POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kadar khas bayaran saman selama sebulan mulai Jumaat, 21 April ini sehingga 21 Mei depan bagi semua saman trafik.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga hanya RM50.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, kadar khas itu adalah bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.
Selain itu katanya, kadar khas tersebut tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan tahun ini.
“Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutama pada musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, PDRM akan melaksanakan Op Lancar selama dua hari sehingga esok bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Beliau berkata, Op Lancar akan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
“Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
“Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan-laluan hotspots seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” jelas beliau.
Leave a Reply