SEORANG bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Taiping hari ini selepas mengaku salah menipu dengan menyamar sebagai peguam, Ogos lalu.
Majistret Nur Atiqah Sapari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, P. Maniarasan, 28, membuat pengakuan tersebut, lapor Astro Awani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdaya kononnya dia seorang peguam bertauliah yang menjanjikan khidmat perundangan tidak wujud sehingga mendorong mangsa memberikan wang RM2,234 secara pindahan ke akaun bank.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu individu sama dengan mendorongnya memberikan wang tunai RM882, kedua-dua kesalahan itu dilakukan pukul 1.51 petang pada 12 Ogos dan 5 petang, 8 Ogos lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara 18 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.
Majistret Nur Atiqah Sapari bagaimanapun memerintahkan hukuman tersebut dijalankan serentak bermula Khamis lalu.
Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas tuduhan mencuri dua utas rantai milik dua wanita dalam bangunan yang dijadikan tempat kediaman di Jalan Azizul Rahman, Ipoh, antara pukul4 petang pada 2 Mei hingga 3 pagi, 5 Mei lalu.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara satu tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 23 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala Maniarasan diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), T Selva.
Leave a Reply