Author: Bernama

  • 100 kes seleweng bekalan minyak masak, nilai rampasan RM2.2 juta

    100 kes seleweng bekalan minyak masak, nilai rampasan RM2.2 juta

    SEBANYAK 100 kes kesalahan menyeleweng bekalan minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan RM2.2 juta dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 24 Julai.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak 12,417 premis diperiksa menerusi beberapa operasi berkaitan minyak masak termasuk Ops ATM (Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak) dan Ops Anti Sorok serta 117 aduan diterima sepanjang tempoh sama.

    “Untuk ayam dan telur, bermula 1 Julai hingga 24 Julai sebanyak 10,302 premis diperiksa menyaksikan 157 kes dengan nilai rampasan sehingga kini RM22,677,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai langkah kementerian membendung masalah ketirisan bekalan bahan asas makanan di pasaran dan peningkatan harga barangan. – BERNAMA

  • Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    AKTIVITI usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan di Melaka kerana projek lewat disiapkan menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 berkaitan Pengurusan Tanah Agensi negeri Melaka.

    Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dalam laporannya berkata, pengauditan melibatkan penilaian terhadap semua tanah dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Yayasan Melaka (YM) dan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), setelah dikenal pasti sebagai agensi yang menguruskan pembangunan hartanah di Melaka secara langsung dan mempunyai milikan tanah lebih tinggi berbanding 11 agensi lain di negeri berkenaan.

    “Terdapat kelemahan dalam pengurusan tanah bagi tiga agensi di Melaka iaitu tanah yang masih kosong/ belum dibangunkan di PKNM, YM dan PERTAM berbanding keseluruhan lot tanah dimiliki masing-masing ialah 156 (64.5 peratus), 42 (33.6 peratus) dan dua (16.7 peratus), tanah kosong PKNM di Mukim Sungai Baru, Sungai Baru Tengah, Sungai Baru Ilir dan Linggi dengan perbelanjaan sejumlah RM58.50 juta masih belum mendatangkan sebarang pulangan.

    “Tunggakan hasil agensi sehingga 31 Dis 2020 iaitu PERTAM masih belum menerima hasil jualan tanah di lot PT8534 berjumlah RM21 juta, YM mempunyai tunggakan hasil sewaan sehingga 2020 berjumlah RM1.16 juta melibatkan sembilan penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah bagi tiga pemajak berjumlah RM120,678. YM juga mempunyai tunggakan hasil jualan tanah sejumlah RM0.57 juta,” menurut laporan itu.

    Laporan itu juga menyebut, PKNM mempunyai tunggakan hasil sewaan tanah sehingga 2020 berjumlah RM42,449 melibatkan tujuh penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah berjumlah RM16,500 bagi satu pemajak; PKNM lewat memperbaharui perjanjian sewaan tanah melibatkan tujuh penyewa dengan kelewatan antara 13 hari hingga 12 bulan 23 hari.

    Selain itu, YM telah memberi pajakan empat lot tanah kepada kelab dan kelab telah melantik pihak ketiga untuk menyewa serta menetapkan kadar sewaan dua kali ganda berbanding bayaran sewa kepada YM, selain YM mempunyai kurangan hasil penjualan tanah sejumlah RM2.33 juta disebabkan penurunan harga dan komitmen sosial berkaitan isu pendudukan orang Melayu kepada 21 orang penduduk di tanah tersebut.

    Laporan itu juga menyebut, pelaksanaan projek secara usaha sama YM dan PERTAM dengan syarikat swasta tidak memuaskan kerana projek tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian dan keadaan itu menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan.

    Menurut laporan itu, bagi menambah baik pengurusan tanah agensi dan memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang ditetapkan, pihak terlibat disyorkan mengambil tindakan penambahbaikan seperti agensi perlu mengenal pasti tanah-tanah kosong yang berpotensi untuk dibangunkan atau dijual bagi memberi pulangan yang terbaik.

    “Agensi perlu bersama-sama kerajaan negeri merealisasikan hasrat pembangunan tanah yang pesat untuk kebajikan rakyat dan perlu mengkaji semula prosedur bagi aktiviti usaha sama dengan syarikat swasta supaya objektif pembangunan dapat dirancang dengan sempurna dan memberi pulangan yang terbaik.

    “Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan pengurusan aktiviti tanah bagi tiga agensi di Melaka telah memberi pulangan dan hasil yang memuaskan selaras dengan objektif penubuhan agensi,” menurut laporan itu. – BERNAMA

  • UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun Mahathir – Saksi

    UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun Mahathir – Saksi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar di dalam komputer riba milik saksi itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

    Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah Tun Dr Mahathir menerima sumbangan politik, saksi itu menjawab, “Ya dan parti (Bersatu)”.

    Saksi ke-17 itu memberitahu mahkamah bahawa sumbangan dana itu dibayar melalui anak saudara (Tun Dr Mahathir) iaitu Tan Sri Rahmat Abu Bakar yang menggunakan kod nama ‘Kedahan’.

    Ahmad Zaidi: Kenapa anda membuat pembayaran kepada Tan Sri Rahmat?

    Tan: Saya percaya ia adalah untuk dana politik.

    Ahmad Zaidi: Bahawa RM2.6 juta telah diberikan kepada Tan Sri Rahmat untuk diberi kepada Tun Mahathir, adakah itu betul, untuk dana politik?

    Tan: Betul.

    Tan turut memberitahu mahkamah bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut diberi sumbangan politik daripada UKSB melalui sahabat baik ahli politik itu, Datuk Teo Wee Cheng yang juga merupakan pengarah syarikat SHH Resources Sdn Bhd.

    Saksi itu turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa dana yang diterima Ahmad Zahid adalah dana politik.

    Ahmad Zaidi: Adakah anda melihat Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin di mahkamah di sebelah Datuk Seri Zahid?

    Tan: Tidak.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – BERNAMA

  • Kosmetik kandungi bahan bahaya tarik balik 24 jam dari pasaran

    Kosmetik kandungi bahan bahaya tarik balik 24 jam dari pasaran

    PRODUK kosmetik dan ubat-ubatan yang mengandungi bahan berbahaya kepada kesihatan pengguna akan diarah ditarik balik dari pasaran dalam masa 24 jam, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Dr Noor Azmi berkata, bagi produk yang mendatangkan risiko kecil atau produk yang tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 72 jam (tahap 2).

    “Tahap 3 pula produk dengan masalah-masalah lain, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 30 hari,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan mengenai tindakan pemantauan kerajaan bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna.

    Dr Noor Azmi berkata, pada tahap 1, produk akan ditarik balik dari semua pengguna, tahap 2 ditarik balik dari semua tempat yang membekalkan kepada pengguna seperti hospital, farmasi, klinik dan sebagainya manakala pada tahap 3 ia ditarik balik dari semua pemborong/pengedar produk. – BERNAMA

  • Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    SEORANG wanita maut selepas dipercayai dilanggar sewaktu dia melintas jalan di Kilometer (KM) 7 Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam tengah malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian langgar lari pada pukul 12.11 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika wanita berumur 33 tahun yang melintas jalan di laluan dari Kuala Lumpur menghala Klang di lebuh raya berkenaan, dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenisnya.

    “Wanita yang berpakaian serba warna hitam itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan mayat telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami dengan menelefon 011-31215697 bagi membantu siasatan. –Bernama

  • Pengedar ditahan bersama heroin bernilai RM200,000

    Pengedar ditahan bersama heroin bernilai RM200,000

    POLIS menahan seorang lelaki bersama sejumlah 100 botol dadah disyaki jenis heroin bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek yang berumur 23 tahun dikesan dalam Ops Tapis Sempadan selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.36 pagi di dalam kedai berkenaan.

    Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini beliau berkata apabila diperiksa, polis menemukan satu beg plastik hitam pada tangan kiri suspek mengandungi 100 botol lutsinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin, yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000.

    Antara dadah yang dirampas bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas. – Foto ihsan Facebook Polis Kelantan

    Sementara itu menurutnya Khamis lepas polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 2,000 biji pil Yaba di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah pada 5.06 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas.

    Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai buruh turut positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.

    Muhamad Zaki berkata Ops Tapis Sempadan yang dijalankan dari 21 hingga 23 Julai lepas di daerah-daerah bersempadan dengan Thailand, telah membawa kepada penahanan 34 orang atas pelbagai kesalahan, di samping merampas dadah bernilai RM230,165.–Bernama

  • [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    INSIDEN tembakan di sebuah kampus universiti di Metro Manila pada Ahad, mengorbankan tiga individu, manakala dua lagi cedera, menurut polis Filipina.

    Pihak Berkuasa Pembangunan Metro Manila mengesahkan kejadian berlaku pada 14.55 tengah hari waktu tempatan di pintu masuk Universiti Ateneo de Manila di Quezon City, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Seorang pengawal keselamatan turut terbunuh,” kata Pengarah daerah Polis Quezon City, Remus Medina.

    Dalam kejadian itu, suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta tetapi berjaya ditahan pihak polis.

    Ejen Biro Penyiasatan Kebangsaan juga telah dikerah ke lokasi kejadian “untuk menyiasat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa dan pihak universiti.”

    Kampus “ditutup buat masa ini,” menurut universiti itu.

    Ketua Hakim Negara Mahkamah Tinggi, Alexander Gesmundo dijadual menghadiri majlis graduasi lulusan undang-undang pada petang Ahad.

    Jurucakap Mahkamah Agung, Brian Hosaka berkata, Gesmundo “yang dalam perjalanan ke lokasi itu dinasihatkan untuk berpatah balik”. – BERNAMA

  • Wei Chong – Kai Wun tundukkan juara Olimpik, juarai Terbuka Taipei

    Wei Chong – Kai Wun tundukkan juara Olimpik, juarai Terbuka Taipei

    PASANGAN beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan besar apabila berjaya menumpaskan Juara Olimpik Tokyo 2020 Lee Yang-Wang Chi Lin untuk muncul juara Terbuka Taipei pada hari ini.

    Pasangan di ranking ke-36 dunia yang turun dengan semangat juang tinggi itu menampilkan persembahan cemerlang untuk menundukkan wakil tuan rumah itu 21-18 pada set pertama.

    Namun, beregu nombor empat dunia yang juga pilihan pertama kejohanan, Lee-Chi Lin bangkit mengejar beregu Malaysia dan mencatatkan kemenangan 21-11.

    Wei Chong-Kai Wun, pilihan keenam kejohanan, memperkemaskan aksi mereka pada set penentuan untuk mengesahkan kemenangan 21-18, dalam pertarungan selama 54 minit itu.

    Ia merupakan gelaran juara kedua buat Wei Chong-Kai Wun pada tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa India pada Januari lepas yang menewaskan wakil tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18, 21-15. – BERNAMA

  • Buli di tempat kerja tingkat risiko kesihatan, lemahkan prestasi

    Buli di tempat kerja tingkat risiko kesihatan, lemahkan prestasi

    KES buli di tempat kerja menyumbang kepada pelbagai masalah, termasuk peningkatan risiko kesihatan dan melemahkan prestasi kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Menurutnya buli di tempat kerja berlaku dalam pelbagai bentuk seperti hasil kerja dicuri atau disabotaj, dimalukan atau dipulaukan rakan sepejabat.

    “Semua pihak perlu lebih memahami dan menghayati bahawa perbuatan buli bukan sahaja boleh berlaku terhadap pelajar sekolah dan universiti, malah orang dewasa dan berkerjaya pun tidak terkecuali menjadi mangsa. 

    “Buli di tempat kerja juga mungkin melibatkan ugutan, gosip, jenaka yang menyinggung perasaan dan memperkecilkan (seseorang individu),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Seminar Psikologi Kesihatan (PSYCHE 1.0) : Hentikan Buli! Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022, yang dibacakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong di Kuala Nerus, hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata walaupun bukan secara fizikal, gejala buli yang dilakukan melalui pertuturan dan gangguan emosi boleh mendatangkan kecederaan kepada emosi seseorang. 

    “Apa yang mengejutkan, Malaysia berada di tangga keenam tertinggi di dunia dan kedua di Asia dalam masalah buli terutamanya dalam buli siber.

    “Mungkin juga ramai pembuli tidak tahu bahawa sebarang kandungan berniat jahat di Internet dengan tujuan mengganggu, memprovokasi, mengancam atau menyalah guna adalah suatu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

    Sementara itu menurut Dr Kasemeni Seminar PSYCHE 1.0 selama dua hari bermula hari ini, merupakan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dengan kerjasama Persatuan Psikologi Pantai Timur (PSITIM).

    Beliau berkata sebanyak 200 penyertaan dibuka melibatkan pelbagai latar belakang yang mengambil berat berkenaan jenayah buli yang berlaku di mana sahaja.

    Katanya antara matlamat seminar itu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menghentikan budaya buli yang ada dalam masyarakat sekarang sama ada buli di sekolah, di tempat kerja atau di jalan raya.

    “Ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran tentang peri pentingnya mendapatkan perkhidmatan secara profesional apabila berhadapan dengan isu kesihatan mental yang disebabkan oleh kesan buli,” katanya.–Bernama

  • Ravichandran rakyat Malaysia pertama tawan Gunung K2

    Ravichandran rakyat Malaysia pertama tawan Gunung K2

    PENDAKI solo negara yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), T Ravichandran, 57, menjadi rakyat Malaysia pertama mengibarkan Jalur Gemilang di puncak gunung K2, gunung kedua tertinggi di dunia, yang terletak di Pakistan.

    Beliau bersama lima lagi pendaki solo terhebat dunia dan diiringi lima sherpa, menawan puncak gunung setinggi 8,611 meter itu pada 10.50 pagi waktu tempatan, Jumaat lepas.

    Bagi Ravichandran, cintanya kepada negara menjadi pembakar semangat sepanjang pendakian dan kejayaannya itu adalah hadiah buat negara sempena sambutan Hari Kebangsaan, yang bakal disambut pada 31 Ogos depan.

    “Semangat cintakan negara, hidup dalam aman dan harmoni, itu kunci perpaduan yang patut disemai dalam jiwa di mana ia menjadi kekuatan untuk saya harungi kesukaran sepanjang pendakian.

    “Terima kasih kepada isteri saya yang tercinta, anda adalah kekuatan untuk saya berjaya. Tidak lupa kepada keluarga, rakan-rakan, penaja-penaja dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya sampai ke puncak,” katanya dalam kenyataan menerusi pesanan WhatsApp, hari ini.

    Ravichandran yang juga anak jati Kuala Pilah turut mengibarkan bendera Negeri Sembilan di puncak gunung kedua tertinggi di dunia itu. (Gambar: Facebook BackPackerz)

    Walaupun menghadapi kekurangan sebagai OKU, beliau berkata, ia bukanlah penghalang kepadanya tetapi menjadi bukti OKU juga mampu membina kekuatan diri, setanding dengan mereka yang sempurna.

    “Tiada yang mustahil untuk bangkit kembali jika kita terjatuh. Itu pengalaman pendakian yang saya tempuh dalam ekspedisi kali ini. Ini hadiah saya buat rakyat Malaysia. Merdeka!,” katanya. – BERNAMA