TOK Chey setuju dengan sebahagian pendapat yang mengatakan bahawa duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak wajar untuk dikeluarkan lagi pada kali ini kerana jika dibenarkan lagi maka ia akan menjadi pengeluaran kelima.
Sudah banyak wang untuk simpanan hari tua pekerja sudah dikeluarkan semasa pandemik sebelum ini dan sekiranya dibenarkan lagi, maka akan ada desakan lagi selepas ini hinggalah tiada apa yang tinggal untuk simpanan pekerja pada masa depan.
Ia berbeza ketika pandemik sebelum ini apabila pendekatan yang diambil kerajaan terdahulu bertepatan dengan situasi tatkala rakyat tidak dapat mencari rezeki.
Apa yang Tok Chey faham, jika kerajaan membenarkan lagi pengeluaran, KWSP akan berdepan masalah malah terpaksa bergelut untuk mencairkan segala aset pelaburan bagi mendapatkan tunai untuk diagihkan kepada pencarum.
Sudah pasti KWSP akan mengalami kerugian apabila terpaksa menjual aset-aset pelaburan mereka dalam keadaan bukan tempoh matang ataupun di bawah harga pasaran.
Malah, dilaporkan ada dalam kalangan penyimpan yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk hari persaraan mereka apabila telah membuat empat pengeluaran sebelum ini.
Namun, desakan supaya pencarum dibenarkan untuk mengeluarkan wang mereka secara bersasar iaitu bagi yang benar-benar susah telah dikemukakan beberapa kali oleh NGO yang memperjuangkan isu itu.
Mereka ada asas kepada desakan tersebut kerana masih terdapat ramai pekerja yang bergelut untuk meneruskan hidup ketika ini disebabkan masalah kos sara hidup yang makin meruncing dan harga barang makanan yang melambung dengan luar biasa.
Bagi yang mempunyai anak di bangku sekolah, beban kewangan makin bertambah apabila kos-kos seperti pengangkutan sekolah, tadika, peralatan persekolahan semuanya berlaku peningkatan ketara.
Sebelum Belanjawan 2023 dibentangkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada mengatakan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan lagi pengeluaran KWSP atas banyak sebab dan bagi mengatasi isu yang dibangkitkan rakyat, kerajaan katanya mempunyai alternatif untuk menyelesaikan isu itu.
Kata Anwar, alternatif tersebut akan dibentangkan semasa belanjawan dan apabila mendengarkan janji itu, rakyat agak lega kerana berasakan alternatif itu akan dapat menggantikan keperluan pengeluaran wang KWSP.
Rakyat juga yakin Anwar mampu untuk menyediakan alternatif itu kerana semasa menjadi pembangkang, Pakatan Harapan sememangnya tidak bersetuju dengan pengeluaran KWSP kerana ia melibatkan wang masa depan pencarum.
Pemimpin PH pada masa itu sering mengatakan pemerintah sepatutnya menggunakan wang kerajaan untuk membantu rakyat ketika dalam kesusahan sewaktu pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, setelah mendengar ucapan belanjawan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, tiada alternatif seperti mana yang digembar-gemburkan dapat menggantikan pengeluaran KWSP diumumkan kerajaan.
Apa yang Tok Chey nampak belanjawan kali amat tidak memberangsangkan dalam mengurangkan beban dan kos sara hidup terutama golongan pertengahan yang terkesan dengan pelbagai impak semasa.
Pengurangan peratusan cukai pendapatan yang diumumkan tidak dapat membantu secara menyeluruh seperti mana yang diharapkan bahkan tiada langkah konkrit untuk menurunkan harga bahan keperluan dibentangkan kerajaan.
Disebabkan itu, ramai dalam kalangan rakyat sudah hilang harap kepada kerajaan sekarang untuk menyelesaikan isu yang sedang membelenggu ketika ini.
Oleh itu, sama ada suka atau tidak, rakyat perlu mencari sendiri jalan penyelesaian kepada isu kos sara hidup sama ada melakukan lebih daripada dua kerja atau pun mengubah cari hidup 360 darjah agar dapat bertahan dalam situasi ekonomi yang mencabar ini.
Tidak boleh terlalu berharap dengan janji-janji kerajaan kerana semuanya hanya harapan kosong semata-mata!
Leave a Reply