Author: Bernama

  • Minyak masak tiris, warga asing pula nikmati subsidi

    Minyak masak tiris, warga asing pula nikmati subsidi

    KERAJAAN memandang serius masalah ketirisan pembekalan minyak masak bersubsidi yang antaranya dikatakan berpunca daripada kegiatan penyeludupan ke negara jiran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau yang juga anggota Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan, apabila bekalan minyak masak paket bersubsidi dalam negara kini didapati berkurangan.

    Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai isu itu, termasuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    “Kita ingin tahu sejauh mana seriusnya perkara ini, kerana kerajaan beri subsidi (untuk penduduk tempatan), namun ia dinikmati oleh orang asing …perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui selepas meninjau harga barangan keperluan harian dan runcit di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu hari ini.

    Merujuk kepada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Mustapa berkata, pasukan itu akan mengadakan mesyuarat kali ketiga esok, dengan memberi fokus kepada dua perkara utama iaitu kaedah bagi menangani isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi dan isu kenaikan harga barangan keperluan. – BERNAMA

  • 13 lelaki ditahan seludup diesel di Kota Tinggi

    13 lelaki ditahan seludup diesel di Kota Tinggi

    SERAMAI 13 lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel melibatkan rampasan sebanyak 138,000 liter dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing berusia 18 hingga 62 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam menerusi Op Bersepadu Kontraban.

    Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli diesel di sekitar negeri ini sebelum menjualnya untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk kapal dagang asing dengan harga kira-kira RM3.50 seliter.

    “Mereka menjalankan sindiket (seludup minyak) ini tiga hari sekali dengan menjualnya ke pasaran gelap dengan harga lebih tinggi.

    “Sindiket ini dikesan sebulan lepas dan premis (diserbu) merupakan tempat transit penyeludupan minyak diesel bersubsidi,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di Kota Tinggi hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah satu kapal tangki asing, empat tangki lori treler, empat pam penyedut minyak, dua generator dan sebuah kereta Toyota Vios melibatkan nilai keseluruhan rampasan RM14.4 juta.

    Beliau berkata seorang individu yang ditahan mempunyai rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA

  • Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan dalam kejadian di Jalan Raja Uda, di Butterworth tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Mohd Radzi Ahmad berkata, lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penumpang hadapan maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan rakannya berumur 20-an yang duduk di kerusi belakang dalam keadaan kritikal dirawat di hospital sama.

    Katanya, pemandu kereta Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 20-an mengalami cedera ringan dalam kemalangan yang berlaku pada 12.15 tengah malam itu.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang sedang membelok ke kanan jalan bertembung dengan kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Axia berpusing dan melanggar Perodua Alza yang sedang berhenti di tepi jalan di situ, kedua-dua lelaki yang memandu Honda City dan Perodua Axia mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Radzi berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • [VIDEO] Paderi kurung 77 tebusan dalam gereja

    [VIDEO] Paderi kurung 77 tebusan dalam gereja

    SERAMAI 77 orang yang dijadikan tebusan di sebuah gereja di barat daya Nigeria berjaya diselamatkan, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan pada Sabtu.

    Seorang paderi bertindak mengurung tebusan termasuk 23 kanak-kanak di tingkat bawah sebuah gereja di daerah Valentino di Ondo State.

    Pegawai Perhubungan Awam Polis Ondo, Funmilayo Odunlami, berkata paderi itu telah ditahan dan siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan. – BERNAMA

  • Kecoh di lapangan terbang, 65 penerbangan dibatalkan

    Kecoh di lapangan terbang, 65 penerbangan dibatalkan

    SEBANYAK 65 penerbangan di lapangan terbang Lisbon dibatalkan pada Sabtu, mengakibatkan ribuan penumpang terkandas dan terpaksa beratur panjang, lapor Xinhua.

    Menurut syarikat penerbangan TAP, pembatalan itu disebabkan insiden tayar jet peribadi pecah, memaksa landasan lapangan terbang ditutup.

    Sebaliknya, pengawal udara ANA (Aeroportos de Portugal), mendakwa ia disebabkan masalah yang lebih besar iaitu kekangan perkhidmatan di beberapa lapangan terbang Eropah.

    “Sebanyak 65 penerbangan dibatalkan pada hari ini – 40 ketibaan dan 25 pelepasan, akibat masalah perkhidmatan di beberapa lapangan terbang Eropah ” menurut ANA dalam satu kenyataan media.

    Lapangan terbang Lisbon telah mengambil langkah-langkah sewajarnya termasuk mewujudkan kaunter mudah alih tambahan untuk menjadualkan semula penerbangan.

    Kelewatan dan pembatalan penerbangan di lapangan terbang di Eropah juga susulan pekerja terminal dan syarikat penerbangan melancarkan mogok. – BERNAMA

  • 3 kru selamat, 1 hilang insiden kapal tangki karam

    3 kru selamat, 1 hilang insiden kapal tangki karam

    PUSAT Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching mengaktifkan Operasi Carilamat pada jam 11.15 pagi Sabtu susulan seorang mangsa dikhuatiri hilang setelah sebuah kapal tangki dilaporkan karam di perairan Samalaju, kira-kira 40.2 batu nautika dari barat laut Bintulu.

    Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pada jam 10.53 pagi, MRSC Kuching menerima laporan bahawa Banga 2, yang membawa empat kru, dikhuatiri karam di perairan itu.

    Beliau berkata, tiga kru berjaya diselamatkan manakala seorang lagi, yang merupakan warga India dikenali sebagai Himanshu Kumar, dikhuatiri hilang.

    “Menurut mangsa yang terselamat, ketika kapal tersebut sedang bersauh di perairan Samalaju sekitar 2 pagi semalam, kapal mereka telah dilanda ribut sehingga menyebabkan ia dimasuki air dan tenggelam.

    “Tiga mangsa iaitu dua warga tempatan termasuk nakhoda serta seorang warga India telah berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki rakit keselamatan manakala seorang lagi kru tidak sempat menaikinya dan terus hanyut menjauhi rakit keselamatan,” menurutnya dalam kenyataan.

    Mohd Khairol juga berkata, ketiga-tiga mangsa yang menaiki rakit keselamatan telah diselamatkan oleh sebuah bot yang kebetulan berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

    “Pakaian terakhir mangsa yang dilaporkan hilang ialah berbaju hitam putih, seluar panjang dan memakai jaket keselamatan.

    “KM SETIA, yang sedang beroperasi di sekitar perairan Bintulu, telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian,” katanya.

    Beliau berkata Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Samalaju dan MRSC Kuching juga telah memaklumkan insiden itu kepada agensi sahabat serta memajukan permohonan aset udara kepada Unit Udara Bomba Miri dan Polis Gerakan Udara Miri. – Bernama

  • ILI: Ibu bapa diminta pantau kesihatan anak-anak sebelum hantar ke sekolah

    ILI: Ibu bapa diminta pantau kesihatan anak-anak sebelum hantar ke sekolah

    IBU bapa diminta memantau kesihatan anak-anak mereka sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebagai langkah berjaga-jaga biarpun wujud beberapa kluster kes penyakit seperti influenza (ILI) melibatkan sekolah-sekolah di Perak yang penularannya masih berada dalam keadaan terkawal.  

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohammad Daud berkata ibu bapa hanya perlu melakukan pengasingan dan pemantauan ke atas anak-anak mereka sekiranya mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak.

    “Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi dan memantau anak-anak mereka sebelum pergi ke sekolah dan tidak menghantar ke sekolah sekiranya ada simptom demi untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar yang lain di sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Akademi Bina Insan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia di Ipoh hari ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin dilaporkan berkata sebanyak 35 kluster ILI direkodkan di negeri itu setakat ini dengan 26 kluster masih aktif yang membabitkan institusi pendidikan.

    Mohd Akmal berkata Daerah Kinta merekodkan enam kluster, antara yang tertinggi berbanding daerah lain iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak, Batang Padang, Kampar, Muallim dan Perak Tengah.

    Beliau berkata majoriti kes dirawat sebagai pesakit luar sahaja dan wabak itu masih terkawal dan tiada sebarang kematian direkodkan. –Bernama

  • Haji: Rawatan pergigian disedia untuk jemaah Malaysia

    Haji: Rawatan pergigian disedia untuk jemaah Malaysia

    DEMI memastikan jemaah Malaysia sihat dari pelbagai sudut, Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kesihatan awam, sakit puan dan penjagaan rohani tetapi juga pergigian.

    Bertempat di Pusat Kesihatan TH Syisyah, di Makkah, klinik rawatan itu menyediakan kelengkapan peralatan sepertimana di tanah air dengan tenaga pakar dan ubat-ubatan.

    Dr. Norhayati Abas, 40, berkata meskipun peranan mulut dan gigi dilihat kecil sahaja dalam melaksanakan ibadah tetapi jemaah pastinya tidak dapat mengerjakan haji dengan sempurna jika mengalami sakit gigi dalam tempoh yang panjang.

    “Merawat pesakit di Tanah Suci ini tidak ada perbezaan yang ketara berbanding di tanah air. Kita akan beri perkhidmatan terbaik dari segi perkhidmatan tampalan dan pembersihan karang gigi.

    Kita juga akan memberi fokus kepada kembalikan fungsi gigi untuk jemaah haji beribadah dengan baik tanpa rasa sakit dalam mulut. Yang penting…mulut sihat, ibadah mantap,” katanya yang merupakan pakar pergigian dan periodontik di Klinik Pergigian Paya Besar, Kuantan.

    Dr Norhayati yang berpeluang berkhidmat di Makkah buat kali pertama turut dibantu seorang jururawat dan seorang pembantu pembedahan dan mereka akan bertugas setiap hari.

    Katanya, rata-rata jemaah yang menerima rawatan mengalami bengkak gusi, tampalan pecah dan gigi berlubang, berkemungkinan kesan daripada pemakanan yang tidak sama sepertimana di tanah air.

    “Mulut bukan sekadar untuk makan dan kita perlu tahu makanan yang sihat dan mencukupi penting untuk memberi tenaga kepada jemaah. Tetapi jangan lupa bahawa sebutan dalam solat juga turut penting dan kalau gigi longgar macam mana nak sebut dengan betul,” katanya.

    Tambah beliau, walaupun bilangan jemaah tahun ini hanya seramai 14,306 orang tetapi perkhidmatan mereka tetap akan berjalan sepertimana tahun sebelum ini malah pihaknya menambah baik kelengkapan dan peralatan semakin canggih.

    “Jemaah haji tahun ini ada yang muda, pertengahan umur dan bawah 65 tahun. Jadi saya jangkakan mereka ada gigi yang agak baik berbanding sebelum ini yang lebih ramai warga emas yang mengalami masalah gigi longgar.

    Kali ini kita jangka ada masalah gigi berlubang, tampalan bermasalah dan ada yang memakai pendakap gigi. Jika berlaku kerosakan pada pendakap gigi ia boleh menjejaskan kesihatan..besi pada pendakap gigi boleh mencucuk bibir dan lidah, ia perlukan doktor gigi untuk merawat,” katanya.

    Klinik pergigian mula beroperasi di Makkah bermula 2014 dan ia sentiasa mendapat sambutan dari jemaah haji sehingga berakhir musim haji.–Bernama

  • Terengganu anjur semula perkahwinan beramai-ramai secara percuma

    Terengganu anjur semula perkahwinan beramai-ramai secara percuma

    SELEPAS dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, kerajaan Terengganu akan menganjurkan semula Majlis Walimatulurus Perdana untuk membantu bakal pengantin berkahwin secara percuma bermula September depan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, program itu bertujuan membantu meringankan beban ahli keluarga yang tidak berkemampuan serta menggalakkan perkahwinan semula ibu dan bapa tunggal di Terengganu.

    “Majlis akad nikah dan resepsi pengantin akan dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan pengantin yang terpilih tidak perlu mengeluarkan wang perbelanjaan kerana semuanya ditanggung oleh kerajaan negeri.

    “Antara manfaat semasa program (majlis akad nikah dan resepsi) yang akan diterima oleh setiap pasangan ialah satu set persalinan akad nikah, khidmat jurunikah, pelamin, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar, jemputan jamuan khas pengantin bersama keluarga terdekat serta cenderahati untuk tetamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sejak dimulakan pada 2016 hingga 2019, seramai 1,167 pasangan mendapat manfaat daripada program terbabit.

    Hanafiah berkata, bakal pengantin terdiri ibu atau bapa tunggal juga layak menerima insentif RM1,000 setiap seorang.

    “Bagi pasangan belia, mereka ditawarkan Skim Pinjaman Modal Perniagaan di bawah Skim Pinjaman Jaya Diri (PJD) dengan jumlah maksimum RM20,000 kepada yang berminat dan layak,” katanya.

    Bakal pengantin yang berminat boleh melayari laman web rasmi atau menghubungi YPKT daerah masing-masing untuk maklumat lanjut. – Bernama

  • Empat maut pesawat perubatan terhempas di Argentina

    Empat maut pesawat perubatan terhempas di Argentina

    EMPAT penumpang terbunuh selepas sebuat pesawat perubatan terhempas di lapangan terbang di bandar Rio Grande, selatan Argentina pada Jumaat, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita Télam.

    Mereka yang maut terdiri dua juruterbang, seorang jururawat dan seorang doktor.

    Pesawat Learjet 35A, terhempas sejurus berlepas pada 2.36 petang waktu tempatan (1736 GMT), dalam perjalanan pulang selepas menghantar seorang pesakit ke Rio Grande.

    “Pesawat itu terhempas di kawasan Pangkalan Udara Tentera Laut, kira-kira 1,000 meter dari kawasan kediaman, sebelum terbakar,” lapor Telam.

    Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas.