Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG lelaki kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas tujuh pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas polis.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Paiman, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sazlina Shafie.
Muhammad Firdaus yang juga berstatus duda, didakwa memiliki pistol jenis Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela, Pengerang kira-kira jam 1 pagi pada 10 Mei lalu.
Bapa dua anak itu juga didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9 milimeter tanpa lesen senjata yang sah pada lokasi, waktu dan tarikh yang sama.
Muhamad Firdaus turut didakwa memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata yang sah di Felda Tunggal, Pengerang kira-kira pukul 2.30 pagi 10 Mei lalu.
Bagi pertuduhan memiliki pistol dan senapang patah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan juga sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Sementara pertuduhan memiliki senapang angin dan peluru pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Sazlina kemudiannya menetapkan tarikh 15 Jun 2023 bagi sebutan semula kes dan keputusan penghakiman sementara menunggu laporan kimia.
Sementara itu, Muhamad Firdaus turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tiga pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas seorang anggota polis.
Tertuduh didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd. Shafiq Nazrin Razali yang cuba menangkapnya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang, pukul 3.35 petang, 7 Jun 2016.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.
Tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.44 gram dan kanabis seberat 0.90 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi pukul 1 pagi pada 10 Mei lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Muhamad Firdaus turut didakwa di bawah Seksyen 6 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Rashidah Baharom menetapkan 6 Julai untuk sebutan kes berkenaan dan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Majistret Pengerang.
Leave a Reply