Wujud ‘Napoleon Kecil’ dalam PMO, dakwa Sanusi

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujud kumpulan yang digelarnya sebagai ‘Napoleon Kecil’ dalam kalangan pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Beliau berkata, kumpulan itu berperanan sebagai pihak yang menguruskan beberapa perkara dan keputusan kecil melibatkan PMO selain menonjolkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, dakwanya ‘Napoleon Kecil’ ini telah mewujudkan sistem pecah dan perintah terutama membabitkan hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan selain menampakkan ‘keburukan’ individu tidak disukai mereka.

Menurut Sanusi, tindakan itu akan mewujudkan perbalahan berpanjangan sekali gus merenggangkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutamanya melibatkan Kedah.

“Saya nampak di dalam pentadbiran Perdana Menteri ada ‘Little Napoleon’, (itu) saya nampak, minta maaf kalau tidak betul, Little Napoleon ini akan timbulkan perpecahan (selain sentiasa) merancang untuk (wujudkan) perbalahan (antara saya dan Perdana Menteri).

“Niat (mereka) bagus hendak up (naikkan imej) ‘boss’ dia, tapi itu kadang-kadang boleh cetuskan beberapa perkara tidak diingini.

“(Contohnya) saya beberapa kali (dipalitkan dengan isu terutama) undangan (menghadiri) Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA2023′), Mesyuarat Kewangan Negara, (dan) majlis jamuan hari raya, itu semua itu kerja ‘Little Napoleon’, saya ikhlas bercakap (berhubung isu ini) dan harap Perdana Menteri dengar suara saya,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Menteri Besar Kedah di Seri Mentalon, Alor Setar.

Mengulas lanjut, Sanusi menjelaskan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Perdana Menteri namun tindakan kumpulan berkenaan yang turut digelar ‘Syaitan Kecil’ untuk memusuhinya, menampakkan beliau adalah tidak mesra kepada kerajaan Pusat ketika ini.

Persepsi yang cuba dibawa itu jelasnya tidak lain tidak bukan adalah sebagai bahan kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menyambut baik ura-ura yang mengatakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut beliau, ketokohan yang ada kepada Shahidan terutama pengalaman sebagai Menteri Persekutuan mampu menjadi nilai tambah yang boleh menjadi penawaran kepada pengundi.

“Saya dengar dia nak pergi (bertanding di) Selangor, saya dengar (sahaja) bukan ‘confirm’, (apa yang) saya dengar (adalah PRN nanti beliau akan bertanding) di Selangor.

“(Ia akan menjadikan PN lebih) kuat khususnya di Selangor, di Kedah ini ada tidak bertambah, tiada tidak berkurang, saya rasa di Selangor orang macam dia diperlukan.

“Ini kerana (beliau) ada pengalaman jadi Menteri Wilayah, saya alukan kalau beliau sedia tanding PRN, seronok juga ada tokoh veteran macam beliau,” katanya.

Muhammad Sanusi Md Nor, Napoleon kecil, pejabat perdana menteri, Anwar Ibrahim,


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *