guane

TINDAKAN Kerajaan Perpaduan untuk menyekat Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) membabitkan royalti petroleum ke Terengganu dianggap sebagai tidak wajar.

Ini kerana, tindakan tersebut dikatakan bukan sahaja bakal menjejaskan setiap perancangan pembangunan di negeri ini, tetapi juga melibatkan hal-hal berhubung kepentingan rakyat.

Justeru, banyak pihak meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlalu berpolitik, sebaliknya mengkaji semula perkara tersebut demi kepentingan rakyat.

Walaupun Anwar ada memberi jaminan bahawa peruntukan akan disalurkan terus kepada rakyat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), namun ia tidak ‘seindah’ diungkapkan.

Malah, ia dikatakan seolah-olah seperti penjelmaan dendam daripada Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan negeri di bawah pemerintahan pembangkang.

Ini terbukti apabila sejak musibah banjir melanda di negeri ini, isu-isu melibatkan bantuan kepada mangsa banjir disalurkan menerusi JPP, bukannya kerajaan negeri.

Maka itu, penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini melihat ia seakan menyerlahkan lagi sikap dendam kerajaan pusat terhadap Terengganu.

Bagi negeri Terengganu, sebenarnya rakyat pernah berhadapan dengan situasi seperti ini ketika PAS memerintah pada tahun 1999 lalu di mana wang royalti minyak di salur menerusi JPP dengan nama ‘Wang Ihsan’.

Di sana sini orang bercakap mengenai wang ihsan, bantuan kepada peniaga kecil, bantuan hari raya sehingga bantuan persekolahan dinamakan wang ihsan.

Ada pihak menyifatkan tindakan kerajaan Pusat di bawah pemerintahan BN ketika itu yang menukar status royalti petroleum kepada wang ihsan dianggap bertentangan dengan semangat Federalisme.

Jadi, apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini menyatakan Terengganu dan Kelantan tidak berhak menerima royalti petroleum bersandarkan Akta Laut Wilayah 2012, ia seolah-olah mengulangi skrip lama.

Antara lain perjanjian itu menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

pelantikan
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan agar DKKP yang diterima daripada Kerajaan Pusat sebelum ini dapat diteruskan.

Sehubungan itu beliau akan berbincang semula dengan kerajaan pusat mengenai isu tersebut sama ada melibatkan peruntukan pembayaran DKKP atau pun wang royalti petroleum.

Persoalannya, apakah penjenamaan wang ihsan ini akan ‘dipopularkan’ semula ke Terengganu ketika pemerintahan Kerajaan Perpaduan?

Dan apakah pemimpin politik mewakili BN dan PH akan ‘gegar’ dan riuh rendah semula mewarnai kehidupan di pejabat JPP?

Apa yang rakyat Terengganu harapkan ialah carilah pendekatan terbaik bagi menyelesaikan setiap isu tersebut demi kesejahteraan rakyat yang kini semakin terbeban dengan kehidupan.

Cukup-cukuplah bermain politik ‘murahan’ dan lapuk kerana rakyat kini sudah semakin muak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here