MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana memandu kereta dengan membahayakan pengguna jalan raya lain dengan kejadian itu tular di media sosial.
Memetik laporan Berita Harian, Majistret, Fatin Dayana Jalil memutuskan hukuman berkenaan selepas Lim Ching Hong, 26, yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu digantung selama lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen terbabit.
Mengikut pertuduhan, Ching Hong didakwa memandu kenderaan jenis Lexus berwarna perak yang bernombor pendaftaran BQA 1188 dengan membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Putra, di sini, pukul 9.19 pagi, Ahad lalu.
Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama jika disabitkan kesalahan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan ‘diendors’ (dimasukkan) pada lesen memandu.
Ketika prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir, memohon hukuman maksimum atas kesalahan membahayakan pengguna jalan raya, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum kerana tiada pekerjaan tetap dan perlu menanggung keluarga.
Semalam, media melaporkan polis menyiasat tindakan pemandu kereta itu yang berhenti mengejut hingga dirempuh sebuah motosikal.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, dipetik berkata siasatan awal mendapati suspek dan mangsa masing-masing berada di lorong pertama serta kedua sebelum kemalangan berlaku.
Suspek dikatakan memandu secara melulu dan berbahaya dengan mengubah haluan ke lorong kedua dan membrek secara mengejut sebelum mangsa yang gagal mengawal motosikalnya melanggar belakang kereta terbabit dan terjatuh.
Tular video kamera perakam video atau dashcam berdurasi 24 saat menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta memberhentikan kenderaannya secara mengejut di hadapan penunggang motosikal.
Leave a Reply