IKRAR barangan dagangan sebagai tuala, filem plastik, bahan seramik, tisu basah dan rokok, namun sebenarnya mengandungi rokok dan barangan elektrik.

Itu taktik sebuah syarikat pengimport sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad berpangkalan di Kuala Lumpur yang cuba menyeludup barangan tersebut dengan RM1.54 juta bagi mengelak duti serta cukai keseluruhan berjumlah RM5.34 juta.

Bagaimanapun, cubaan syarikat terbabit berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam dua pemeriksaan berasingan pada 21 dan 22 November lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, pemeriksaan pertama dibuat kira-kira pukul 1.15 petang pada 22 November ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor dengan dibantu Unit Kawalan Kontena (CCU) Pelabuhan Klang.

Katanya, pemeriksaan ke atas kontena itu menjumpai sebanyak 7.8 juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam di dalam 788 kotak yang dianggarkan bernilai RM630,400 dengan nilai cukai berjumlah RM5,049,504.

Jelassnya, siasatan awal mendapati, kontena itu dipercayai dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

“Modus operandi yang digunakan dalam kes ini adalah dengan membuat pengikraran tidak benar pada Borang Manifes (K4) iaitu mengikrar dagangan sebagai tuala, filem plastik, bahan seramik, tisu basah dan rokok.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati, dagangan sebenar yang dipercayai berasal dari sebuah negara di Asia Timur itu merupakan bahan seramik, tisu basah serta rokok yang tidak memiliki permit import,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam selain mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, bagi dakwaan cuba mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 pula boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu katanya, kes kedua pula dikesan kira-kira pukul 4 petang 21 November susulan penahanan sebuah kontena di Pangkalan Kontena Butterworth Utara oleh sepasukan anggota Kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan, Pulau Pinang.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kontena itu menjumpai sejumlah 1,300 unit lengkap periuk aruhan (induction cooker) yang disyaki tidak berkastam dianggarkan bernilai RM910,000 serta cukai berjumlah RM291,200.

“Siasatan mendapati kontena itu dipercayai telah diimport oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan seorang lelaki berusia 54 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan,” katanya.

Ujar beliau, modus operandi kes itu adalah dengan membuat pengikraran palsu di dalam Borang Kastam 1 (K1) iaitu mengikrar dagangan sebagai 32 bahagian berbeza periuk aruhan yang belum siap pasang yang mana item-item yang diikrarkan itu mendapat manfaat daripada pengecualian cukai penuh serta tidak memerlukan lesen import.

Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membuat perakuan palsu dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang tak berkastam.

Ujar beliau, bagi kesalahan membuat perakuan palsu, denda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh tujuh tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan mengimport barang tidak berkastam pula boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000, mana yang lebih besar, dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here