Author: Bernama

  • SKMM ambil tindakan penyebar video ‘Makcik Goreng Pisang’

    SKMM ambil tindakan penyebar video ‘Makcik Goreng Pisang’

    SEORANG pemimpin parti politik telah dikenal pasti menyebarkan sebahagian petikan video mengelirukan yang cuba memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat berhubung penggunaan minyak paket bersubsidi oleh ‘Makcik Goreng Pisang.’

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, individu yang menyebarkan petikan video itu menerusi akaun media TikTok miliknya telah dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

    “Kita telah meminta SKMM mengambil tindakan susulan mengikut saluran dan peraturan yang biasa.

    “… saya percaya ahli Parlimen semuanya mengikuti dengan baik (jawapan Perdana Menteri semalam) dan ahli Parlimen semua tentunya gembira dengan penjelasan yang jelas diberikan oleh Perdana Menteri, ini dibuat oleh mereka yang bukan ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

    Semalam di Dewan Rakyat, ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya, Ismail Sabri berkata, minyak masak paket adalah untuk kegunaan domestik tetapi terdapat peniaga termasuk peniaga kecil yang turut menggunakannya.

    Annuar berkata, sebahagian petikan video yang disebarkan individu tersebut adalah bertentangan dengan jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri semalam.

    Katanya, penyebaran petikan video itu adalah menyalahi peraturan dan undang-undang iaitu cuba menyebarkan berita dalam bentuk separa benar dan mengelirukan kerana diambil sedutan yang membawa makna yang berlainan daripada maksud sebenar.

    “Kita faham, itu barangkali bagi tujuan politik untuk menanam kebencian dan untuk menghakis keyakinan rakyat seolah-olah Perdana Menteri tidak prihatin atau pun mengambil sikap anti (kepada) penjaja-penjaja kecil, sebaliknya penekanan Perdana Menteri adalah sebaliknya.

    “…saya berharap amalan yang seperti ini tidak diteruskan kerana ia adalah secara sengaja memesongkan fakta dan perbuatan untuk kita menyebarluaskan berita yang tidak benar itu adalah satu kesalahan,” katanya menambah tindakan susulan perlu diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

    Selain itu, Annuar berkata, kerajaan akan memberi keutamaan mengambil tindakan yang tegas kepada kesalahan berskala besar bagi minyak masak bersubsidi seperti penyeludupan dan penyalahgunaan yang lain.

    Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi berkata, kerajaan akan memastikan penyalahgunaan minyak masak bersubsidi secara meluas oleh penyeludup dan syarikat-syarikat besar dapat dibendung dengan kerjasama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Jawapan Perdana Menteri (semalam) jelas dengan menyatakan kerajaan perlu mengambil pendekatan yang memberikan perhatian kepada tindakan yang tidak menyusahkan kelompok peniaga-peniaga kecil,” katanya. – BERNAMA

  • Pilihan dos penggalak kedua untuk individu sihat 50 – 59 tahun

    Pilihan dos penggalak kedua untuk individu sihat 50 – 59 tahun

    INDIVIDU sihat berumur 50 hingga 59 tahun kini diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin COVID-19, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu berdasarkan syor Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perlindungan daripada risiko penyakit yang teruk akibat COVID-19.

    “KKM telah meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian.

    “KKM menggesa agar semua individu yang layak tampil untuk mendapatkan perkhidmatan ini supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit COVID-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai keadaan terkini ancaman varian baharu COVID-19 dan tindakan KKM menghadapinya.

    Antara golongan yang layak menerima dos penggalak kedua sebelum ini adalah individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi serta individu berumur 60 tahun ke atas tanpa komorbiditi serta mendapat saranan daripada pengamal perubatan.

    Selain itu, warga emas yang tinggal di fasiliti penjagaan jangka panjang, individu berumur 18 hingga 59 tahun yang berisiko tinggi serta petugas barisan hadapan juga layak mendapat dos penggalak kedua.

    Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM juga sedang melihat kepada penghasilan vaksin generasi baharu yang mungkin akan ke pasaran serta mendapat kelulusan badan regulatori kesihatan.

    “Sekiranya didapati vaksin yang dibangunkan untuk varian seperti Omicron ini berkesan dan selamat, mungkin perolehan boleh dipertimbangkan untuk masa akan datang,” katanya menjawab soalan tambahan Rubiah mengenai sejauh mana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan sebelum ini membolehkan negara berhadapan dengan varian baharu yang datang. – BERNAMA

  • Tuntutan kumpulan Sulu: PM jamin lindungi aset negara

    Tuntutan kumpulan Sulu: PM jamin lindungi aset negara

    SUSULAN isu tuntutan kumpulan Sulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi aset negara dengan menggunakan saluran perundangan sedia ada.

    “Kita lindungi (aset) dari segi perundangan. Mereka (kumpulan Sulu) bawa kes ke mahkamah jadi kita akan melindungi semua (aset) secara perundangan.

    “Saya beri jaminan tidak akan berkompromi dan berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kumpulan Sulu yang mengganggu-gugat kepentingan aset-aset Malaysia di luar negara khususnya aset di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Pada 12 Julai dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

    Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

    Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan Petronas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi penjelasan di Parlimen dalam masa terdekat mengenai rampasan aset Petronas di Azerbaijan itu.

    Beliau berkata, Jemaah Menteri pada 14 Julai lepas telah bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

    “Pasukan khas telah ditubuhkan untuk melihat masalah ini secara menyeluruh bukan setakat aset Petronas tetapi aset-aset negara yang lain di luar negara. Ada banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai aset di luar negara dan ini akan dilihat secara keseluruhan,” katanya.

    Ditanya keperluan kerajaan menggerakkan sistem keselamatan untuk mempertahankan aset di luar negara, Ismail Sabri berkata: “Bukan senang bawa sekuriti ke negara lain kecuali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”

    Pada Mac lepas, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

    Namun Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.

    Katanya, keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

    Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

    Dalam kenyataan Wan Junaidi pada 13 Julai lepas, beliau berkata, kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara, sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat kerajaan Malaysia. – BERNAMA

  • Uber bayar pampasan berjuta dolar kerana caj berlebihan penumpang OKU

    Uber bayar pampasan berjuta dolar kerana caj berlebihan penumpang OKU

    UBER akan membayar berjuta-juta dolar kerana mengenakan bayaran berlebihan kepada penumpang kurang upaya dan akan mengubah suai dasar masa menunggunya bagi mengelak berlakunya diskriminasi pada masa depan, umum Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

    Syarikat perkongsian perjalanan itu mencapai penyelesaian dengan kerajaan selepas pegawai persekutuan menuduhnya melanggar Akta Orang Kurang Upaya Amerika, umum pegawai Jabatan Kehakiman.

    Menurut laporan United Press International (UPI), di bawah perjanjian itu, Uber dikehendaki membayar beberapa juta dolar pampasan kepada lebih 65,000 penumpang kurang upaya yang dikenakan bayaran masa menunggu, yang biasanya kurang daripada satu dolar, kerana mereka mengambil masa yang lebih lama untuk menaiki kenderaan.

    Golongan kurang upaya tidak seharusnya dilayan seperti rakyat kelas kedua atau dihukum kerana ketidakupayaan mereka, seperti yang dikenakan oleh dasar bayaran masa menunggu Uber, kata Penolong Peguam Negara AS Kristen Clarke.

    Perjanjian itu menghantar mesej yang jelas bahawa Uber dan syarikat perkongsian perjalanan lain akan bertanggungjawab jika perkhidmatan mereka mendiskriminasi golongan kurang upaya, tambah kenyataan itu.

    Jabatan Kehakiman memfailkan tuntutan mahkamah tahun lalu di California yang menyatakan amalan Uber mengenakan bayaran masa menunggu, bermula dua minit selepas pemandu Uber tiba di lokasi mengambil penumpang dan berhenti apabila perjalanan bermula, mendiskriminasi mereka yang menggunakan kerusi roda atau peranti pergerakan lain.

    Ramai penumpang kurang upaya memerlukan lebih daripada dua minit untuk menaiki atau masuk ke dalam kenderaan atas pelbagai sebab, termasuk mereka mungkin menggunakan alat bantuan pergerakan seperti kerusi roda dan alat bantuan pejalan kaki yang perlu dilipat dan disimpan di dalam kenderaan atau mereka memang memerlukan masa tambahan untuk menaiki kenderaan, kata aduan itu.

    Uber telah mengubah suai dasar masa menunggunya sebaik sahaja selepas saman itu difailkan tahun lepas dan berkata ia gembira telah mencapai persetujuan, menurut UPI.

    Di bawah perjanjian dua tahun itu, Uber berjanji untuk mengetepikan semua caj masa menunggu untuk penumpang Uber yang boleh mengesahkan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk masuk ke dalam kereta kerana hilang upaya.

    Syarikat itu juga akan mengkreditkan gandaan jumlah masa ke akaun penumpang yang layak untuk caj masa menunggu. – BERNAMA

  • Bekas pembaca berita stesen TV, Zalina Azman dilapor hilang

    Bekas pembaca berita stesen TV, Zalina Azman dilapor hilang

    BEKAS pembaca berita sebuah stesen  televisyen, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas masih tidak dapat dijumpai walaupun segala usaha mencari telah dilakukan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya  menerima laporan daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33 berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.

    Zalina Shaharah, 58 dilaporkan hilang  ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    “Pada 29 Nov 2021, pengadu dan pak ciknya sampai di rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam dan mendapati kereta ibunya berada di rumah,” katanya.

    Katanya pemeriksaan di rumah Zalina yang dipercayai tinggal seorang diri mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun namun mangsa tiada di rumah.

    “Turut ditemui beg duit milik ibu pengadu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, wang tunai RM600 serta kunci kereta,” katanya.

    Beliau berkata segala usaha mencari telah dilakukan namun gagal menemui wanita itu.

    Katanya polis membuat hebahan kepada orang awam untuk membantu siasatan dengan ciri-ciri mangsa adalah berketinggian 158 sm, berat 60kg, berkulit hitam manis dan berbadan kurus.

    Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-55194622 jika mempunyai maklumat.

  • Polis Kelantan tahan pemuda hina agama Islam di Facebook

    Polis Kelantan tahan pemuda hina agama Islam di Facebook

    (KEMAS KINI) POLIS Kelantan menahan seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dipercayai menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi satu hantaran video dalam media sosial Facebook, hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya telah melakukan serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang pada pukul 11.30 pagi tadi sejurus menerima laporan berkaitan perbuatan lelaki itu yang menghina agama Islam menerusi akaun Facebook Saidinar Dina (Bos Dina).

    “Hasil serbuan, polis telah menangkap individu berkenaan yang merupakan suspek dalam video yang ditularkan itu dan suspek mengaku memuat naik video berdurasi empat minit 14 saat itu.

    “Suspek yang ditahan itu tidak bekerja dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan didapati positif dadah jenis methamphetamine,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.

    Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok, katanya. – Bernama

  • Pendengaran permohonan Peter Anthony gantung sabitan ditangguh 28 Julai

    Pendengaran permohonan Peter Anthony gantung sabitan ditangguh 28 Julai

    PENDENGARAN permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi penggantungan sabitan salah terhadapnya kerana kesalahan menggunakan dokumen palsu ditangguhkan kepada 28 Julai ini.

    Peter mengemukakan permohonan penangguhan itu sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan untuk  bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan.

    Pendengaran kes tersebut dijadual hari ini tetapi ditangguhkan selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, mengambil cuti kecemasan, demikian menurut Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah.

    Dalam permohonan itu Peter, selaku pemohon, berkata sekiranya rayuan di Mahkamah Tinggi dibenarkan dan sabitan serta  hukumannya diketepikan, beliau akan diprejudiskan untuk bertanding dalam PRU15  kerana sabitan terhadap pemohon akan membatalkan pencalonan pemohon.

    Pada 26 Mei lepas, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter, 51, selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

    Hakim itu juga membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu selesai, namun memerintahkan denda RM50,000 itu dibayar pada hari itu (26 Mei lepas).

    Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Jun lepas, Peter memohon penggantungan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Sesyen  dan sabitan dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Peter menyatakan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penggantungan tersebut dibenarkan atas alasan rayuan pemohon di Mahkamah Tinggi akan menjadi tidak bernilai atau sia-sia jika pelaksanaan penghakiman dan sabitan terhadap pemohon tidak digantungkan.

    Mahkamah Tinggi menetapkan 1 Ogos untuk pengurusan kes bagi rayuan Peter itu.

    Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.— Bernama

  • Dewan Rakyat ‘panas’ isu kesultanan Sulu, Ahli Parlimen Kota Belud diarah keluar

    Dewan Rakyat ‘panas’ isu kesultanan Sulu, Ahli Parlimen Kota Belud diarah keluar

    AHLI Parlimen pembangkang dari Sabah Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) diarah keluar dan digantung dua hari daripada menghadiri persidangan selepas beliau bertegas mahu usul tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah dibahas di Dewan Rakyat.

    Usul mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah yang ditolak buat kali ketiga di Dewan Rakyat itu mencetuskan pertikaman lidah antara beberapa Ahli Parlimen pembangkang dari Negeri di Bawah Bayu itu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Mohd Rashid Hasnon.

    Keengganan Isnaraissah Munirah untuk duduk dan menerima keputusan Speaker berhubung perkara itu menyebabkan Mohd Rashid yang menggantikan Azhar Azizan mengarahkan Bentara mengiringi Ahli Parlimen Kota Belud itu keluar dewan.

    Isnaraissah Munirah tetap tidak keluar dan beliau yang dikelilingi wakil rakyat pembangkang dari Sabah tetap bersuara meminta usul itu dibahas walaupun ketika itu Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan membentangkan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.

    Kekecohan kira-kira 30 minit itu bermula apabila Isnaraissah Munirah bangun sebaik dewan selesai mempersetujui usul menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini.

    “Tuan Speaker (Tan Sri Azhar Azizan Harun) buat kali ketiga speaker menolak usul saya tentang Sultan Sulu, saya cukup hairan, saya mahu tanya Kerajaan Persekutuan, sampai tahap apa baru usul ini dibolehkan bahas? ini soal kedaulatan negara, bukan soal remeh temeh.

    “Saya mohon MP Sabah dan MP lain untuk berdiri mohon usul ini dibincangkan,” katanya.

    Ram Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kemudian bangun menyatakan usulnya mengenai rampasan aset Petronas di Aizerbaijan oleh waris Kesultanan Sulu juga ditolak oleh Azhar, manakala Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) mempersoalkan alasan Azhar yang menolak usul itu atas alasan sub judice.

    Azhar kemudian memberi penjelasan dan alasan mengapa usul Isnaraissah Munirah dan Ram Karpal ditolak dan menyatakan usul tergempar mengenai rampasan aset Petronas di Aizerbaijan pernah diluluskan untuk dibahas pada satu daripada sesi lepas dan diberi penerangan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

    “Semua orang telah tahu apa sebenarnya berlaku tentang aset Petronas di Aizerbaijan, tentang sub judice, saya menerima pandangan undang-undang sememangnya ada satu atau dua prosiding yang masih berjalan sekarang, peraturan mesyuarat amat terang dan saya memakainya,” katanya.

    Isu itu berterusan selepas Mohd Rashid menggantikan Azhar untuk mengendalikan persidangan dewan itu, bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan itu tegas dengan keputusan yang dibuat dan meminta Takiyuddin meneruskan pembentangan rang undang-undang itu.

    Mohd Rashid berkata Isnaraissah Munirah boleh membuat rayuan mengenai perkara itu mengikut Peraturan 43 yang menyebut Ahli Parlimen boleh menulis surat kepada Yang Dipertua merayu supaya usul mereka diterima dan dibahaskan.

    — BERNAMA

  • Cadangan tubuh pasukan pantau status halal rumah sembelihan luar negara sukar dilaksana – Idris

    Cadangan tubuh pasukan pantau status halal rumah sembelihan luar negara sukar dilaksana – Idris

    CADANGAN untuk menubuhkan pasukan pemantau terdiri daripada imam atau pelajar di luar negara bagi memantau operasi rumah sembelihan berstatus halal di luar negara sukar dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

    Beliau yang menyambut baik cadangan itu sekali gus menjelaskan usaha pemantauan oleh pihaknya telah dijalankan berkata ini disebabkan oleh peruntukan undang-undang negara lain yang harus dihormati.

    “Ia melibatkan undang-undang, kita tak boleh sembarangan…cadangan itu baik tapi peruntukan undang-undang mengekang kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan ketidakpatuhan rumah sembelihan halal di Australia yang mendapat pengiktirafan Akreditasi Dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setakat ini.

    Akhbar itu turut melaporkan AHDAA dikatakan sedang melalui proses untuk mendapatkan kelulusan halal daripada Jakim bagi membenarkan produk daging di bawah seliaannya memasuki pasaran negara.

    Berkenaan kempen itu, Idris memaklumkan pihaknya telah mula menjalankan aktiviti pencegahan di kawasan-kawasan ‘hotspot’ aktiviti perjudian di sekitar ibu negara sejak dua bulan lepas.

    “Kita sudah bermula dua bulan dengan meletakkan van-van penguatkuasaan kita di tempat-tempat hotspot perjudian, itu adalah satu daripada usaha yang kita buat,” katanya.

    Melalui inisiatif yang sama, beliau menambah pihaknya juga sedang mengumpul data-data dan akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyantuni pekerja seks (pelacur) untuk membawa mereka keluar supaya tidak lagi terlibat dengan perbuatan itu. – Bernama

  • Enam lelaki ditahan, diesel dan vape bernilai RM3.6 juta dirampas

    Enam lelaki ditahan, diesel dan vape bernilai RM3.6 juta dirampas

    POLIS menahan enam lelaki dan merampas pebagai barang seludup dan barang bersubsidi dianggarkan bernilai lebih RM3.6 juta menerusi Op Kontraban di Selangor dan Johor, pada Rabu dan Khamis lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata serbuan pertama dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Kajang, yang membawa kepada rampasan 25,306 kotak dan botol vape disyaki mengandungi nikotin.

    “Serbuan kedua dilakukan di Johor Bahru, dan polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang terlibat dengan kegiatan menjual dan membeli semula minyak diesel bersubsidi.

    “Dalam serbuan ini enam lelaki ditahan dan sejumlah 45,997 liter minyak diesel, empat lori, lima unit tangki minyak diesel pelbagai jenis dan peralatan dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan dalam operasi yang bermula dari 12 hingga 15 Julai lepas adalah RM3,688,850.

    “Polis Diraja Malaysia melalui KDNKA (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam)  akan terus komited dalam melaksanakan operasi membanteras sindiket penyeludupan kontraban dan barangan kawalan atau subsidi agar ketirisan hasil negara dapat dibendung demi kepentingan masyarakat,” katanya.

    — BERNAMA