Author: Bernama

  • Pucuk pimpinan perlu cari jalan harmonikan semula UMNO – Annuar

    Pucuk pimpinan perlu cari jalan harmonikan semula UMNO – Annuar

    PUCUK pimpinan UMNO perlu mencari jalan untuk mengharmonikan semula parti selepas pendedahan mengenai wujudnya akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam keadaan negara menghadapi isu harga barang, UMNO seharusnya mengurangkan kegawatan dalam parti sebaliknya memperkukuh solidariti dan terus fokus dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

    “Saya fikir sekarang ini elok kurangkan kegawatan, pucuk pimpinan harus cari jalan harmonikan keadaan.

    “Dari terus serang-menyerang dan terus-menerus gawat, kalau boleh saya cadangkan harus ada pihak ambil tindakan uruskan hal ini, dan tidak membincangkan ia secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

    Annuar yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu pada satu sidang media khas selepas digugurkan dari MT UMNO pada 24 Jun.

    Ditanya sama ada beliau menandatangani SD berkenaan, Annuar berkata: “Saya tidak terlibat”.

    Sementara itu, Annuar menafikan laporan media mengenai mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ada dibincangkan pada mesyuarat Kabinet.

    “Palsu! Sebagai menteri komunikasi saya boleh jawab dengan ringkas, ia adalah palsu,” katanya.

    Beliau berkata mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap minggu hanya membincangkan soal berkaitan negara dan kebajikan rakyat. – BERNAMA

  • Ejen pelancongan didakwa guna dokumen palsu projek lebih RM22 juta

    Ejen pelancongan didakwa guna dokumen palsu projek lebih RM22 juta

    SEORANG ejen pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung cadangan membina dan menyiapkan rumah keluarga untuk pegawai dan anggota tentera Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) bernilai lebih RM22 juta.

    Sulaiman Abdul Razak, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu dua ‘Borang Jaminan Bank / Jaminan Syarikat Kewangan/Jaminan Insurans untuk Bon Pelaksanaan (Kontrak Kerja)’ bagi Cadangan Membina dan Menyiapkan Rumah Keluarga (338 Unit) Pelbagai Kelas Serta Kerja-Kerja Berkaitan untuk pegawai dan anggota tentera darat di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang bernilai RM3.75 juta dan RM18.75 juta.

    Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Mindef, Jalan Padang Tembak, Sentul di Kuala Lumpur antara 20 Oktober dan 15 November 2006.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Sulaiman memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta menanggung keluarga.

    “Jumlah jaminan RM500,000 terlalu tinggi dan anak guam saya tidak mempunyai kesalahan (jenayah) lain. Pada 4 Julai ini, anak guam akan menunaikan haji dan jika dia dipenjarakan kemungkinan dia tidak dapat mengerjakan haji,” kata peguam itu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Kamarudin menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – Bernama

  • Keputusan kes rasuah Rosmah dijadual semula 1 September

    Keputusan kes rasuah Rosmah dijadual semula 1 September

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, menetapkan tarikh baharu pada 1 September ini untuk keputusan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

    Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas ketika pengurusan kes di dalam kamarnya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn dan peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah.

    Akberdin ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya dimaklumkan untuk hadir ke prosiding pengurusan kes hari ini melalui surat mahkamah bertarikh 29 Jun.

    “Pihak-pihak hadir hari ini dan mahkamah menjadualkan semula tarikh keputusan baharu pada 1 September, pukul 9 pagi,” katanya.

    Poh, yang mengesahkan perkara itu memberitahu pemberita bahawa Hakim Mohamed Zaini Mazlan mahu memberikan keputusannya pada Ogos ini tetapi pihak-pihak hanya bersetuju bagi tarikh pada September.

    Mohamed Zaini sebelum ini menetapkan 7 Julai untuk menyampaikan keputusan sama ada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah.

    Pada 18 Februari tahun lalu, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

    Pada 24 Jun lalu, Rosmah memfailkan permohonan terbaharunya untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar dihadapinya dan memohon perbicaraan penuh kes itu yang berlangsung sejak 2018, terbatal dan tidak sah.

    Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 6 Julai ini.

    Sebelum ini Rosmah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini, bagaimanapun permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – Bernama

  • Tiada lagi tembok besi antara kerajaan-pembangkang

    Tiada lagi tembok besi antara kerajaan-pembangkang

    KERAJAAN akan terus memastikan kestabilan politik negara demi kepentingan menjaga kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia dalam berdepan pascapandemik dan fasa peralihan ke endemik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

    Beliau berkata, pendekatan ‘tembok besi’ antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi boleh diambil kerana kestabilan politik demi menjaga kebajikan Keluarga Malaysia adalah lebih penting.

    “(Kerajaan) pastikan suasana politik negara stabil, walaupun kita (kerajaan) terpaksa berkorban dengan bekerja, berkongsi dan merancang bersama pihak lawan (pembangkang) yang dahulunya kita dipisahkan dengan ‘tembok besi’ antara kerajaan dan pembangkang.

    “Ego mesti ditanam dalam-dalam, berpuak-puak yang berlebih-lebihan mesti ditolak jauh-jauh, politik solo, semberono, rasa segala-galanya boleh dibuat sendiri bukan formula yang sesuai untuk sekarang… kita perlukan prinsip al-Ta’ayush atau kebersamaan dan muafakat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri di Kuala Lumpur hari ini.

    Annuar berkata konsep keprihatinan juga perlu diteruskan antara rakyat dengan rakyat, rakyat dengan kerajaan, kerajaan dengan kerajaan dan sebagainya kerana dalam suasana ketika ini negara perlu bergerak ke hadapan bersama nilai-nilai tertentu yang akan didukung Keluarga Malaysia. 

    Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata pengurusan pascaCOVID-19 bukan sesuatu yang mudah seperti disangkakan oleh sesetengah pihak.

    “Dalam kegawatan itu ada pihak yang cuba ambil kesempatan dalam kesempitan, menahan lukah di pergentingan, mencari laba (keuntungan) politik jangka pendek untuk menjadi popular dengan menjadi pengkritik dan pencacai yang sememangnya mudah.

    “Dunia dan negara telah buktikan orang yang terlalu permudahkan masalah rakyat, bila dapat peluang untuk uruskan, mereka jadi orang-orang yang gagal sebab semua nak ambil pendekatan yang ‘simplistic’ (terlalu mudah)… semua yang kerajaan buat semuanya tak kena.

    “Orang kata mudah diucapkan daripada melakukan, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul… setakat tengok belum pikul belum tahu,” katanya.

    Annuar berkata berdasarkan sejarah, individu yang sebelum ini mengkritik kerajaan kelihatan bijak, hebat dengan idea yang pelbagai, namun apabila diberi peluang mentadbir akhirnya mereka tidak dapat melaksanakannya kerana menguruskan negara bukan perkara yang mudah.

    Semalam, Annuar mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan yang dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

    Sementara itu, Annuar menegaskan kerajaan mengambil kira semua aspek terutama kemampuan rakyat sebelum mengambil keputusan bagi mengawal harga barangan di pasaran. 

    Memberi contoh harga ayam, beliau berkata walaupun harga ayam di negara jiran jauh lebih tinggi disebabkan kesan inflasi, kerajaan mengambil keputusan untuk tetap tidak mengapungkan harga ayam demi keperluan rakyat.

    “Adakah rakyat bersedia membeli ayam lebih harga RM10? Maka, kerajaan Keluarga Malaysia tetap tidak mengapungkan harga ayam dan ditetapkan harga siling bawah RM10 dan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk tujuan itu,” katanya.  – BERNAMA

  • ‘’Datuk Seri ini dekat mahkamah ye bukan kedai kopi’’ -Pendakwa Raya

    ‘’Datuk Seri ini dekat mahkamah ye bukan kedai kopi’’ -Pendakwa Raya

    PIHAK  pendakwaan hari ini menegur Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak menjadikan mahkamah seperti ‘kedai kopi’ atau mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semasa menjawab soalan dalam perbicaraan kes yang dihadapinya.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membuat teguran itu apabila Ahmad Zahid berkali-kali tidak menjawab soalan secara spesifik dan mahu memberi penjelasan, sedangkan pendakwaan tidak meminta berbuat demikian.

    Soalan yang diajukan Raja Rozela adalah adakah bekas timbalan perdana menteri itu bersetuju bahawa bekas Setiausaha Eksekutifnya Mej Mazlina Mazlan @ Ramly tidak boleh sentuh wang dalam akaun simpanan tetap di Tetuan Lewis & Co.

    Selepas beberapa kali Raja Rozela bertanyakan soalan itu dan menegur supaya menjawabnya secara spesifik, Ahmad Zahid akhirnya menjawab “Setuju”.

    Raja Rozela kemudian mengucapkan “Terima kasih, terima kasih Datuk Seri, terima kasih banyak, manakala Ahmad Zahid menjawab “Terima kasih kepada anda juga”.

    Berasa sinis dengan jawapan Ahmad Zahid itu, Raja Rozela kemudian berkata “Hati-hati Datuk Seri. Datuk Seri dekat dalam mahkamah ya, bukan dekat kedai kopi, bukan dekat majlis tertinggi, saya ingatkan anda sebagai pegawai mahkamah”.

    Sebelum itu, Raja Rozela turut menegur Ahmad Zahid apabila beliau mengelak untuk menjawab soalan secara spesifik berkenaan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dipindahkan ke akaun simpanan tetap Lewis & Co.

    “Datuk Seri kena belajar untuk hormat mahkamah Datuk Seri ya. Bila saya tanya soalan dan soalan itu adalah spesifik, Datuk Seri tolong lah jawab soalan itu secara spesifik melainkan saya suruh Datuk Seri memberikan penjelasan.

    “Saya adalah pegawai mahkamah Datuk Seri. Saya dan rakan bijaksana saya, peguam-peguam Datuk Seri adalah pegawai mahkamah. Kami menjalankan tugas untuk menjalankan prosiding ini untuk mahkamah ini Datuk Seri. Saya minta sangat-sangat Datuk Seri tolong lah fokus, kalau tidak sampai malam kita di sini (mahkamah),” tegas Raja Rozela.

    Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid bangun dan menyatakan anak guamnya perlu diberikan peluang untuk memberikan penjelasan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata pendakwaan memberikan pandangan sedemikian kerana Ahmad Zahid tidak menjawab soalan secara spesifik, sebaliknya memberikan penjelasan.

    “Kadangkala saksi diberikan peluang untuk memberikan penjelasan, tetapi apabila ditanya sama ada saksi setuju atau tidak, saksi hanya perlu menjawab sama ada setuju atau tidak. Oleh sebab itu pendakwaan berpandangan begitu,” kata Hakim Sequerah.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik YAB selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • Presiden parti politik Sabah ditahan dalangi sindiket tipu kad individu

    Presiden parti politik Sabah ditahan dalangi sindiket tipu kad individu

    SEORANG Presiden parti politik di Sabah adalah antara dua individu yang ditahan pada 22 Jun lepas di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan kad data maklumat individu tanpa kewarganegaraan.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata lelaki terbabit dan seorang lagi individu disyaki memperdayakan mangsa dengan memberi jaminan pemegang kad data berkenaan akan menerima keistimewaan dan kemudahan sama seperti warganegara.

    Bercakap pada sidang media di Bukit Aman hari ini, Hamzah berkata beliau menerima maklumat mengenai sindiket itu daripada seorang individu dari luar negara dan kemudian memaklumkannya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata polis kemudian menubuhkan unit khas untuk menjejak sindiket terbabit dan berjaya menahan dua suspek berkenaan di Subang Jaya.

    “Kedua-dua individu itu juga memperdayakan mangsa dengan menjanjikan bahawa mereka turut menerima kad pengenalan berwarna biru seperti yang diberi kepada rakyat negara ini selepas segala urusan berkaitan selesai,” katanya.

    Beliau berkata lelaki terbabit mendaftarkan parti itu pada 2017 dan menjadi presiden parti berkenaan.

    Hamzah berkata berdasarkan siasatan, dianggarkan 400 individu tanpa kewarganegaraan menjadi mangsa sindiket terbabit yang mengenakan bayaran RM500 hingga RM1,000 seorang.

    Sindiket itu pada mulanya menyasarkan individu tanpa kewarganegaraan di Sabah dan kemudian meluaskan operasinya ke Semenanjung.

    Hamzah berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak tertipu dengan mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan sedemikian kerana kerajaan tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau individu untuk berbuat demikian.

    “Hanya Jabatan Pendaftaran Negara boleh mengeluarkan kad pengenalan yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.

    Sementara itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan akan melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan pendatang tanpa izin selepas Program Rekalibrasi Pulang tamat tengah malam ini.

    Beliau berkata program yang dilancarkan pada November 2020 itu tidak akan disambung dan majikan dinasihat supaya tidak mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen kerana mereka berisiko dikenakan tindakan.

    — BERNAMA

  • Salah guna kuasa: YDP pertubuhan kebajikan direman 5 hari

    Salah guna kuasa: YDP pertubuhan kebajikan direman 5 hari

    DUA lelaki termasuk seorang Yang Dipertua (YDP) sebuah pertubuhan kebajikan di Terengganu direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan kuasa pelantikan pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama, empat tahun lepas.

    Perintah reman sehingga Isnin (4 Julai) di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu terhadap kedua-dua suspek berusia 80-an dan 50-an itu.

    Ia bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dijalankan.

    Menurut sumber SPRM pada sekitar 2018, YDP pertubuhan kebajikan yang berusia 80-an tersebut disyaki telah menggunakan jawatannya untuk melantik sekutunya sebagai pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama dengan beliau mempunyai kepentingan ke atas syarikat itu.

    Kedua-dua suspek ditahan semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Kuala Terengganu. – BERNAMA

  • Geng Nigeria seludup keluar minyak masak paket guna cerek

    Geng Nigeria seludup keluar minyak masak paket guna cerek

    POLIS Klang Utara menahan tiga lelaki warga Nigeria yang dipercayai menyeludup keluar minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) pelbagai jenama menggunakan cerek air dan periuk nasi elektrik di sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Klang, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao berkata, kegiatan tiga individu berusia sekitar 30-an hingga 40-an yang menjalankan perniagaan jual beli alat ganti kenderaan terpakai itu terbongkar selepas pihaknya melakukan serbuan sekitar 2 petang di premis tersebut rentetan daripada aduan orang awam berhubung kegiatan mereka.

    Vijaya Rao berkata, pihaknya turut merampas antaranya 1,100 paket minyak masak bersubsidi 1kg pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2,750; 225 unit cerek air terpakai pelbagai kapasiti liter bernilai RM7,000 dan 51 peralatan elektrik pelbagai jenis bernilai RM3,000 dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM18,910.

    “Modus operandi mereka ini adalah dengan membeli minyak masak paket bersubsidi daripada orang tempatan. Mereka kemudiannya menyembunyikan dua hingga tiga paket minyak di dalam sebuah cerek dan periuk nasi elektrik mengikut kapasiti sebelum dihantar ke Nigeria menggunakan kontena dari negara ini.

    “Kami percaya harga minyak masak yang tinggi di Nigeria membuatkan mereka bertindak menyeleweng barang bersubsidi ini. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung berapa banyak minyak paket yang telah dihantar ke sana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.

    Vijaya Rao berkata, semakan rekod mendapati pasport ketiga-tiga suspek itu telah tamat tempoh sejak tiga tahun lepas dan mereka telah menyewa premis perniagaan itu daripada seorang pemilik tempatan sejak lima tahun lalu serta premis itu mempunyai lesen untuk beroperasi.

    “Kita kini sedang giat mengesan pemilik premis tersebut dan ketiga-tiga mereka direman empat hari yang akan tamat esok dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 55B serta Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – BERNAMA

  • Berita palsu cetus pembelian panik minyak masak 1 kg – Annuar

    Berita palsu cetus pembelian panik minyak masak 1 kg – Annuar

    BERITA tidak benar kononnya subsidi minyak masak satu kilogram akan dihentikan mulai 1 Julai menyebabkan orang ramai membeli minyak masak bersubsidi itu dalam kuantiti yang besar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

    Beliau berkata, tindakan orang ramai itu menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak satu kilogram di pasaran.

    “Soal bekalan ini kita sedang buat penelitian secara terperinci… Perkara ini ada dibincangkan tadi dan menteri memberikan jaminan beberapa tindakan akan dilakukan bagi memastikan bekalan cukup.

    “Kita ada langkah-langkah tertentu yang dibincangkan tadi yang tidak perlu saya sebutkan di sini tetapi soal ketidakcukupan, kita ada kaedah tertentu untuk perbaiki dalam masa terdekat.

    “Pastinya jumlah yang kita subsidikan setiap bulan (iaitu) 60,000 tan metrik sebulan sepatutnya lebih daripada mencukupi kecuali ada perkara tertentu berlaku yang perlu kita uruskan dengan lebih baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Putrajaya, hari ini.

    Annuar dalam pada itu berkata, pihaknya turut mengesan tindakan penjual dalam talian yang membuat jualan semula terhadap minyak masak bersubsidi satu kilogram pada harga RM27 untuk lima paket sedangkan di pasaran hanya RM12.50 bagi lima paket.

    “Semalam ada iklan di platform jualan dalam talian yang buat tawaran ini secara terbuka… saya sudah arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk ambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada.

    “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan buat tindakan susulan, yang penting tindakan tegas akan diambil bagi sesiapa sahaja yang melanggar akta sedia ada,” katanya.

    Menurut Annuar, kerajaan berhempas pulas untuk menjaga kebajikan rakyat dan tindakan peniaga sengaja menaikkan harga untuk mencari untung adalah satu kezaliman kepada rakyat.

    “Saya seru kepada orang ramai untuk tolong hentikan (sengaja menaikkan harga) … beri kerjasama dengan kerajaan untuk hentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan merugikan rakyat kita sendiri.

    “Kita tahu rakyat susah, tekanan harga barang naik dari segenap penjuru… Kita percaya mulai sekarang saya yakin peniaga mendengar mesej ini dan akan berikan kerjasama untuk pastikan barangan yang disubsidi tidak disalah guna,” katanya.

    Annuar berkata mulai Ogos, KPDNHEP akan memperkenalkan label pada paket minyak masak bersubsidi bagi memudahkan penguatkuasaan mengekang aktiviti penyeludupan.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas itu bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

    Ismail Sabri berkata, pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan. – BERNAMA

  • Bella takut, badan kurus semasa jumpa kali pertama di HKL – Saksi

    Bella takut, badan kurus semasa jumpa kali pertama di HKL – Saksi

    SEORANG penolong pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Bella berada di dalam keadaan takut dan tubuh badannya kurus semasa berjumpa remaja perempuan sindrom down itu buat kali pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tahun lepas.

    Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, berkata, semasa beliau melawat remaja itu pada 4 Julai 2021, Bella bukan sahaja dilihat tidak gembira malah berjalan dalam keadaan tunduk tanpa melihat sesiapa selain kedua-dua tangannya turut berbalut.

    “Saya berjumpa Bella yang dirawat di wad COVID hospital itu dan saya melihat mukanya berparut. Bella juga dilihat tidak senyum serta ketakutan,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Menceritakan lebih lanjut, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata pada 24 Jun 2021, beliau menerima WhatsApp daripada Siti Bainun yang memaklumkan Bella jatuh dan terkena air panas.

    “Siti Bainun hantar WhatsApp pada 3.03 petang dan dia ada menghantar beberapa gambar kecederaan pada tangan dan kepala Bella. Siti Bainun kata dia telah pergi ke hospital dan membeli ubat spray kuning.

    “Dalam WhatsApp itu juga, Siti Bainun turut nyatakan Bella positif COVID-19 tetapi dia tidak membawa Bella untuk buat ujian swab kerana takut dengan keadaan fizikal Bella,” kata saksi itu.

    Menurut Mohamad Imran, Siti Bainun memberitahunya bahawa Bella terkena air panas dua hari sebelum hari raya.

    Kepada soalan Fazeedah apakah tindakan yang dilakukan selepas dimaklumkan oleh Siti Bainun bahawa Bella terkena air panas, saksi itu berkata: Saya minta Siti Bainun membawa Bella ke hospital dan dia maklumkan akan membawa remaja itu ke hospital selepas habis kuarantin pada 29 Jun 2021.

    “Pada 24 Jun 2021, saya berbincang dengan pelindung kanak-kanak lain untuk mereka membawa Bella ke hospital dan saya berbincang dengan Ketua Unit Kanak-Kanak JKM pada keesokannya (25 Jun) dan berusaha untuk mendapatkan ambulans untuk membawa Bella ke hospital. Siti Bainun kemudian maklumkan dia telah ditahan di wad Hospital Sungai Buloh (kerana positif COVID-19).

    “Saya bertanya kepada Siti Bainun bagaimana keadaan Bella di rumah dan Siti Bainun hanya memaklumkan remaja itu dijaga oleh anak-anak di rumah itu,” kata Mohamad Imran.

    Saksi itu berkata, kali pertama beliau terserempak dengan Bella selepas dijaga Siti Bainun adalah pada 17 Feb 2021 di Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur dan keadaan Bella pada masa itu gembira selain turut memeluk Siti Bainun.

    Mohamad Imran berkata, beliau tidak pernah bersetuju Bella diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun kerana tidak mengenali wanita itu secara peribadi dan tidak mengetahui latar belakang pengasas rumah kebajikan itu.

    Bagaimanapun, Mohamad Imran berkata, Mahkamah Majistret Kanak-Kanak membenarkan perintah jagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun bermula 14 Julai sehingga 20 Sept 2020 manakala hak penjagaan tetap bermula 24 Sept 2020.

    Terdahulu, saksi berkata, Siti Bainun telah menyampaikan hasratnya itu kepada seorang pegawai pelindung kanak-kanak dikenali Siti Sarah untuk menjaga remaja berkenaan dan berdasarkan perbincangan dengan Siti Bainun, kanak-kanak itu ditempatkan di kediaman keluarga Siti Bainun di Ampang.

    “Bella adalah kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang perlu diawasi pihak lain selain Siti Bainun serta sokongan keluarga penting untuk memastikan keselamatan Bella sentiasa dipelihara.

    Menurut saksi itu, Bella sebelum ini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban sejak 2011 sehingga 2020 sebelum Siti Bainun menjaga remaja itu.

    Mohamad Imran, berkata Bella juga tidak bersekolah selepas dijaga oleh Siti Bainun.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam bersambung. – BERNAMA