggunakan kemudahan di situ untuk diri mereka.

    “Tahun ini semua tapak di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah tapak baharu. Walau bagaimanapun kemudahan dan kedudukannya masih lagi dalam suasana yang baik dan memberi kelebihan kepada jemaah haji Malaysia.

    Terutama kita lihat perkhemahan di Mina adalah berdekatan dengan Masjid Kuwait yang merupakan salah satu masjid di Mina. Sudah tentunya kemudahan itu dapat dinikmati jemaah haji Malaysia…mereka boleh ke masjid untuk solat dan gunakan kemudahan masjid itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan dan lawatan di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Selain itu, Syed Saleh berkata persiapan fasiliti di Arafah, Muzdalifah dan Mina, bagi jemaah haji mengerjakan ibadah Wukuf, kini pada tahap 50 hingga 60 peratus.

    Katanya, kerja-kerja penyediaan fasilti itu dilihat berjalan mengikut jadual dan akan disiapkan menjelang tibanya Hari Wukuf dengan pemantauan pihak muassasah dan Lembaga Tabung Haji (TH).

    “Persiapan untuk Arafah mencapai tahap hampir 50 peratus dan Mina 60 peratus. Ini mengambil kira, ada lagi 10 hari jemaah haji akan tiba.Tahun ini makanan untuk di Arafah dan Mina berjumlah 16 sajian, iaitu lima sajian akan guna konsep sedia dimakan,” katanya.

    Difahamkan sebanyak 75 khemah pelbagai saiz disediakan di Arafah manakala di Mina lebih daripada 600 khemah.

    Syed Saleh juga memaklumkan setakat semalam seramai 10,453 orang yang merupakan 76 peratus daripada jemaah haji yang dibawa TH tahun ini telah tiba di Makkah dan menunggu 10 hari lagi sebelum tiba waktu Wukuf.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    POLIS menumpaskan kumpulan Tiger yang aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah sejak 2009 selepas penahanan seorang peniaga sayur dipercayai ahli terakhir kumpulan itu, Ahad lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, suspek berumur 35 tahun merupakan adik kepada suspek yang ditembak mati dalam serbuan pada malam 18 Jun lepas di Salak Selatan, di sini.

    Beliau berkata, suspek warga tempatan itu ditahan di Kampung Tumbok di Tanjung Sepat, Selangor.

    “Penahanan itu telah memaksa suspek mendedahkan maklumat penyimpanan senjata api jenis Colt M-4 yang telah dipisahkan di dalam sebuah paip PVC di sebuah reban ayam di kampung berkenaan.

    “Turut ditemukan di dalam paip berukuran 150 mm x 94 cm itu ialah dua kelopak dan 69 butir peluru jenis 5.6 mm,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, suspek dan sembilan lagi yang ditahan sejak 18 Jun lepas disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Bahan Letupan 1957.

    Sementara itu, Azmi tidak menolak kemungkinan kesemua empat senjata jenis CZ 75 Compact, CZ 75 D Compact, Smith & Wesson dan Colt M-4 dan sebutir bom yang dirampas telah digunakan kumpulan Tiger dalam tiga kes bunuh dan jenayah lain seperti yang dilaporkan sebelum ini.

    Kumpulan yang dianggotai suspek berumur 28 hingga 67 tahun itu dipercayai telah melakukan 15 kes samun, tiga kes bunuh dan pelbagai kes melibatkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

    Pada 18 Jun, polis menahan sembilan suspek dan menembak mati seorang daripadanya dalam operasi di sebuah kondominium di Salak Selatan. – BERNAMA

  • Op Patuh tamat, 13143 kompaun dikeluarkan

    Op Patuh tamat, 13143 kompaun dikeluarkan

    OP Patuh yang dilaksanakan bagi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 di peringkat nasional secara bersepadu dan besar-besaran ditamatkan pada 25 Jun setelah setahun digerakkan berikutan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 (JKPS) yang ditubuhkan untuk menggerakkan Op Patuh bagi menguatkuasakan PKP itu telah genap setahun pada 25 Jun lepas.

    JKPS diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan melibatkan sebanyak 32 kementerian, jabatan dan agensi, menguatkuasakan arahan dan undang-undang di lapangan dalam usaha pencegahan COVID-19.

    “Sepanjang Op Patuh dilaksanakan sehingga 25 Jun lepas, sebanyak 5.55 juta pemeriksaan telah dijalankan. Daripada jumlah itu, sebanyak 13,143 kompaun telah dikeluarkan dan sejumlah 6,383 premis diarahkan tutup,” katanya dalam sidang media yang diadakan selepas majlis apresiasi JKPS di Putrajaya hari ini.

    Hamzah berkata, kerajaan juga telah memutuskan untuk menamatkan pelantikan pegawai yang diberikan kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pada 30 Jun ini.

    “Berikutan negara dalam peralihan ke fasa endemik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk penguatkuasaan SOP dan protokol peralihan endemik menggunakan kuasa perundangan di bawah Akta Polis 1967,” katanya lagi. – BERNAMA

  • ‘Saya tidak tahu tujuan wang diberikan kepada Guan Eng’ – Saksi

    ‘Saya tidak tahu tujuan wang diberikan kepada Guan Eng’ – Saksi

    BEKAS Bekas pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, bahawa beliau tidak tahu mengenai jumlah wang yang didakwa diberikan kepada Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

    Ibrahim Sahari, 58, juga tidak tahu tujuan dan cara wang itu diberikan kepada bekas Ketua Menteri negeri itu.

    Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata demikian ketika disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim pada perbicaraan kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang itu yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

    Gobind: Kamu tidak sekali-kali nampak wang itu dibayar kepada siapa?

    Ibrahim: Setuju

    Ketika membacakan pernyataan saksinya, Ibrahim berkata, pada Januari 2018, rakan sejawatannya iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, membuat pengakuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepadanya bahawa beliau (Zarul Ahmad) telah membuat pembayaran kepada Lim selepas dibebaskan dari tahanan SPRM.

    “Bagaimanapun, Zarul Ahmad tidak memberitahu kepada saya berkenaan jumlah dan cara wang itu diberikan kepada Lim,” katanya sambil menambah beliau pernah berjumpa Lim ketika mesyuarat rasmi antara syarikat itu dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

    Dalam prosiding sebelum ini, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Lim meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) dalam projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

    Ibrahim juga mengaku bahawa beliau menyediakan invois, baucer dan akaun syarikat palsu seperti yang diarahkan Zarul Ahmad.

    Gobind: Zarul Ahmad mengarahkan anda melakukan kesalahan?

    Ibrahim: Hanya untuk transaksi (berkaitan pemalsuan dokumen).

    Gobind: Anda seorang ‘penyangak’.

    Ibrahim: Tidak, saya hanya ikut arahan…saya hanya bertindak sedemikian untuk kepentingan syarikat.

    Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Lim, yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 25 Julai ini. – Bernama

  • ‘Datuk Yusri’ tipu projek jalan raya RM1.93 juta

    ‘Datuk Yusri’ tipu projek jalan raya RM1.93 juta

    POLIS Sabah sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Datuk Yusri Bin Yusoh’ yang terlibat dengan kes penipuan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud di negeri tersebut melibatkan kerugian RM1.93 juta.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya telah menerima lapan laporan polis mengenai kes tersebut yang dikatakan berlaku dalam bulan ini.

    Beliau berkata, suspek telah memperdaya mangsa dengan meminta membayar sejumlah wang deposit bagi mendapatkan projek tersebut.

    “Mempercayai kata-kata ini, mangsa telah membayar antara RM30,000 sehingga RM650,000 (setiap pembayaran) dengan keseluruhan kerugian berjumlah RM1.93 juta.

    “Ekoran itu pihak polis sedang mencari lelaki ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Tilmanshah Wasli di talian 016-5785962 atau 088-529761. – BERNAMA

  • JPJ sita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad UNHCR

    JPJ sita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad UNHCR

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menerusi Op Pemandu Warga Asing (Op PeWA) yang bermula 1 April lepas hingga hari ini.

    Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata pihaknya turut mengeluarkan saman ke atas individu terlibat yang terdiri daripada enam warga Myanmar dan seorang warga Pakistan berikutan memandu kenderaan tanpa lesen.

    “Sitaan itu melibatkan tiga motosikal, tiga kereta serta sebuah lori dan tindakan diambil mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “JPJ turut mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan warga tempatan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen memandu,” katanya selepas Op PeWA Bersepadu yang dilaksanakan di Bulatan Padang Besar hari ini.

    Mengulas mengenai operasi dilaksanakan hari ini, Fatimah berkata sebanyak 33 kenderaan warga asing disaman atas pelbagai kesalahan antaranya melibatkan insurans dan nombor pendaftaran.

    Katanya, JPJ turut mengingatkan pemilik kenderaan tempatan agar tidak menawarkan perkhidmatan sewaan kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

    “Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan menjalankan perkhidmatan sewa pandu tanpa permit,” katanya. – Bernama

  • Polis tahan 20 individu, tumpaskan lima kumpulan jenayah

    Polis tahan 20 individu, tumpaskan lima kumpulan jenayah

    POLIS menahan 20 individu dengan 18 daripadanya merupakan anggota lima kumpulan yang terlibat dalam pelbagai jenayah antaranya pecah rumah, stor kilang dan tabung masjid yang membabitkan kerugian kira-kira RM500,000 sejak 1 Jan hingga 22 Jun lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mereka yang terdiri daripada 17 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 57 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah tersebut menerusi Op Pintu.

    Beliau berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 49 kes jenayah di Melaka Tengah dengan penahanan mereka.

    “Secara keseluruhan, 18 individu termasuk tiga wanita itu merupakan anggota Geng Micheal, Geng Ruben, Geng Zahid, Geng Botak dan Geng ADC.

    “Dua lagi individu yang turut ditahan adalah dua lelaki dikenali sebagai Yazmi Solo dan Spider Solo berusia 30-an dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dengan bergerak secara berseorangan,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

    Christopher berkata Spider Solo yang ditahan pada 8 Jun lepas dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dengan cara memasuki kediaman mangsa menerusi bumbung dan meloloskan dirinya mengikut pintu belakang rumah mangsa setelah mengambil barangan berharga.

    Beliau berkata Spider Solo  yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur dikesan terbabit lima jenayah pecah rumah antara Mei dan awal Jun melibatkan kerugian RM50,000 dengan menyasarkan rumah kos rendah yang tiada penghuni pada waktu siang untuk melakukan jenayah terbabit.

    “Spider Solo merupakan seorang penganggur dan duit hasil jualan barangan curi daripada jenayah pecah rumah yang dilakukannya itu digunakan untuk perbelanjaan hariannya,” katanya dengan menambah Spider Solo mempunyai 13 rekod lampau melibatkan jenayah pecah rumah. – Bernama

  • Haji: Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar, tetapkan waktu malam

    Haji: Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar, tetapkan waktu malam

    haramain

    MALAYSIA sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama dijemput kerajaan Arab Saudi untuk memilih waktu melaksanakan ibadah melontar jamrah.

    Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kelebihan yang diberikan membolehkan Malaysia memilih antara pukul 8 hingga 10 malam untuk ibadah itu dan ia memberi keselesaan berbanding cuaca pada waktu siang yang boleh mencecah suhu melebihi 50 darjah Celcius.

    “Malaysia dipanggil sebagai negara pertama dan diberi keutamaan untuk memilih. Apabila perbincangan dengan Kementerian Haji dan Umrah, mereka hanya menerima apa sahaja waktu yang kita pilih dan ia telah dimeterai dalam satu perjanjian antara Malaysia dan Arab Saudi.

     “Jadual yang dipilih bersesuaian dengan jemaah haji dan jadual operasi haji kita. Ini satu kebaikan kerana kita diberi keutamaan…negara lain kemungkinan akan pergi pada waktu pagi, zohor dan asar manakala kita pergi waktu malam,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi penempatan jemaah Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Sebelum ini, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama menerima permit operasi pusat perubatan di Arab Saudi, malah turut disenarai antara lima negara yang menyertai ‘Makkah Route”.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Syed Saleh berkata pada 13 Zulhijjah sebahagian jemaah akan melontar jamrah pada awal pagi iaitu selepas subuh dan menurutnya pengaturan waktu melontar dilaksana untuk mengelak kesesakan serta musibah yang tidak diingini.

    “Tahun ini ikut perancangan jika wukuf jatuh pada hari Jumaat, kita akan bermula dengan pergerakan awal petugas pada 7 Zulhijjah (6 Julai). Mereka akan pergi pada waktu malam dan berada di sana untuk bersiap menerima jemaah haji Malaysia yang akan bergerak pada Khamis (7 Julai) bermula awal pagi.

    Pergerakan jemaah menggunakan 17 bas bermula 7 pagi. Kita harap pergerakan dari Makkah ke Arafah berjalan lancar. Pada 10 Zulhijjah mereka akan bergerak pula ke Muzdalifah selepas waktu magrib untuk bermabit sehingga separuh malam iaitu 11.45 malam.

    Setelah itu, mereka akan bergerak pula dari Muzdalifah ke Mina dan berada di situ selama tiga hari bermula 10 Zulhijjah. Sebahagian jemaah akan balik awal dan sebahagian lagi akan tunggu sehingga 13 Zulhijjah,” katanya.

    Hari ini, kerajaan Arab Saudi akan mula melihat anak bulan untuk membuat penetapan sama ada bulan Zulhijjah akan bermula pada 30 Jun atau 1 Julai.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Peguam didakwa pecah amanah RM1.5 juta

    Peguam didakwa pecah amanah RM1.5 juta

    SEORANG peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM1.52 juta.

    Mohd Zawahid Ya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

    Dia didakwa sebagai peguam di Tetuan Mohd Zawahid & Co yang diamanahkan dengan wang berjumlah RM1.52 juta, telah melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan di pejabat tetuan tersebut di Subang Bestari, dekat sini, antara 9 Mei dan 11 Ogos 2017.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan dilakukan serius kerana melibatkan jumlah wang yang besar.

    Peguam Fahmi Abd Moin bersama-sama Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ilyani Khuzairi yang mewakili Mohd Zawahid memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh menanggung ibu bapa, isteri serta lima anak yang masih bersekolah selain tiga daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

    Hakim Helina Sulaiman kemudian membenarkan jaminan RM50,000 dan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

    Mahkamah menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

    Tertuduh membayar jaminan tersebut.

    — BERNAMA

  • ‘Hilang’ wang simpanan KWSP, ditipu sindiket tawaran kerja

    ‘Hilang’ wang simpanan KWSP, ditipu sindiket tawaran kerja

    SEORANG Pembantu Perawatan Kesihatan kerugian RM37,361 apabila wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja yang tidak wujud.

    Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, wanita berusia 26 tahun itu terpergaruh setelah melihat iklan di laman Facebook yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

    “Setelah melihat iklan di facebook ‘online work’ dan mangsa telah berurusan dengan seorang individu yang memperkenal diri sebagai ‘Agnes’ dari syarikat ‘SP eCommerce’ untuk urusan tawaran kerja secara dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa telah diperkenalkan dengan cara membeli pelbagai produk bagi tujuan menaikan rating dan mangsa kemudian akan mendapat imbuhan komisen setelah barangan tersebut dijual oleh pihak mereka.

    “Mangsa telah membuat lapan kali transaksi ke empat akaun bank suspek sepertimana yang telah diarahkan…namun apa yang dijanjikan tidak diperoleh malah mangsa kerugian wang simpanan peribadi dan KWSP miliknya,” katanya.

    Mohd Shokri berkata, modus operandi sindiket ialah mengiklankan tawaran kerja yang mudah dan menguntungkan dalam masa singkat melalui media sosial dengan mangsa akan diberikan pulangan pada awalnya dan setelah mangsa terpikat, sindiket akan meningkatkan jumlah pembelian sehingga menyebabkan mangsa terjerat.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melalukan penipuan.

    Katanya, hasil siasatan awal menerusi semakan mendapati terdapat tiga laporan polis dibuat ke atas nombor akaun bank terbabit dan dua laporan terhadap nombor talian yang digunakan oleh sindiket sebelum ini.

    “Orang ramai dinasihati agar mengunakan applikasi Semak Mule Account bagi menyemak nombor akaun dan nombor telefon ketika membuat sebarang urusan secara dalam talian,” katanya. – Bernama