3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

TIGA termasuk seorang remaja maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Telok Kemang, Port Dickson, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu melibatkan kereta Toyota Camry dinaiki enam individu berusia 16 hingga 51 tahun dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

Beliau berkata kesemua yang maut adalah penumpang Toyota Camry iaitu R. Mogana, 35, M. Pangaja Valli, 51, dan S. Jagannatth, 16.

“Kemalangan berlaku apabila kesemua penumpang serta pemandu Toyota Camry yang berasal dari Ampang, Selangor itu dalam perjalanan ke sebuah kuil di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson manakala Toyota Hilux itu menuju ke Taman Intan Perdana untuk menyiapkan projek perumahan.

“Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda itu dipercayai melanggar belakang kereta terbabit menyebabkan tiga penumpang belakangnya tersepit dan maut di tempat kejadian dengan tiga yang lain mengalami patah tangan kiri serta tulang rusuk. Pemandu Toyota Hilux pula cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Aidi Sham berkata berdasarkan ujian saringan, pemandu pacuan empat roda itu didapati bebas daripada alkohol dan dadah, namun beliau ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *