Rempuh kerbau, dua penunggang motosikal maut

DUA lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggangi merempuh kerbau dalam dua kejadian berasingan di Pekan, awal pagi semalam.

Mangsa ialah Mohd Azlan Abdul Aziz, 42 dan Muhammad Syafiq Al-Syahmi Suhaime, 18, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, dalam kejadian pertama di Kilometer 4 Jalan Pekan-Batu Balik, pada pukul 12.20 pagi itu, Mohd Azlan dalam perjalanan dari arah Batu Balik menghala ke Pekan.

Katanya, siasatan mendapati apabila tiba di tempat kejadian, mangsa terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan sebelum terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, dalam kejadian kedua di Kilometer Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di sini, Muhammad Syafiq Al-Syahmi meninggal dunia selepas terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan pada jam 2 pagi.

Katanya, penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Taman Permata ke bandar Pekan.

“Penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *