SKUAD bola sepak Terengganu FC (TFC) akhirnya berjaya mengutip tiga mata penuh dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam tadi.
Kemenangan sulung 1-0 yang diraih menerusi jaringan pemain pertahanan import dari Uzbekistan, Sardor Kulmatov pada minit 76 sekurang-kurang meredakan sedikit kemarahan para penyokong kelab ‘Peteh’ tersebut.
Ini kerana, dalam tiga perlawanan lalu para penyokong TFC seakan tidak percaya pasukan mereka hanya mengumpul satu mata apabila tewas dua kali menentang JDT dan Kedah FC sebelum seri dengan Kuala Lumpur FC tanpa jaringan.
Susulan prestasi tidak menentu pada awal musim ini ramai penyokong Peteh memberikan pelbagai komen negatif melalui saluran media sosial khususnya Face Book (FB).
Antaranya termasuklah meminta jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner merombak barisan penyerang dengan mengeluarkan Ivan Mamut dan menggantikan dengan Jordan Mintah.
Mereka berpendapat, ia perlu memandang kehadiran pemain Crotia itu terlalu lembik dan tidak memberi sebarang imput di hadapan pintu gol lawan.
Selain itu, penyokong menyifatkan ramai pemain import TFC pada musim ini tidak berkualiti dan dilabelkan sebagai ‘cap ayam’ berbanding musim lalu.
Penulis percaya musim lalu TCF muncul antara pasukan terkuat di bawah jurulatih Nafuzi Zain disebabkan gandingan pemain tempatan dan import berkualiti sehingga meletakkan kelab ini menduduki tempat kedua Liga Super serta turut mengancam dalam Piala FA.
Antara pemain tempatan berbisa musim lalu termasuklah Faisal Halim yang berpindah ke Selangor.
Manakala pemain import pula ialah Pepe Diakite, Tchetche Kipre, Kpah Sherman, Petrus Shitmbi dan Mannuel Ott.
Penyokong TFC berpendapat, kekalahan kepada Kedah FC 0-1 sebelum ini adalah berpunca daripada kecuaian import dari Crotia, Domagi Pusic yang tidak sepatutnya bertindak menolak bola ke belakang.
Malah, apa yang
Penulis perhatikan gelagat kemarahan penyokong Peteh ini sehingga ada yang bercadang ‘memulaukan’ perlawanan dengan membiarkan Stadium kosong.
Ada juga mencadangkan supaya pihak pengurusan menarik diri daripada menyertai Lejohanan AFC sekiranya prestasi pasukan tidak berubah.
Menyedari kemarahan penyokong, maka Tomislav akhirnya akur membuat rombakan pemain dengan mengetepikan Ivan Mamut dan memasukkan Jordan Mintah sewaktu bertemu PDRM malam tadi.
Turut ditampilkan ialah Habib Haroon.
Ternyata percubaan tersebut membuahkan hasil apabila banyak percubaan tepat berjaya dilakukan pemain TFC sama ada daripada Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan juga Habib Haroon.
Bagaimanapun setiap percubaan tersebut masih buntu dan gagal menghasilkan sebarang jaringan ke dalam gawang gol lawan.
Ketika itu penulis perhatikan riak wajah dan aksi para penyokong tuan rumah semakin berubah dan mula bertukar nada, apatah lagi selepas PDRM hanya beraksi dengan 10 pemain.
Dalam perlawanan tersebut, TFC yang kelihatan begitu agresif di hadapan pintu gol pihak lawan hanya terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Pada penghujung separuh masa pertama sebelum wisel ditiupkan pengadil, PDRM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penjaga golnya, Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah kerana mengasari Jordan Mintah.
Hal ini menyebabkan jurulatih PDRM, Azzmi Aziz terpaksa mengeluarkan pemain tengah, Kyaw Min Oo bagi membawa masuk penjaga gol gantian, Willfred Jabun.
Akhirnya, ketika memasuki minit ke 76, Kulmatov berjaya meledakkan gol kemenangan, sekaligus meredakan sedikit kemarahan para penyokong.
Sebelum jaringan terhasil, penulis ada terdengar perkataan kurang enak ‘Dahlah main tempat sendiri, pihak lawan main 10 orang pun susah nak menang?’.
Penulis berpendapat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji semula mengenai kouta pemain import yang dibenarkan dalam Liga Super di negara ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan pasukan negara ekoran ramai pemain tempatan berbakat tersisih.
Bayangkan kalau dalam setiap perlawanan,terdapat lebih enam orang pemain import diturunkan sedangkan ada di antara mereka yang tidak berkualiti.
Leave a Reply