Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video di aplikasi sosial semalam yang mendakwa seorang anggota polis memeras ugut individu di Bulatan Dato Onn di ibu negara.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Yahaya, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok semalam memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *