AIR tuak atau nira kelapa bukan lagi sesuatu yang asing bagi masyarakat di Pantai Timur khususnya Terengganu.
Bagi mereka yang melalui jalan Pantai dari Dungun menghala ke Kuala Terengganu, sudah pasti akan terpandang deretan pondok, bangsal dan warung yang menjual air nira sebaik sahaja tiba berhampiran Kampung Kelulut dan Alor Tuman Marang.
Bagi penggemar minuman tradisional ini pula, mereka sanggup meredah bukit dan semak samun memasuki ke lokasi kebun kelapa di Kampung Batangan dan Dataran Batu Putih hanya semata-mata untuk membeli minuman kegemaran itu.
Begitulah betapa hebatnya penangan air nira dalam kalangan para penggemarnya di mana ada di antara mereka dikatakan kurang berselera makan sekiranya tidak meneguk air nira.
Tetapi awas! jangan tersilap membeli atau meminum air nira masam kerana ia boleh meloyakan selain ia juga dilarang oleh pihak berkuasa.
Bercakap mengenai air nira, sejak kebelakangan ini penulis mendapati minuman ini semakin mendapat perhatian ramai.
Sebenarnya, ketika zaman kanak-kanak lagi penulis sudah terdedah dan sering menyaksikan orang membuat air nira, tetapi ketika itu penulis tidak pernah tergerak untuk meminumnya.
Salah seorang pembuat air nira terkenal di kampung penulis ketika itu digelar dengan nama Awang Tok Nyadat (sudah lama meninggal dunia).
Allahyarham memiliki kemahiran dan kepakaran tersendiri di mana dia turut cekap berdiri serta ‘membelai’ mayang di atas pucuk pokok kelapa dalam tempoh agak lama.
Pada zaman itu keadaan pokok kelapa semuanya tinggi, belum ada lagi dari benih pandan, mawar atau mataq.
Memandangkan air nira ketika itu tidak mempunyai nilai dan tidak sepopular sekarang, kesemua yang dikutip dan dibawa turun oleh Pak Awang diagihkan kepada orang kampung yang memerlukan.
Kerja-kerja dan pendapatan utama Pak Awang ketika itu bukanlah daripada hasil menjual air nira, sebaliknya dengan menjual daun dan buah kelapa.
Kini semuanya sudah berubah. Air nira bukan sahaja semakin terkenal dan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
Malah, ia juga mampu memberi rezeki berganda kepada mereka yang menjual dan menghasilkannya.
Penulis dimaklumkan sepanjang bulan Ramadan rata-rata pendapatan penjual air nira terus meningkat di mana ada di antara mereka berjaya meraih sehingga RM1,000 sehari.
Perkembangan ini menyebabkan orang yang menghasilkan minuman tersebut tidak menang tangan menyebabkan penggemar dan pembelinya perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
Berdasarkan itulah, penulis mendapati sekarang ini semakin ramai penduduk kampung yang menukar kerja dengan menanam kelapa pandan dan mataq selain sanggup pula menjadi ‘Tok Nyadat’.
Memadangkan potensi air tuak ini boleh berkembang dan meningkatkan ekonomi penduduk, Kerajaan Terengganu sebelum ini telah melakukan penjenamaan semula air tuak atau nira kelapa sebagai minuman isotonik dengan nama Sweet Nira Terengganu.
Langkah itu bertujuan untuk membantu meluaskan pasaran produk berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim ketika melancarkan produk di Dataran Batu Putih Marang pernah menyatakan bahawa industri air nira merupakan industri yang mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.
Maka itu, penulis berharap minuman air nira bukan sahaja akan terus popular tetapi mampu bersaing dengan produk minuman lain di pasaran.
Biarlah pada suatu hari nanti, orang yang tinggal di luar Terengganu sentiasa ‘teringat’ air tuak Terengganu sama juga seperti keropok.
Justeru, mereka tidak akan terlepas untuk membeli air nira apabila berada di negeri ini.
Selain mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan, minuman ini juga mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, apatah lagi ia mempunyai khasiat semula jadi, tanpa bahan pengawet, bahan kimia dan pewarna.
Leave a Reply