Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BEKAS Pengurus Felcra Berhad di Segamat didakwa di Mahkamah Seksyen Johor Bahru hari ini atas 33 pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan kerja di pejabat Felcra itu untuk syarikat saudaranya, pada 2021.

Tertuduh, Azman Tassrip, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengurus Kawasan Felcra Berhad Tebing Tinggi mendapatkan suapan kepada saudaranya dengan melantik syarikat miliknya sebagai kontraktor dengan nilai keseluruhan RM55,650.80.

Perbuatan itu dilakukan untuk melaksanakan kerja-kerja membina set perabot kayu di pejabat Felcra tersebut dengan bayaran RM2,000 pada 18 Mac 2021.

Tertuduh juga dituduh memberikan syarikat kontraktor milik saudaranya untuk membekalkan culvert dan meratakan jalan pertanian di pejabat Felcra itu dengan bayaran RM7,000 pada 18 dan 21 Mac 2021.

Dia turut didakwa mendapatkan suapan kepada syarikat kontraktor yang mana saudaranya mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan untuk membekalkan culvert dan menggali parit di pejabat Felcra itu berjumlah RM15,470 antara 5 Mei hingga 7 Julai 2021.

Lelaki itu juga didakwa menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk mendapatkan suapan kepada syarikat milik saudaranya bagi melaksanakan kerja membuat dan memasang ‘bomb gate’ di jalan masuk Paya Lebar dengan bayaran RM5,400 pada 28 April lalu.

Mengikut pertuduhan, dia juga dituduh melantik syarikat kontraktor milik saudaranya bagi melakukan kerja memotong dan meratakan tanah untuk tapak rumah di pejabat Felcra itu dengan bayaran RM14,000 pada 18 dan 21 Mac 2021.

Tertuduh juga didakwa menggunakan kedudukannya melantik syarikat kontraktor yang mana saudaranya mempunyai kepentingan bagi melaksanakan kerja melubang anak sawit di pejabat Felcra itu dengan bayaran RM6,890.80 antara 7 Februari hingga 14 Jun 2021.

Lelaki itu juga sebagai pegawai badan awam mendapatkan suapan bagi saudaranya bagi melakukan kerja membekal dan memasang pintu pagar besi dengan bayaran RM3,000 pada 17 Jun lalu.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Zander Lim Wei Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Syahrul Syazwan Salehin.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM40,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Februari ini bagi tujuan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here