KEPUTUSAN sama ada penyampai radio Ismahalil Hamzah dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas, akan diketahui 27 Feb ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Ismahalil, maka dia akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya, lelaki itu dilepas dan dibebaskan.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh ketika dihubungi hari ini mengesahkan tarikh keputusan itu dan memaklumkan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijadual membacakan keputusan pada akhir kes pendakwaan itu pukul 9 pagi.
“Sebelum ini, perbicaraan berlangsung pada 19, 20 dan 31 Okt 2022, kemudian bersambung pada 3 dan 9 Jan lepas. Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah,” kata peguam itu.
Menurut peguam, mahkamah juga menetapkan 9 Feb ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis.
Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Leave a Reply