Jurulatih kecergasan dituduh tunjuk kemaluan, cabul gadis

SEORANG jurulatih kecergasan sebuah gimnasium didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis pada 7 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Khaw Chee Young, 29, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa hendak mengaibkan kehormatan seorang gadis dengan cara menunjukkan kemaluan kepada gadis tersebut.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.40 pagi pada 7 Mac lalu, di aras dua sebuah gimnasium di All Season Place, Lebuh Raya Thean Teik, di Georgetown.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa di lokasi dan masa yang sama telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan gadis yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Zaida Azwa Zainal memohon mahkamah menetapkan jaminan berjumlah
RM5,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh bagi pertuduhan pertama manakala jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, peguam HC Chan memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan wang jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Selain itu, HC Chan berkata, pasport tertuduh juga telah tamat tempoh pada 2020 dan anak guamnya tidak berhasrat untuk memperbaharui pasport tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *