SEORANG bekas Eksekutif Akaun firma guaman didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan, di Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian hampir RM1 juta, tiga tahun lepas.
Abu Zarin Haron, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, Kamarudin Kamsun dan Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, Abu Zarin didakwa sebagai eksekutif akaun yang diamanahkan penguasaan ke atas akaun pelanggan firma, melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan sembilan cek bernilai keseluruhan RM935,630.40 tanpa pengetahuan firma bagi kegunaan sendiri, lapor BERNAMA.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tetuan Zainal Abidin & Co di Plaza Permata, Sentul, , antara 4 Sept 2020 dan 14 Okt 2021 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kesemua kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif dan Akmalzatul Mohamed Nawi manakala tertuduh diwakili peguam Kassim Ludin dan Ahmad Fadhli Salleh.
–
Leave a Reply