Apabila firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Centre membentangkan hasil kajian mereka bahawa Anwar Ibrahim menjadi tokoh pilihan rakyat dengan kadar penerimaan 68 peratus, maka netizen melihat dapatan itu sebagai tidak munasabah.
Ditambah pula dengan hasil kajian mengatakan hanya 20 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar dan 24 peratus juga berpandangan sama terhadap prestasi kerajaan Perpaduan, ia jelas berbeza dengan realiti sebenar.
Jika diukur dengan bukti jelas yang berfakta, kajian itu hanya dijalankan melibatkan 1,209 responden – iaitu jika dibandingkan dengan nisbah populasi rakyat Malaysia, jumlah tersebut amatlah terlalu sedikit.
Sudah pasti ia sebenarnya satu kajian yang hanya mahu ‘membodek’ kerajaan pimpinan Anwar kerana jika dilihat kepada reaksi-reaksi pembaca media sosial, ramai yang mempertikaikan dapatan kajian itu dan tidak kurang juga yang menjadikannya bahan jenaka.
Tidak kurang juga yang mendakwa responden yang terpilih adalah mereka yang berada dalam golongan penyokong Pakatan Harapan dan mereka yang tidak terdedah kepada senario sebenar yang berlaku dalam negara.
Ini kerana, tidak dapat dinafikan bahawa sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, belum ada satu pun tindakan yang benar-benar dapat membuatkan rakyat berasa yakin dengan kepimpinan yang ada sekarang ini.
Apa yang rakyat nampak, kerajaan lebih berminat untuk fokus mencari salah parti pembangkang seperti menyiasat musuh politik sedangkan itu bukanlah apa yang rakyat mahukan daripada sesebuah kerajaan yang baru mendapat mandat rakyat selepas pilihan raya.
Sehingga kini, apa yang Tok Chey dapat rasakan, tiada satu pun keputusan kerajaan yang benar-benar memuaskan hati rakyat ketika ini bermula dari kos sara hidup, pendapatan rakyat, ekonomi, keselamatan, pembangunan, kesihatan, pendidikan dan macam-macam lagi isu yang berkisar dengan kehidupan rakyat.
Apabila bercakap mengenai isu kos sara hidup rakyat, hanya kenyataan-kenyataan retorik didengari tanpa satu strategi atau formula berkesan dapat direalisasikan membuatkan rakyat sangsi dengan kemampuan barisan kabinet yang ada.
Langkah untuk menstabilkan bekalan telur pun belum menampakkan hasil apabila isu itu masih berlarutan sehingga kini yang menimbulkan banyak kesulitan kepada peniaga atau usahawan yang banyak menggunakan bahan mentah berkenaan untuk perniagaan mereka.
Menu Rahmah yang tidak pasti berapa lama boleh bertahan kerana tidak menyelesaikan isu kos makanan di peringkat puncanya juga dipertikaikan rakyat kerana tidak menepati keperluan golongan berkeluarga yang selalu makan di rumah.
Menteri-menteri yang memegang portfolio penting seperti pendidikan pula masih terkial-kial dalam melaksanakan tugas apabila belum nampak sebarang hala tuju dalam mengangkat martabat pendidikan negara.
Isu silibus, infrastruktur sekolah dan masa depan murid tercicir belum mendapat perhatian sewajarnya hinggakan ibu bapa ternanti-nanti apa solusi yang akan dilaksanakan oleh menteri bertanggungjawab.
Soal kesihatan masih di takuk lama apabila bahagian kecemasan masih sesak, pesakit perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan belum menunjukkan tindakan efisien dalam memastikan khidmat kesihatan pada tahap memuaskan.
Integriti kerajaan pula masih dipertikai apabila Zahid Hamidi yang berdepan pertuduhan mahkamah berkaitan kes rasuah masih memegang jawatan timbalan perdana menteri dalam kerajaan Perpaduan.
Banyak lagi kelemahan kerajaan terpampang depan mata dan tidak dapat dinafikan yang jika disenaraikan satu persatu, akan membuka lebih banyak pekung pentadbiran kerajaan ketika ini.
Oleh itu, berdasarkan kepada apa yang berlaku, mana-mana firma penyelidikan perlulah lebih rasional dalam membuat kajian supaya setiap hasil yang diperolehi kelak tidak menjadi senjata makan tuan ataupun dilihat sebagai usaha untuk menutup kelemahan mana-mana pihak.
Bertindaklah dengan neutral supaya hasil dapatan kajian dapat dijadikan rujukan dan dihormati kerana ketelusan dalam memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat.
Leave a Reply