Author: Bernama

  • Ringgit cecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998

    Ringgit cecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998

    RINGGIT dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada paras terendah yang pernah dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998 hari ini, apabila lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat itu ekoran prospek ekonomi global yang tidak menentu.

    Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.5010/5035 berbanding dolar AS daripada 4.4970/4500 ketika ditutup pada semalam.

    Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pasaran mengalami turun naik yang lebih ketara berbanding biasa baru-baru ini disebabkan ketegangan yang semakin memuncak antara Russia dan Barat, dengan keputusan Russia untuk memotong bekalan gas ke Eropah bagi tempoh yang tidak pasti.

    “Sementara itu, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Bukan Pembuatan ISM AS bagi Ogos mencatatkan bacaan yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan, dan in meningkatkan tekanan belian terhadap dolar AS yang telah sedia berada dalam aliran menaik sejak beberapa bulan lalu.

    “Berlandaskan data yang menunjukkan inflasi tinggi dan pengangguran rendah di AS, ramai yang menjangkakan Rizab Persekutuan AS mengekalkan trajektori meningkat semasa apabila membabitkan kadar faedah, dengan kenaikan seterusnya dijangka diputuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

    Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1965/1987 daripada 3.2021/2044 ketika ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1451/1473 daripada 3.1741/1762.

    Ringgit juga kukuh berbanding pound British kepada 5.1671/1700 daripada 5.2156/2191 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.4515/4540 daripada 4.4759/4788.

  • Pelarian Rohingya terselamat selepas 4 hari terapung di laut

    Pelarian Rohingya terselamat selepas 4 hari terapung di laut

    PIHAK berkuasa Thailand menyelamatkan 51 pelarian Rohingya termasuk dua kanak-kanak di wilayah Satun semalam.

    Nelayan tempatan menyelamatkan 10 pelarian Rohingya yang dijumpai terapung di laut di daerah La-ngu Satun, manakala 41 lagi ditemukan di sebuah pulau di daerah Thung Wa.

    Polis sedang menyiasat sama ada kedua-dua kumpulan itu datang dari bot yang sama dan menjadi mangsa pemerdagangan orang. 

    Penguasa polis daerah La-ngu, Kol Pol Sitthipong Husrangsi berkata nelayan tempatan menemui 10 lelaki yang keletihan berpaut pada gabus polisterin.

    “Mereka telah ditempatkan di pusat perlindungan, sementara menunggu siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita.

    Pentadbiran Wilayah Satun memaklumkan selepas disoal siasat, 10 lelaki yang berasal dari Rakhine itu, telah melarikan diri dari pusat perlindungan di Bangladesh.

    “Menurut lelaki itu bot yang mereka naiki terlebih muatan dan dalam perjalanan menuju ke Indonesia telah dilanda ribut sehingga memaksa mereka meninggalkan kapal itu. 

    “Mereka berada di laut selama empat hari sebelum diselamatkan nelayan tempatan,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, pihak berkuasa meneruskan pencarian selepas menerima maklumat lebih ramai warga Rohingya telah mendarat di pantai berhampiran.

    “Mereka menjumpai 41 lagi pelarian Rohingya termasuk dua kanak-kanak lelaki di sebuah pulau di luar pantai daerah Thung Wa. 

    “Kesemua mereka ditemukan dalam keadaan lapar dan dehidrasi,” menurut kenyataan itu.

  • Lima kereta Honda baharu musnah, treler terbakar

    Lima kereta Honda baharu musnah, treler terbakar

    LIMA kereta baharu jenis Honda terbakar hampir seratus peratus selepas treler yang membawa kereta berkenaan, mengalami kebakaran di Kilometer 227.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung insiden berkenaan pada 5.24 petang.

    “Kejadian berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang membawa enam kereta dari kilang Honda menghala ke Pulau Pinang, mengalami masalah teknikal di bahagian brek sehingga menyebabkan kebakaran di bahagian belakang treler itu.

    “Ia kemudiannya merebak pada lima kereta terbabit, sebuah lagi kereta pula terbakar 10 peratus. Insiden itu mengakibatkan kesesakan sepanjang tiga kilometer dan semua lorong ditutup sepenuhnya bagi operasi pemadaman api kira-kira satu jam lebih,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

    Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu dan punca sebenar serta jumlah kerugian masih disiasat.- BERNAMA

  • Najib fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

    Najib fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

    DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

    Najib, 69, memfailkan notis usul bagi permohonan itu melalui Tetuan Shafee & Co dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden. Perkara itu disahkan oleh peguam Rahmat Hazlan.

    Ahli Parlimen Pekan itu memohon agar beliau diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.

    Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari sama yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada terus mendengar rayuan itu, diketepikan.

    Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

    Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan dan menggugurkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta membatalkan perbicaraan itu atau diisytiharkan batal dan tidak sah, diketepikan.

    Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

    Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

    “Ini kerana saya telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendengaran rayuan yang adil seperti yang diperuntuk oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

  • Duat maut, 10 hilang Taufan Hinnamnor badai Korea Selatan

    Duat maut, 10 hilang Taufan Hinnamnor badai Korea Selatan

    DUA orang ditemui mati, manakala 10 lagi hilang selepas Taufan Hinnamnor melanda Korea Selatan, menurut ibu pejabat pusat bencana dan keselamatan kebangsaan pada Selasa.

    Taufan Hinnamnor merupakan taufan yang ke-11 melanda negara itu pada tahun ini, dan kebanyakan mangsa dilaporkan berasal dari tenggara, lapor Xinhua.

    Seorang wanita berusia 70-an ditemui mati di Pohang, kira-kira 270 kilometer dari tenggara ibu kota Seoul, selepas dia dipercayai dihanyutkan air deras.

    Sementara itu, lapan orang dilaporkan hilang selepas cuba mengalihkan kenderaan mereka di tempat letak kereta bawah tanah di Pohang.

    Seorang lagi wanita berusia 80-an dijumpai mati tertimbus dalam runtuhan di Gyeongju, kira-kira 280 km tenggara Seoul.

    Di Ulsan, kira-kira 310 km tenggara Seoul, seorang lelaki berusia 25 tahun hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.

    Setakat ini, lapan bangunan komersial dan 71 kediaman dinaiki air di seluruh negara, manakala empat rumah musnah. 

    Lapan kejadian tanah runtuh dilaporkan setakat ini, dan lebih 200 kemudahan awam rosak. 

    Lima bot nelayan karam, dan 1,320 hektar tanah ladang ditenggelami air selepas taufan itu.

    Lebih 66,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala lebih 2,900 orang, kebanyakannya tinggal di wilayah tenggara, telah dipindahkan buat sementara waktu.- BERNAMA

  • Forensik Bukit Aman periksa rumah Zalina Azman

    Forensik Bukit Aman periksa rumah Zalina Azman

    PASUKAN forensik dari Bukit Aman hari ini memeriksa rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman bagi meneruskan siasatan kes kehilangan wanita itu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata bagaimanapun hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang petunjuk bagi perkembangan siasatan kes itu.

    “Pemeriksaan pada kira-kira 10 pagi tadi dilakukan bagi mencari jika terdapat bukti-bukti baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.- BERNAMA

  • Langgar syarat bon: Mahkamah tolak rayuan Zuraida batal saman PKR

    Langgar syarat bon: Mahkamah tolak rayuan Zuraida batal saman PKR

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman PKR yang mendakwa beliau melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusan sebulat suara berkata mereka bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa isu kesahihan dan kesahan kontrak di antara Zuraida dan PKR hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh.

    “Mahkamah perlu mendengar keterangan penuh secara berdokumen mahupun lisan (viva voce) sebelum keputusan dibuat.

    “Kami tidak mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan isu yang dibangkitkan melalui saman ini yang dirasakan adalah tidak wajar untuk dipertimbang bagi permohonan ini.

    “Justeru, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000 dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan,” kata Vazeer ketika menyampaikan keputusan itu melalui telesidang.

    Turut bersidang Datuk M.Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya.

    Panel itu turut memutuskan bahawa selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili Zuraida, dan peguam Ranjit Singh bagi pihak Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Pada 19 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman yang difailkan parti itu pada 28 Sept 2020.

    Pernyataan tuntutan PKR mendakwa Zuraida, yang kini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah menandatangani bon itu pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

    PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

    Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Feb tahun lepas, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

    PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- BERNAMA

  • PRU-15: GTA bakal guna lambang obor

    PRU-15: GTA bakal guna lambang obor

    GERAKAN Tanah Air (GTA) berhasrat menggunakan lambang obor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya permohonan pendaftaran gerakan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

    Jawatankuasa penaja GTA hari ini bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu.

    Pada 4 Ogos lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

    “Bagi melayakkan GTA bertanding dalam PRU15 maka kita melakukan proses sewajarnya berdasarkan undang-undang dengan mendaftarkan gabungan politik ini kepada RoS,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA dalam kenyataan yang dibacakan Ketua Setiausaha GTA Datuk Marzuki Yahya di sini hari ini.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang masih menjalani kuarantin di rumah selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad lepas. Beliau dimasukkan ke IJN selepas disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.

    Presiden Pejuang yang juga Timbalan Pengerusi Penaja GTA Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap permohonan pendaftaran bagi membolehkan GTA menyertai PRU15 nanti dapat pertimbangan sewajarnya daripada  RoS.

    Mukhriz berkata GTA menawarkan kepada rakyat satu gabungan baharu yang setanding dengan gabungan sedia ada seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN).

    “Persediaan menghadapi PRU15 sedang berjalan dan parti-parti gabungan bergerak bersama dengan berkongsi kekuatan masing-masing,” katanya.- BERNAMA

  • Tiada syarat baharu bagi urusan bertanding pilihan raya

    Tiada syarat baharu bagi urusan bertanding pilihan raya

    TIADA keperluan untuk menambah syarat baharu bagi urusan pencalonan wakil untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, khususnya bagi calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata syarat pencalonan pilihan raya sedia ada yang termaktub dalam Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, adalah mencukupi.

    Ia menyatakan sekiranya individu itu didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas, akan hilang kelayakan.

    “Perkara itu perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

    “Sekiranya ditambah lagi, ia akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit. Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada, yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” katanya.

    “Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baharu bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding,” katanya.

    Wan Junaidi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya, yang mencadangkan kerajaan untuk mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya, termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan serta rasuah.

    Mengenai individu yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen pula, Wan Junaidi berkata keahlian individu terbabit tidak akan tergugur, melainkan syarat di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli Parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

    Katanya Perkara 48 (4) (c) menyatakan apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli Parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya.

    Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mempunyai enam peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.- BERNAMA

  • Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    SEORANG ahli perniagaan berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu dengan menyamar sebagai Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, dua tahun lepas.

    Datuk Redzuan Zainuddin, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

    Redzuan didakwa cuba menipu pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank, Abd Samad Khalid, 58, dengan menyamar dan mempercayai bahawa tertuduh sebagai Setiausaha Sulit  kepada (SUS) Tengku Mahkota Pahang/Pemangku Raja Pahang sehingga mendorong mangsa supaya melantik tertuduh sebagai Ahli Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara 1, Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfields di sini pada 2.14 petang, 27 Mac 2020, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala peguam Ramalinggam yang mewakili Redzuan memohon jaminan paling minimum dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai lapan anak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA