PH-UMNO ‘mati akai’ nak tumbangkan Sanusi

‘MB Loqlaq’, ‘angkuh sombong’, ‘cakap berdegar-degar’ – itulah antara ‘serangan’ ditujukan kepada Muhammad Sanusi Md Nor – Menteri Besar Kedah yang ‘sempoi’ tetapi cukup memeningkan pemimpin PH-BN-DAP.

 Mereka seolah-olah ‘mati akal’ untuk memastikan rakyat Kedah tidak lagi menyokong ADUN Jeneri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

 Berbanding Kelantan dan Terengganu, waima Selangor dan Negeri Sembilan sekalipun, tumpuan pemimpin ketiga-tiga parti itu lebih kepada Sanusi. Bagi mereka, jika Sanusi mampu ‘ditumbangkan’, kejayaan itu lebih besar daripada mempertahankan pemerintah PH di Selangor dan Negeri Sembilan.

 Soalnya, apa salah Sanusi sehingga beliau menjadi sasaran utama? Adakah kerana beliau tidak bersih? Adakah beliau menganiaya rakyat Kedah? Adakah beliau sering ‘menyerang’ kerjasama ‘penuh kasih sayang’ antara PH-DAP-UMNO?

Semua itu bukan alasan, sebaliknya Sanusi ‘diserang’ kerana kelantangan beliau menjawab setiap hujah yang dibangkitkan oleh pemimpin PH-DAP-UMNO berkaitan negeri Kedah.

Sanusi bukan seperti sesetengah ahli politik kerajaan yang berhujah bagaikan ‘badut di atas pentas’. Setiap serangan, Sanusi jawab satu persatu berdasarkan fakta.

Ketika balik kampung di Kedah pada minggu lalu, penulis dapat merasakan aura Sanusi dalam kalangan rakyat Kedah tanpa mengira fahaman politik.

 Sanusi tidak ada ‘billboard’ wajahnya yang menghiasi setiap ceruk jalan di Kedah untuk meraih populariti, Sanusi tidak perlu berkaroake pada majlis-majlis keramaian untuk menarik perhatian dan sudah tentu Sanusi tidak akan berlari-lari anak memasuki Dewan Undangan Negeri.

Sebaliknya, Sanusi yang berusia 49 tahun itu, hanya menampilkan dirinya yang sebenar, bukannya mahu menjadi pelakon atau selebriti. Sanusi cuba berusaha melaksanakan tanggungjawabnya sebagai MB Kedah yang disandangnya sejak 17 Mei 2020 dengan sebaik-baiknya demi negeri kelahiran beliau.

Disebabkan keikhlasan dan keberanian menyatakan kebenaran, ia menyebabkan ‘musuh politiknya’ bak kata orang Kedah,’’depa dah mati akai nak jatuh MB yang depa kata loqlaq’. Biarpun pelbagai usaha dilakukan untuk memburukkan atau menjejaskan kewibawaan Sanusi sebagai MB Kedah, namun mereka menemui jalan buntu.

Tambahan pula bertanding setakat ini di negeri Jelapang Padi itu tidak ada pemimpin politik lain yang mampu menandingi aura Sanusi. Itulah kesilapan parti-parti kerajaan di Kedah. Mereka masih bergantung kepada muka-muka lama yang sudah ditolak rakyat dalam PRU-15 tetapi masih berhasrat mahu bertanding dalam PRN.

 Sepatutnya, parti-parti terlibat mengemukakan calon atau pemimpin yang boleh menandingi kewibawaan Sanusi, tetapi mereka gagal berbuat demikian. Akhirnya yang rakyat Kedah nampak ‘pi mai pi mai muka tu jugak’.

 Kalau mereka berhujah ‘menyerang’ Sanusipun ia ibarat ‘peluru kapur’ tidak ada apa-apa kesan, contohnya masalah air di Kedah. Itu bukan isu baru, ia isu yang sudah berpuluh-puluh tahun membelenggu Kedah. Dan perlu diingat yang ‘serang’ Sanusi dałam isu berkenaan bukan sahaja pernah memerintah Kedah malah antaranya pernah menjadi MB Kedah.

Begitu juga apabila ada pemimpin PH atau BN mahu membangkitkan isu-isu tertentu dengan tujuan untuk ‘menyerang’ Sanusi…semuanya berakhir dengan kehampaan.

 Sanusi membalas hujah mereka dengan tenang dan diselang seli dengan sindiran memandangkan ada antara mereka ketika berada dalam kerajaan termasuk menjadi Exco Kerajaan Negeri, prestasi tidaklah sehebat mana. Apapun penulis percaya menjelang PRN tidak lama lagi, ‘serangan’ ke atas Sanusi akan bertali arus, cuma persoalannya isu apa lagi yang mahu ditimbulkan untuk membangkitkan gelombang penolakan terhadap Menteri Besar Kedah.

Setakat ini, penulis tidak nampak usaha mereka akan berhasil kerana berdasarkan pemerhatian penerimaan rakyat terhadap Sanusi boleh dianggap menakjubkan ibarat kata seorang kawan anak kelahiran Langkawi ‘Sanusi dah jadi fenomena’.

Kalau PH-UMNO-DAP berhasrat mahu ‘menumbangkan’ Sanusi, mereka perlulah ada calon sesuai menjadi MB Kedah. Tetapi kalau berdasarkan perbualan penulis dengan orang UMNO sendiri, mereka pun tiada jawapan.

Oleh itu nasihat penulis kepada PH-UMNO-DAP khususnya UMNO usahlah bermimpi mahu ‘menjatuhkan’ Sanusi dan kembali memerintah Kedah, selagi UMNO masih bergantung dengan ‘muka-muka tu saja’ untuk menang pilihan raya. Mungkin apa yang dikatakan ini agak keterlaluan tetapi itulah fakta, walaupun pemimpin UMNO sukar menerimanya dan ‘tidak rajin untuk bermuhasabah’.

 Kepada pemimpin PH-BN-DAP pula khususnya PKR, jangan terlalu teruja mahu kalahkan Sanusi dan menguasai Kedah, penulis bimbang kalau nanti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. ‘Kepunglah’ betul-betul Negeri Sembilan dan Selangor. Kenapa? Selidiklah sendiri.

 Kesimpulannya, PH-UMNO boleh katakan apa sahaja kepada Sanusi termasuk ‘loqlaq’ tetapi ‘loqlaq, loqlaq’ Sanusipun, mereka sudah ‘mati akai’ nak kalahkan beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *