BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan bahawa dia membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Pasukan peguam yang mewakili bekas ketua menteri Pulau Pinang itu memfailkan writ saman berkenaan di Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) di Kuala Lumpur pagi tadi.
Pada 15 Mac lalu, Guan Eng menghantar surat tuntutan dan memberi tempoh selama tujuh hari kepada Muhyiddin agar memohon maaf atas dakwaan bahawa dia membatalkan pengecualian cukai yayasan tersebut.
Ahli Parlimen Bagan itu juga menafikan dakwaan berkenaan, lapor Malaysiakini.
Pada 22 Mac lalu, Lim yang juga pengerusi DAP membuat laporan polis terhadap pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berhubung dakwaan berkenaan.
Muhyiddin mendakwa pembatalan pengecualian cukai yayasan itu dilakukan ketikaLim memegang jawatan Menteri Kewangan.
Menurut salinan pernyataan tuntutan saman sivil itu, Guan Eng mendakwa Muhyiddin memfitnahnya melalui kenyataan yang disiarkan pada tiga tarikh berasingan iaitu pada 9 dan 11 Mac melalui Facebook dan pada 12 Mac ketika ditemu bual oleh pihak media.
Plaintif mendakwa kenyataan pertama yang dibuat oleh defendan di FB selepas dia dibebaskan daripada siasatan SPRM, sengaja dibuat dengan tujuan mencari ‘publisiti murahan’ sambil cuba mengalihkan perhatian orang ramai kepada pengerusi DAP itu dengan ‘dakwaan yang tidak wajar dan palsu’.
Guan Eng mendakwa kenyataan ketiga dibuat kepada pihak akhbar selepas defendan memberi ucapan penggulungan pada majlis Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur.
Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat kerana niat jahat dan antara lain membayangkan bahawa dia telah menyalahgunakan kuasanya pada masa itu dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu sedangkan organisasi sedemikian tidak dikenakan cukai.
Pengerusi DAP itu bukan sahaja menafikan dakwaan itu malah mendakwa ia bermotifkan politik dengan niat jahat untuk memburukkan imejnya dengan menggambarkan dirinya sebagai seorang rasis dan anti-Islam.
Plaintif berkata beliau bersedia mengemukakan bukti di mahkamah untuk menafikan dakwaan defendan, termasuk kenyataan media oleh Kementerian Kewangan pada 23 Mac yang menyatakan bahawa menteri kewangan dan pegawai kementerian ketika itu tidak membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
Guan Eng berkata dakwaan itu terbukti tidak benar berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggahnya semasa sidang parlimen sebelum 21 Mac.
Plaintif mendakwa defendan tidak melakukan sebarang usaha untuk mengesahkan dakwaan itu dengannnya sebelum kenyataan itu disiarkan.
Lim berkata selepas surat tuntutan dikeluarkan, Muhyiddin melalui jawapan daripada peguam caranya bertarikh 21 Mac enggan bersetuju dengan tuntutan plaintif bagi permohonan maaf.
Menerusi writ saman itu, Guan Eng memohon permohonan maaf Muhyiddin dan menarik bakik ketiga-tiga kenyataan yang didakwa berunsur fitnah melalui akaun FB dan Twitter defendan serta permohonan maaf yang disiarkan di semua akhbar di Malaysia dan beberapa portal berita dalam talian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.
Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan punitif; injunksi untuk menghalang defendan daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah selanjutnya; dan perintah supaya defendan mengeluarkan kenyataan itu dari akaun Facebook dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.
Guan Eng juga menuntut faedah lima peratus ke atas jumlah yang dianugerahkan yang dikira dari tarikh memfailkan tuntutan mahkamah sehingga tarikh realisasi penuh, kos, dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Malaysiakini telah menghubungi pasukan peguam Muhyiddin untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.
Leave a Reply