SEORANG jurujual didenda RM400 susulan membuat laporan palsu dirompak kerana tidak tahan menerima desakan supaya melunaskan hutang.
Tertuduh, Nur Zaman Nasir, 31, memberikan alasan itu selepas disoal peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebelum Majistret Nur Asidah A Rahman menjatuhi hukuman denda itu, di Mahkamah Majistret Batu Pahat.
“Saya terpaksa membuat laporan palsu dirompak kerana desakan daripada peminjam supaya melunaskan hutang mereka,” katanya menurut Harian Metro.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan di Balai Polis Sri Gading mendakwa beg sandang miliknya disamun pada 4.10 petang, 5 April lalu.
Dalam laporan itu, tertuduh mendakwa kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Jalan Rahmat menuju ke Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat.
Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan bersabit laporan dibuat tertuduh mendapati ia palsu dan sengaja diada-adakan cerita bagi mengelak dia membayar hutang.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukannya.
Tan bagaimanapun meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh perlu membesarkan dua anak berusia dua hingga empat tahun serta menjaga ibunya berusia 58 tahun yang sakit.
Leave a Reply