Author: Bernama

  • [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    PESAWAT pejuang Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas dua kubu kuat kumpulan Hamas yang terletak di Semenanjung Gaza.

    Serangan udara itu menyasarkan kilang roket Hamas dan kemudahan pengeluaran senjata lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Tentera Israel.

    Kilang itu merupakan pusat pengeluaran roket terbesar di Semenanjung Gaza.

    Menurut kenyataan berkenaan serangan itu sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza.

    Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat serangan itu.

    Tentera Israel sebelum ini mendakwa satu daripada dua roket yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Ashkelon baru-baru ini berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Iron Dome. – BERNAMA

  • Pelajar IPTA rugi RM18,000 ditipu sindiket kerja e-Dagang

    Pelajar IPTA rugi RM18,000 ditipu sindiket kerja e-Dagang

    SEORANG pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami kerugian berjumlah RM18,193.98 selepas ditipu sindiket penawaran kerja menerusi satu platform e-Dagang yang menjanjikan pulangan komisen dalam masa singkat.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pelajar lelaki berusia 22 tahun itu, semalam.

    Beliau berkata, ia bermula apabila pelajar berkenaan tertarik dengan iklan pekerjaan dalam talian di laman sosial yang menggunakan platfrom e-Dagang dan mula berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk berbincang mengenai pekerjaan itu.

    “Pelajar itu diyakinkan yang dia hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan tertentu dan modalnya nanti akan dibayar serta-merta berserta 10 peratus komisen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau berkata, tertarik dengan tawaran berkenaan, lelaki itu telah membuat pindahan wang ke tiga akaun bank tempatan yang berbeza sebagaimana arahan pihak sindiket itu.

    Bagaimanapun beliau berkata, pelajar itu merasakan dirinya telah ditipu selepas pihak berkenaan mengarahkannya membuat bayaran modal tambahan, sedangkan bayaran modal dan komisen terdahulu belum diterima.

    Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Kamarul Zaman berkata, seorang warga emas tempatan mengalami kerugian RM529,300 selepas terpedaya dengan penipuan ‘Macau Scam’, apabila dihubungi seorang lelaki kononnya anggota polis yang mendakwa dia terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

    Menurut beliau, ia bermula apabila bekas pekerja di sebuah syarikat swasta berumur 85 tahun itu dihubungi lelaki berkenaan pada pertengahan Mei lepas yang memaklumkan bahawa akaun banknya akan disiasat oleh pihak berkuasa.

    “Warga emas itu mengikut arahan lelaki berkenaan dengan memindahkan kesemua wangnya ke dalam satu akaun bank miliknya yang lain dan seterusnya menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada lelaki itu.

    “Rabu lepas, warga emas itu telah membuat semakan terhadap akaunnya dan mendapati wang telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan dibayar kepada beberapa pihak yang tidak dikenali,” katanya sambil menambah setelah sedar dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis Khamis lepas. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan sehari selepas curi barang kemas

    Lelaki ditahan sehari selepas curi barang kemas

    POLIS menahan seorang lelaki tidak sampai 24 jam selepas dia disyaki melarikan barang kemas bermilai RM35,000 dari sebuah kedai emas di Teluk Intan dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan perumahan di Jalan Lapangan Siber, Bandar Cyber di Ipoh pada pukul 5 petang semalam.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang Khamis lepas, lelaki itu dikatakan memeriksa beberapa utas rantai tangan kononnya untuk dibeli, namun sebaliknya suspek terus melarikan barang kemas itu dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai berkenaan.

    Katanya, polis turut merampas barang kemas iaitu dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher yang dianggarkan bernilai RM35,000 daripada suspek yang didapati positi dadah jenis Methamphetamine itu.

    Ahmad Adnan berkata, suspek yang memiliki empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Jangan sertai ‘flashmob’ bantah harga barang naik – KPN

    Jangan sertai ‘flashmob’ bantah harga barang naik – KPN

    POLIS menasihatkan seluruh masyarakat agar tidak menyertai sebarang aktiviti perhimpunan dan ‘flashmob’ yang tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penganjur ‘flashmob’ atau perhimpunan berkenaan, serta peserta yang gagal mematuhi undang-undang.

    “PDRM akan memantau dan memastikan situasi keselamatan negara tidak terjejas. Masyarakat diminta memberi kerjasama dengan tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Acryl mengeluarkan kenyataan itu selepas polis baru-baru ini mengesan sebaran video di media sosial yang mengajak orang ramai untuk menyertai aktiviti ‘flashmob’ di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga barang. – BERNAMA

  • [VIDEO] Juruterbang maut pesawat terhempas dalam misi padam kebakaran

    [VIDEO] Juruterbang maut pesawat terhempas dalam misi padam kebakaran

    SEORANG juruterbang maut selepas pesawat dipandunya terhempas ketika menyertai misi memadamkan kebakaran di perbandaran Vila Nova de Foz Coa di Portugal, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan.

    Pejabat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Pesawat dan Kereta Api telah melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas itu.

    Presiden Marcelo Rebelo de Sousa turut melahirkan rasa sedih dengan insiden itu.

    https://youtu.be/hKGxaFXJWYw

    Portugal diancam kebakaran berikutan suhu panas mencecah lebih 45 darjah Celsius melanda beberapa bahagian di negara ini. – BERNAMA

  • Laporan situasi terkini COVID-19 dibentang kepada MPN 26 Julai

    Laporan situasi terkini COVID-19 dibentang kepada MPN 26 Julai

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) yang dijadualkan bersidang pada 26 Julai ini akan mendengar laporan terkini situasi COVID-19 yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), di samping laporan berhubung pengurusan ekonomi negara.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kes COVID-19 dalam negara menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, beliau yakin keadaan adalah terkawal.

    “…logistik seperti katil hospital, keupayaan menguruskan (kes) setakat ini tidak menjadi masalah, tempoh dua tahun telah memberikan cukup banyak pengalaman menguruskan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Blood Donation Drive 2022 anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) di Mid Valley Mega Mall di Kuala Lumpur hari ini.

    “COVID-COVID lah… tapi orang hendak hidup, hendak cari makan, ada pekerjaan, nak hidupkan semula industri dan kegiatan ekonomi, supaya ekonomi negara tidak terus terjejas teruk sebagaimana berlaku masa lepas,” tambahnya.

    Katanya, Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang sedang disiapkan MPN akan mengambil kira langkah-langkah holistik yang wajar diambil berkaitan ekonomi memandangkan rakyat ketika ini terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan bermacam isu lain.

    Mengenai kempen derma darah hari ini Muhyiddin berkata ia merupakan acara tahunan TSMCGF yang masuk tahun kesembilan, dan penganjuran kali ini disasar mengumpulkan lebih 600 pek darah.

    Kempen derma darah yang berlangsung hari ini dan esok di pusat membeli-belah Mid Valley Mega Mall itu adalah program kolaborasi TSMCGF dengan Pusat Darah Negara and IGB Real Estate Investment Trust. – BERNAMA

  • Jangan terlalu bodek Anwar, kata Rafizi

    Jangan terlalu bodek Anwar, kata Rafizi

    KEPIMPINAN baharu dan ahli PKR diingatkan agar tidak terlalu membodek atau mempertahankan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam setiap perkara, kata Timbalan Presiden PKR yang baharu, Mohd Rafizi Ramli.

    Beliau mendakwa, masalah timbul apabila terdapat kelompok di sekeliling Anwar yang sering merasakan mereka perlu membela pemimpin berkenaan sehingga tidak boleh ada fakta yang dilihat menyentuh (mengkritik) Presiden parti itu.

    “Apa yang penting adalah parti dan kepimpinan baharu tidak terlalu berusaha membodek Anwar atau pertahankannya. Anwar is Anwar…dia tidak perlu dipertahankan. Saya tidak akan memainkan peranan itu (membodek),” katanya kepada pemberita selepas ucapan dasar Anwar di Kongres Nasional PKR 2022 di Shah Alam hari ini.

    Sementara itu Mohd Rafizi berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu menimbangkan dua perkara penting sebelum memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain atau membentuk ‘khemah besar’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata, PKR perlu menimbangkan sentimen ahli parti serta penyokong PH mengenai idea ‘khemah besar’ dan keduanya meneliti kesan negatif sekirannya terdapat parti lain bekerjasama dengan gabungan itu. – BERNAMA

  • Henti bersaing atau nama tidak dicalon PRU-15, tegas Anwar

    Henti bersaing atau nama tidak dicalon PRU-15, tegas Anwar

    PKR tidak akan memilih pemimpin parti yang masih meneruskan persaingan dalaman sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya selaku Presiden tidak akan memaafkan saudara di ranting, cabang, AMK (Angkatan Muda Keadilan), wanita yang memilih untuk meneruskan persaingan sebelum pemilihan parti. Kalau terus berlaku begitu, jaminlah tidak ada surat watikah (calon PRU) akan sampai ke saudara.

    “Biduk lalu, kiambang bertaut. Memaknai dan menghayati idealisme lebih sukar dari sekadar mengolah dan mengungkapkannya. Gesaan ini terpakai untuk semua kepimpinan,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional ke-16 PKR dengan tema Menjulang Keadilan di Shah Alam, hari ini.

    Anwar yang mempertahankan jawatan nombor satu parti tanpa bertanding dalam pemilihan PKR 2022, juga berikrar akan memastikan saf kepimpinan untuk bersatu, menghormati adab berjemaah dan kekal inklusif bagi merangkul semua kekuatan parti sebagai gerakan rakyat.

    Kata Anwar, PKR akan terus memperteguh hubungan bersama DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRU-15, dan bersedia mewujudkan jaringan dengan semua parti politik pembangkang sealiran dari segi dasarnya.

    “Saya tidak layan kenyataan yang berdolak dalih. PH akan kekal sebagai induk terkuat dan sebarang bentuk kerjasama dengan pembangkang mesti berteraskan prinsip yang sama dengan PH dan bukannya semata-mata ‘political expediency’ menuju PRU15,” katanya.

    Turut hadir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – BERNAMA

  • Bekas isteri Trump mungkin mati akibat jatuh tangga

    Bekas isteri Trump mungkin mati akibat jatuh tangga

    IVANA Trump, bekas isteri Donald Trump, meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian perut, kata ketua forensik bandar raya New York dan memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat kemalangan.

    Paramedik Manhattan menemui wanita berusia 73 tahun itu di pangsapuri Upper East Side selepas menerima panggilan kecemasan akibat serangan jantung pada Khamis. Ivana Trump diisytihar meninggal dunia pada tengah hari berkenaan.

    Pejabat forensik tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara yang menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut itu, lapor United Press International (UPI) yang dipetik CBS News.

    Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Bandar Raya New York memberitahu NBC News, kematiannya disyaki akibat terjatuh tangga di pangsapurinya.

    Sumber berkata kematiannya tidak dikategorikan sebagai mencurigakan.

    Ivana Trump adalah isteri pertama kepada bekas presiden Donald Trump dan pasangan itu dikurniakan tiga anak, Donald Trump Jr., Eric Trump dan Ivanka Trump.

    Beliau bercerai dengan Trump pada 1992. – BERNAMA

  • [VIDEO] Ketua kartel dadah antarabangsa ditangkap

    [VIDEO] Ketua kartel dadah antarabangsa ditangkap

    PIHAK berkuasa Mexico pada Jumaat memaklumkan Rafael Caro Quintero, anggota pengasas sebuah daripada kartel dadah terbesar Mexico, ditahan tentera laut.

    Caro Quintero, bersama rakan kongsi, Miguel Angel Felix Gallardo, menjadi pengasas bersama Kartel Guadalajara, sebuah daripada tiga kartel dadah terbesar Mexico.

    Kartel Guadalajara didakwa menerajui penyeludupan ganja, kokain dan heroin ke Amerika Syarikat (AS), menjadikannya sebagai sasaran utama pihak berkuasa AS, lapor Agensi Anadolu.

    Pernah ditahan pada 1985 atas pelbagai tuduhan termasuk menculik, mendera dan membunuh ejen Agensi Penguatkuasaan Dadah AS (DEA), Enrique “Kiki” Camarena, Caro Quintero dibebaskan pada 2013 selepas merengkuk selama 28 tahun di penjara.

    Camarena berjaya menyusup ke dalam Kartel Guadalajara dan menjadi tamparan hebat terhadap kartel berkenaan.

    Menerusi satu operasi bersama dengan DEA pada 1984, pihak berkuasa Mexico merampas 4,000 tan marijuana di sebuah ladang milik Caro Quintero dan dianggap rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara berkenaan.

    Caro Quintero menyalahkan Camarena yang mengakibatkannya kerugian berpuluh juta dolar dan mengarahkan supaya ejen DEA itu diculik dan dibunuh.

    Selepas hakim persekutuan membenarkan dia dibebaskan pada 2013, Pejabat Peguam Negara Mexico mengeluarkan satu lagi waran tangkap terhadap Caro Quintero, kali ini untuk diekstradisi ke AS.

    Sejak itu, Caro Quintero sentiasa menjadi buruan. Dia menjadi pelarian paling dikehendaki DEA dan agensi berkenaan menawarkan ganjaran sehingga AS$20 juta untuk mendapatkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah itu.

    Dia berulang kali menafikan terbabit dalam pengedaran dadah. – BERNAMA