SEORANG peguam yang sebelum ini menarik diri daripada mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dalam prosiding bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiayai remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella, dilantik semula.
Pelantikan semula peguam itu, Mohammad Farhan Maaruf, diberitahu oleh Siti Bainun dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Siti Bainun berkata, meskipun sudah memohon bantuan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk mendapatkan peguam baharu, pada masa sama dia tetap meminta bekas peguam bela untuk kembali mewakilinya.
“Apabila mendapat keputusan YBGK mengenai kelulusan permohonan mendapatkan peguam mereka, saya masih menunggu maklum balas peguam lama.
“Saya mengesahkan melantik peguam, Mohammad Farhan sebagai peguam, manakala baki empat lagi peguam tidak dilantik,” katanya lapor BH.
Sementara itu, Mohammad Farhan turut mengesahkan beliau dilantik semula oleh Siti Bainun, semalam, untuk mengendalikan kes perbicaraannya.
Sebelum ini, Mohammad Farhan ialah antara lima peguam yang menarik diri daripada mewakili Siti Bainun, selain Nur Ellena Mohamed Razif, Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor, Asiah Abd. Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan.
Januari lalu, media melaporkan Siti Bainun sebak apabila semua peguam daripada lima firma yang mewakilinya dalam kes itu, bertindak menarik diri.
Susulan itu, Izralizam memerintahkan Siti Bainun untuk melantik peguam baharu sebelum tertuduh memberitahu memohon peguam melalui YBGK tetapi memerlukan masa sebulan bagi meneliti kes.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan supaya prosiding bela diri Siti Bainun diteruskan dengan tertuduh membacakan penyataan saksi tanpa peguam bela.
Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun untuk membela diri atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiayai Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.