AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kegagalan kerajaan mengisi jawatan ketua audit negara yang kosong hampir empat bulan, namun pada masa sama mahu membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 di Dewan Rakyat.
“Perkara yang patut diberi perhatian ialah mengenai (jawatan) ketua audit negara dah empat bulan tidak diisi, yang itu patut diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Bagaimana kita nak bincang soal ini (bahas LKAN 2021) kalau ketua audit negara pun tidak ada?” tambahnya, pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Ketua audit negara sebelum ini disandang oleh Nik Azman Nik Abdul Majid yang bersara pada 23 Februari lalu, selepas berkhidmat selama empat tahun.
Ketua audit negara jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan. Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Tugas ketua audit negara untuk membuat audit dan melaporkan akaun kerajaan persekutuan dan negeri.
Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kegagalan kerajaan melantik ketua audit yang baharu kerana ‘takut diaudit’.
“Nampak kerajaan pada hari ini takut diaudit. Sebab itu tak lantik ketua audit negara,” katanya, lapor FMT.
Terdahulu, pembangkang membantah Dewan Rakyat membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021, lalu menyebabkan kekecohan selama satu jam.
“Semakan kami sepanjang perjalanan Dewan Rakyat tidak pernah LKAN dibentang dibahaskan,” kata Takiyuddin, dan menambah laporan itu hanya perlu dibentangkan.
Kenyataan ketua whip PN itu disokong oleh semua Ahli Parlimen gabungan itu yang setuju LKAN tidak perlu dibahaskan.
Laporan itu dipercayai audit bagi tahun yang mana darurat diisytiharkan ketika wabak Covid-19 melanda. Ia diisytiharkan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.
Kedua-dua blok bertikam lidah sehingga Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, mencelah dan memutuskan LKAN perlu dibahaskan kerana prosiding PAC, yang meneliti LKAN, tidak terbuka kepada umum.
Leave a Reply