PADA 12 Disember tahun lalu, orang nombor dua dalam kerajaan PH-BN, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Anwar Ibrahim telah mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup.
Zahid berkata, beliau diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut, bagi memastikan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dapat dilakukan secara berterusan.
Katanya lagi, jawatankuasa itu akan memastikan kesinambungan kepada pengumuman yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini, termasuk berkaitan tarif elektrik, petrol serta langkah mengawal kekurangan bahan makanan asas.
Dalam tempoh sebulan katanya, beberapa pengumuman akan dilakukan dan perubahan-perubahan diumumkan selepas setiap mesyuarat mingguan Kabinet yang melegakan kebanyakan rakyat. Tunggu punya tunggu, belum ada sebarang langkah berkesan untuk menangani permasalahan rakyat berkaitan isu kos sara hidup secara keseluruhan.
Jika kerajaan menganggap inisiatif nasi harga Rahmah sebagai pendekatan untuk meringankan beban rakyat, ia sebenarnya bukanlah langkah terbaik menyeluruh kerana bukan semua rakyat dapat makan di luar setiap hari. Dan bukan semua restoran dapat menyediakan menu berkenaan kerana tidak mampu menyerap kenaikan harga bahan mentah yang meningkat. Bahkan tidak semua peniaga mampu bertahan dalam tempoh lama untuk menjual produk harga Rahmah.
Oleh sebab itu rakyat melabelkan kerajaan ketika ini tidak serius dan fokus dalam menangani isu kos sara hidup sehingga Anwar terpaksa menafikan pandangan itu dengan mendakwa ia adalah tuduhan liar semata-mata. Kini sudah masuk tujuh bulan semenjak jawatankuasa itu ditubuhkan, nampaknya isu yang dihadapi rakyat bukan saja tidak berubah tetapi makin bertambah apabila harga barang makin melambung.
Keluhan rakyat mengenai kos sara hidup pula cuba dinafikan apabila terdapat gerakan memesongkan fakta dilakukan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan memaparkan infografik yang tidak realistik. J-Kom yang bergerak atas restu kerajaan PH-BN mendakwa perbelanjaan dapur rakyat negara ketika ini adalah kurang RM400 sebulan manakala belanja individu bujang sekitar RM200 sebulan.
Natijahnya, ramai mengecam gambaran perbelanjaan itu kerana nilai sebenar yang keluar daripada poket rakyat ketika ini adalah jauh lebih besar daripada apa yang dikemukakan oleh J-Kom itu. Kenapa rakyat marah dengan kerajaan PH-BN apabila menyentuh isu kos sara hidup?
Semuanya adalah kerana tindakan pemimpin PH yang dahulunya ketika menjadi pembangkang bercakap seperti mereka hebat semua perkara terutama dalam membela kebajikan rakyat. Apa yang dilakukan oleh pemerintah sewaktu mereka menjadi pembangkang ada saja yang tidak kena walaupun sesetengah kenaikan harga barang itu adalah disebabkan kesan yang di luar jangka.
Pemimpin PH bercakap seolah-olah mereka bijak dan mempunyai pelbagai formula bagaimana untuk menjadikan harga barang di negara ini pada kadar berpatutan dan terkawal. Nah! Apabila diberikan kuasa (walaupun bukan atas kerelaan majoriti rakyat) ternyata mereka cakap tidak serupa bikin.
Bukan itu saja, nampak ketara pemimpin PH hanya pandai bercakap berdegar-degar umpama tin kosong yang bising tapi tiada apa isi di dalamnya. Konon dengan segala penubuhan jawatankuasa dapat menyelesaikan isu berbangkit tetapi tiada tindakan yang boleh melegakan hati rakyat ketika ini.
Untuk menyatakan kerajaan PH-BN adalah kerajaan yang baru bagaikan bayi seperti yang dinyatakan seorang pemimpin PKR, Hassan Karim juga tidak munasabah kerana PH sudah bergabung dengan BN yang mempunyai rekod pentadbiran berpuluh tahun. Jadi apabila sudah mendapat kuasa, di manakah kemahiran itu semua takkanlah hilang sekelip mata sahaja?
Leave a Reply