Author: Bernama

  • Dua KSU dahului senarai penerima darjah, pingat Pahang

    Dua KSU dahului senarai penerima darjah, pingat Pahang

    DUA  Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mendahulu senarai 99 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan berkenaan selesai.

    Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lokman Hakim Ali dan KSU Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin antara sembilan penerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama-sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

    Turut menerima SSAP ialah Pengerusi Touch Group Holdings Sdn Bhd Raja Datuk Mufik Affandi Raja Khalid, Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi Pengurusan Navis Capital Partners Limited Nicholas Rupert Heylett Bloy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd Datuk Zainal Abidin Ahmad, Pengarah Urusan Oil Hub Explorer Sdn Bhd Chia Siea Chok dan Pengarah Urusan Muda Awam Sdn Bhd Yew Ah Chai.

    Pada istiadat itu, empat individu menerima darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut Puan Sri Maslina Ismail, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Junipah Wandi, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman dan Presiden yang juga CEO Tenaga Nasional Berhad Datuk Ir Baharin Din.

    Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk kepada 13 penerima antaranya Pengarah Hartapac Sdn Bhd Datin Seri Sian Rahimah Abdullah, Pengarah WQ Medic Sdn Bhd Datin Seri Dr Noraini Abd Jalil, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom of Great Britain dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar dan Timbalan KSU (Tenaga) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Mohamad Razif Abd Mubin dan Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan Aminudin Yahaya.

    Turut menerima DSAP ialah CEO Affin Hwang Investment Bank Mona Suraya Kamaruddin, Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan Ahmad Suhaimi Endut, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan Wan Murtadza Wan Mahmud, Pengarah Platinum Victory Development Sdn Bhd Shaik Ahmad Sufian Shaik Kamal Farid, Pengarah Eksekutif dan KP Eksekutif HSBC Malaysia Berhad Omar Siddiq Amin Noer Rashid.

    Seramai 24 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk, didahului oleh Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara Muzli Mohamad Zin, Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan Quek Tai Seong, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Zazali Haron, CEO Kumpulan FGV Holdings Bhd Mohd Nazrul Izam Mansor, KP Kesihatan Markas Pemerintah Medan Barat Tentera Darat Brig Jen Dr Amran Amir Hamzah dan penganalisis sukan Dr Pekan Ramli.

    Turut menerima DIMP ialah Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman SAC Ghazali Daud, Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Mohamad Noor Yusof Ali, Pengarah Kastam Pahang Abdul Ghafar Mohamad, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainol Abidin dan Ahli Dewan Negara Senator Juhanis Abdul Aziz.

    Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Ahmad Yusof kini bergelar Datuk

    Penerima DIMP lain ialah Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fariza Md Sham dan Ketua MIC Rompin L. Parianan serta dua penyanyi iaitu Luciana Francissca Lucian G Peter atau Francissca Peter dan Siti Fairus Sheikh Mohamed.

    Empat bekas pemain bola sepak dan jurulatih juga menerima DIMP iaitu Dollah Salleh yang kini Ketua Jurulatih Interim Pahang, Zainal Abidin Hassan (Ketua Jurulatih Penang FC), Ahmad Yusoff (Jurulatih Sri Pahang Football Club) dan Ahmad Yunus Mohd Alif.

    Pada istiadat itu, Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua penerima, darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada enam penerima, darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada empat penerima, darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 10 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (lapan penerima), Pingat Kelakuan Terpuji (10 penerima) dan Pingat Jasa Kebaktian (sembilan penerima).

    — BERNAMA

  • Abdul Khalid, dari hero ‘Guthrie Dawn Raid’ ke Menteri Besar disayangi rakyat

    Abdul Khalid, dari hero ‘Guthrie Dawn Raid’ ke Menteri Besar disayangi rakyat

    JASA  bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia malam tadi (Ahad) pastinya dikenang rakyat antaranya peranan beliau dalam Serangan Subuh Guthrie (Guthrie Dawn Raid) pada 7 Sept 1981.

    Sebelum bergelar Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008 hingga 22 Sept 2014, Abdul Khalid, 76, merupakan antara individu penting terlibat dalam misi Malaysia mengambil alih Guthrie Corporation daripada British menerusi ‘serangan’ terhadap Bursa Saham London.

    Abdul Khalid dimasukkan dalam rancangan tersebut yang disusun rapi oleh Perdana Menteri Keempat Tun Dr Mahathir Mohamad serta Gabenor Bank Negara yang juga Pengerusi PNB ketika itu Tun Ismail Ali.

    Pengalaman beliau bekerja di sebuah syarikat penasihat kewangan di London membantu usaha pasukan tersebut mengembalikan segala hasil perladangan Guthrie Corporation kepada rakyat Malaysia.

    Abdul Khalid memperoleh Ijazah dalam jurusan Ekonomi di Universiti Malaya pada 1971 dan seterusnya melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di University of Queensland, Australia pada 1976.

    Beliau memulakan kerjaya sebagai guru dan pensyarah, sebelum beralih ke bidang korporat dengan memegang pelbagai jawatan tinggi seperti Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB; Pengarah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB); Pengarah Kumpulan Guthrie Bhd dan Pengarah Pelaburan Hartanah Nasional Berhad.

    Abdul Khalid mula berkecimpung dalam politik sekitar 1995 menerusi UMNO serta merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian Kuala Selangor, namun tewas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Datuk Miskon Sutero ketika itu.

    Pada kemunculan semulanya pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dengan mewakili PKR, beliau telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, yang turut menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) merangkumi PKR, DAP dan PAS membentuk kerajaan negeri yang baharu.

    Abdul Khalid seterusnya diangkat menjadi Menteri Besar Selangor pertama bukan dari Barisan Nasional pada 13 Mac 2008.

    Selama enam tahun memimpin Selangor, beliau antara lain memperkenalkan Dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat dengan pelbagai program di bawah agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ membabitkan perbelanjaan lebih RM1.6 bilion untuk inisiatif dan skim bersifat kebajikan.

    Dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan pentadbirannya, turut membolehkan rizab simpanan negeri meningkat kepada RM3.3 bilion setakat September 2014 dan sebahagian simpanan itu telah digunakan untuk projek pembangunan seperti pembinaan Jambatan Ketiga Klang dan perumahan mampu milik.

    Di bawah pentadbirannya juga, Selangor meneruskan tradisi sebagai pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang 24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), di samping kekal menjadi antara destinasi pelaburan terunggul.

    Kerajaan negeri di bawah Abdul Khalid juga telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan dan empat syarikat konsesi untuk menstruktur semula perkhidmatan air dan usaha yang bermula sejak 2008 itu, membolehkan semua aset air dikembalikan kepada rakyat.

    Meskipun tidak lagi menjadi menteri besar, ternyata khidmatnya masih diperlukan apabila Allahyarham dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Terengganu pada 2018 sehingga kini.

    Pemimpin yang sangat disayangi rakyat Selangor itu meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, akibat jangkitan kuman pada injap jantung.

    Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor, meninggalkan isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat orang anak dan dua cucu.

    — BERNAMA

  • Covid-19:Kes baharu turun 5.2 peratus, kemasukan ke hospital naik

    Covid-19:Kes baharu turun 5.2 peratus, kemasukan ke hospital naik

    BILANGAN kes baharu COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-30 (ME 30/2022) dari 24 hingga 30 Julai menurun sebanyak 5.2 peratus berbanding ME 29/2022 iaitu daripada 29,886 kes kepada 28,339 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada tempoh sama bilangan kes tempatan menurun sebanyak 5.3 peratus daripada 29,858 kes kepada 28,286 kes manakala kes import meningkat sebanyak 89.3 peratus daripada 28 kes kepada 53 kes.

    “Bilangan kes sembuh pada ME 30/2022 pula meningkat sebanyak 35.4 peratus menjadi 30,823 kes berbanding 22,757 kes pada ME 29/2022 manakala kes kematian mencatatkan penurunan 28.6 peratus iaitu 49 kes berbanding 63 kes pada tempoh itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

    Dr Noor Hisham berkata dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 30 Julai 2022 (ME 30/2022), kumulatif kes baharu COVID-19 di seluruh negara adalah 4,677,270 sementara kumulatif kes sembuh sebanyak 4,594,311 kes dan kumulatif kes kematian 35,960 kes manakala kumulatif kluster adalah 7,038 kluster dengan 19 kluster aktif.

    Secara keseluruhan, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan ditunjukkan pada ME 30/2022 berbanding minggu sebelumnya.

    Bagaimanapun, katanya jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 2.8 peratus, dengan bilangan pesakit kategori satu dan dua meningkat 5.6 peratus manakala tiada perubahan bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima.

    Menurut Dr Noor Hisham, peratusan pengisian katil fasiliti COVID-19 bagi katil bukan kritikal, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan PKRC pada ME 30/2022 berbanding minggu sebelumnya menunjukkan tiada perubahan iaitu masing-masing kekal sebanyak 23, 14 dan tujuh peratus. 

    Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara masih lagi menunjukkan peningkatan berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 29/2022 dan ME 30/2022.

    “Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.2 peratus, bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5 peratus, dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 19.9 peratus,” katanya.

    Bagi survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) COVID-19, beliau memaklumkan sebanyak 107 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 14.5 peratus pada ME 30/2022 manakala tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif kekal sifar peratus pada ME 30/2022.- BERNAMA 

  • Bekas PAT dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia

    Bekas PAT dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia

    BEKAS Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Julai lepas.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan Zulkifeli itu bagi menggantikan Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamad yang bersara pada 30 Jun lepas.

    “Beliau mempunyai pengalaman lebih dari 44 tahun dalam bidang perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan serta menggalas pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Annuar berkata beliau yakin, melalui pengalaman yang luas serta kepakaran dalam pelbagai portfolio, pelantikan Zulkifeli ke jawatan itu tepat pada masanya dan selaras dengan hala tuju negara yang sedang melakar perjalanan ke arah pendigitalan bagi mencapai status ekonomi digital dan berdaya saing.

    “Semoga pelantikan ini akan terus memacu CyberSecurity Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

    Zulkifeli pernah memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat ke-23 pada 21 Mei 2010 seterusnya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-18 pada 15 Jun 2011 sebelum bersara pada 14 Jun 2017.

    Annuar berkata sumbangan beliau yang begitu signifikan dalam bidang keselamatan telah mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018.

    Katanya Zulkifeli juga merupakan pemacu utama pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara 2017, penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 serta terlibat sepenuhnya dalam pembentukan Agensi Keselamatan Siber Nasional (NASCA).- BERNAMA

  • PBS dilaksana secara tergesa-gesa ganti UPSR, PMR, PT3 tidak tepat

    PBS dilaksana secara tergesa-gesa ganti UPSR, PMR, PT3 tidak tepat

    DAKWAAN pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dibuat secara tergesa-gesa bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah tidak tepat, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata PBS sebenarnya telah dilaksanakan lebih 10 tahun lepas bermula 2011 di peringkat sekolah rendah dan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah setahun kemudian.

    “Kita telah membuat sesi libat urus melibatkan ramai pihak, dalam konteks ini kita dapati dalam setiap keputusan nak dibuat, akan ada kekangan, sama ada kita nak tunggu situasi menjadi sempurna baru kita nak laksanakan, kita tak tahu bila,” katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai sama ada kerajaan bertindak secara tergesa-gesa bagi menggantikan UPSR dan PT3 dengan pelaksanaan PBS pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Menjelas lanjut beliau berkata pentaksiran yang bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid itu adalah langkah melahirkan generasi baharu yang lebih kreatif dan terbuka. 

    Malah Radzi berkata sistem pendidikan di seluruh dunia kini cuba mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan bagi tujuan melahirkan generasi lebih kreatif. 

    Beliau berkata pemerkasaan PBS adalah antara pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan untuk murid.

    Selain itu, KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dengan pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan akhir sesi akademik menggunakan deskriptor tahap penguasaan yang komprehensif dan jelas.

    Menurutnya pelaporan itu juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran.- BERNAMA

  • PRU-15: PAS belum tutup ruang penyatuan ummah

    PRU-15: PAS belum tutup ruang penyatuan ummah

    PAS masih terbuka untuk mendukung agenda penyatuan ummah termasuk dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Bagaimanapun, beliau berkata segalanya bergantung kepada UMNO yang dilihat bergerak secara ‘solo’ dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini. 

    “Kita (PAS) masih mendukung hasrat untuk penyatuan ummah…kami lihat perlunya tiga parti ini (Bersatu, PAS, UMNO) duduk bersama. Dalam politik, PAS berdaftar sebagai komponen Perikatan Nasional (PN), kita bergerak dalam konteks PRU, kecuali Barisan Nasional buat keputusan berbeza kita bincang semula,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Himpunan Hijau 3.0 di sini, malam tadi yang turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan pimpinan PAS Pahang.

    Mengulas pembahagian kerusi calon PAS di Pahang, Tuan Ibrahim berkata perbincangan mengenai kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masih belum diadakan.

    “Bergantung kepada perbincangan dan kami akan buat keputusan selepas itu, berapa jumlah calon dan sebagainya bergantung kepada perbincangan dalam PN,” katanya. – BERNAMA

  • Juara dunia Al-Jufferi ucap selamat tinggal pentas silat

    Juara dunia Al-Jufferi ucap selamat tinggal pentas silat

    JUARA dunia empat kali Mohd Al-Jufferi Jamari akhirnya secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada dunia persilatan profesional yang menjadi sebahagian kehidupannya sejak 15 tahun lepas.

    Jaguh silat negara kelahiran Pahang itu berkata kemenangan yang dilakar pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 malam tadi melengkapkan kemanisannya yang selama ini berjuang di pentas silat demi mengharumkan nama negara dan warisan bangsa Melayu itu.

    “Malam ini, secara rasmi saya bersara dan bagi saya, dapat ataupun tidak dapat emas saya tetap dengan keputusan saya iaitu menamatkan karier saya selaku atlet silat negara selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir malam tadi.

    Mohd Al-Jufferi, 30, menambah koleksi gelaran juara dunianya yang keempat apabila merangkul pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Dewan Melaka International Trade Center (MITC) malam tadi.

    Beraksi dalam Kelas F Putera, pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu menewaskan pesilat dari Indonesia Iqbal Chandra Pratama dengan keputusan 35-21.

    Mohd Al-Jufferi berkata faktor kesihatan merupakan antara sebab beliau berundur dari arena persilatan terutama kecederaan pada bahu kanan yang dihadapinya selama ini memerlukan tumpuan untuk dipulihkan.

    Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan untuk bersara itu sudah banyak kali disuarakan termasuklah ketika Sukan SEA di Hanoi pada Mei lepas namun terpaksa ditangguhkan selepas dipujuk oleh pelbagai pihak terutama tarikh aksi kejuaraan dunia sudah hampir.

    “Jadi kejuaraan ini sudahpun berlangsung dan paling utama, saya dapat raih gelaran dunia keempat. Jadi di sinilah noktah saya,” katanya.

    Ditanya mengenai hala tuju selepas ini, anak didik Mazlan Shaari itu menjelaskan beliau akan memberi tumpuan terhadap Akademi Semboyan Warrior yang diusahakan di Saujana Putra, Selangor bagi melatih lebih ramai pelapis dalam sukan itu pada masa akan datang.

    Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau secara peribadi merelakan persaraan tersebut.

    “Saya relakan kerana saya ingin merehatkan beliau dan kita sendiri tahu satu episod menyayat hati berlaku di Hanoi apabila dia tidak dapat meneruskan pertandingan. Saya katakan padanya yang saya akan sediakan pentas bertaraf lima bintang dan tugas dia hanyalah dapatkan pingat. Jadi hari ini, janji tu sudah kami berdua kotakan,” katanya.

    Beliau berkata Pesaka mungkin ada perancangan lain yang akan disusun untuk jagoan itu namun bukan sebagai seorang atlet.- BERNAMA

  • Isu siasatan 1MDB: PDRM panggil Apandi esok

    Isu siasatan 1MDB: PDRM panggil Apandi esok

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali bagi memberi keterangan berhubung kes tidak puas hati seorang Ahli Parlimen terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya akan merekod keterangan bekas Peguam Negara itu pada 2.30 petang esok (1 Ogos).

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jumaat lepas, media melaporkan, PDRM menerima laporan polis dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang tidak berpuas hati terhadap siasatan 1MDB oleh Apandi ketika beliau menjadi Peguam Negara dan mendakwa Apandi menyalahgunakan kuasa melibatkan kes itu. – BERNAMA

  • Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang di Taman Plentong, Masai pada Jumaat lepas, ditemukan lemas dalam Sungai Plentong di Johor Bahru pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di sungai berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

    “Kami menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pukul 6.49 petang semalam daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan bahawa anaknya masih tidak pulang sejak keluar dari rumah kira-kira pukul 3 petang pada Jumaat lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

    Menurutnya, mangsa disahkan sebagai anak wanita yang hilang itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – BERNAMA

  • Hanya klausa bubar Parlimen yang tamat, MoU masih kuat kuasa

    Hanya klausa bubar Parlimen yang tamat, MoU masih kuat kuasa

    PAKATAN Harapan (PH) menyatakan bahawa Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berkuat kuasa selepas 31 Julai.

    Memetik laporan FMT, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, yang tamat secara automatik hanyalah larangan membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai.

    Menurut beliau, beberapa perkara lain dalam MoU tersebut masih belum dipenuhi.

    “Yang belum (selesai) ia soal pentadbiran, soal penyelewengan dan rasuah ini memang satu hal perlu diketengahkan kerana ia menjadi seolah-olah kegiatan harian. Ada saja terbongkar mengenai wang rakyat yang tidak diuruskan dengan baik,” katanya kepada pemberita di Port Dickson.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memberitahu, PH juga tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan isu kenaikan harga barang.

    “Kita masih belum berpuas hati tentang urusan mengawal harga barang, kos sara hidup yang sangat menekan rakyat padahal menteri-menteri masih dengan cara mereka, dengan belanja dalam jumlah yang besar,” jelasnya.

    Ditanya sama ada PH bersedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekarang, Presiden PKR itu berkata, mereka bersedia dengan jentera yang akan bertindak sekiranya Parlimen dibubarkan.

    “Kalau ada pilihan raya, saya baru bincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, kita siap sedia tetapi keutamaan dia adalah ekonomi sekarang.

    “Tanggungjawab kerajaan ialah mengendali urusan ekonomi dengan baik supaya dapat meringankan beban rakyat,” ujarnya.