PRESIDEN UMNO, Zahid Hamidi dan Timbalannya, Mohamad Hasan boleh menarik nafas lega apabila dua jawatan penting yang disandang mereka tidak akan digugat pada pemilihan UMNO yang akan datang.
Walaupun Zahid mengatakan ia adalah keputusan muktamad yang tidak boleh dicabar, tindakan tergesa-gesa untuk tidak mempertandingkan dua jawatan penting itu dilihat akan terus melemahkan UMNO.
Buktinya, terdapat perwakilan dan pimpinan UMNO yang membantah tindakan berkenaan dan tidak kurang juga mahu perkara itu disemak di peringkat Jabatan Pendaftar Pertubuhan kerana dianggap bertentangan dengan perlembagaan parti.
Di sebalik tentangan dari dalam UMNO sendiri, kesan yang paling menjadi perhatian ialah apabila rakan kerjasama baru iaitu DAP yang dipuji-puji UMNO kerana sikap berterus-terangnya, secara terbuka menyatakan kebimbangan mereka pergolakan dalam UMNO akan menyusahkan PH.
Kenyataan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang mengatakan Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebagai beban bukan sahaja kepada parti itu tetapi PH, menunjukkan yang DAP makin tidak selesa dengan keberadaan UMNO-Zahid dalam gabungan itu.
Dari kaca mata Tok Chey, DAP cukup bimbang imej yang dibawa oleh Zahid yang pernah digelar sebagai kluster mahkamah oleh pimpinan PH sebelum ini akan mengheret PH bersama-sama kepada keruntuhan.
Mereka bimbang PH dilabel berpura-pura melaungkan agenda reformasi untuk membebaskan rasuah tetapi secara terang-terangan bersama-sama pemimpin yang sedang membela diri dengan pertuduhan kes rasuah.
Ketidakpuasan hati pimpinan dalam PH nampaknya tidak dapat dibendung lagi apabila pemimpin senior PKR, Hassan Karim pula mengulangi fakta yang pernah ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Fakta itu ialah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 33A(1) yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan.
Agong pun tertakluk undang-udang, inikan pula pemimpin biasa. Maka sudah pasti menjadi persoalan Zahid yang kini bukan sahaja didakwa tetapi sudah di peringkat perlu membela diri atas pertuduhan rasuah dan pecah amanah dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Begitu juga dengan peraturan terhadap penjawat awam yang perkhidmatan akan digantung hingga kes selesai jika didakwa di mahkamah atas sesuatu kesalahan jenayah, tetapi berbeza dengan Zahid apabila dilantik menjadi anggota pentadbiran kerajaan.
Tok Chey lihat setakat ini belum ada hulubalang UMNO yang tampil membela Zahid ataupun membidas pemimpin DAP dan PKR berhubung isu berkenaan sama ada tidak mahu memanjangkan polemik ataupun mereka bimbang akan menjejaskan hubungan mereka yang tidak seberapa kukuh itu.
Pemimpin BN juga dilihat lebih fokus untuk menggunakan pelbagai isu bagi menyerang pemimpin Perikatan Nasional walaupun pada masa ini, imej Presiden mereka sedang diserang dengan teruk oleh rakan mereka dalam PH.
Pada masa sama, apa yang Tok Chey perasan, di peringkat bawahan dan akar umbi, penyokong PH juga bimbang dengan keberadaan Zahid dan UMNO dalam PH kerana walau apa keadaan sekalipun, mereka akan sama turut terpalit apabila turut dilabel sebagai penyokong kluster mahkamah.
Oleh itu, Tok Chey berasakan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini akan menjadi satu-satunya petunjuk suara hati rakyat situasi politik semasa adakah rakyat bersetuju dengan jajaran baru politik BN-PH atau pun sebaliknya.
Sama-sama kita nantikan sama ada PH mampu mengekalkan kerusi mereka, ataupun hilang dengan drastik di tangan PN yang berjaya mencetuskan gelombang hijau pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
Leave a Reply