Oleh RIZQI ZABIDI
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya berpolitik secara murahan apabila secara membuta tuli membuat spekulasi murahan apabila cuba mengaitkan Pas dengan wang dari syarikat perjudian.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, sebagai seorang Menteri Kewangan, Anwar sepatutnya mempunyai akses terus kepada maklumat berhubung perkara itu dan boleh terus mengemukakan bukti berkaitan.
Namun, Anwar memilih untuk bermain wayang dan tindakan itu disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan.
“Sepatutnya Perdana Menteri memfokuskan kepada pembangunan negara selain mempersiapkan Malaysia bagi menghadapi ketidak tentuan ekonomi yang dijangka bakal berlaku tahun depan.
“Bila masanya beliau hendak betul-betul membantu rakyat jika banyak masa dihabiskan dengan terkinja-kinja membuat spekulasi tidak berasas?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, Anwar hanya merendah-rendahkan peranan Perdana Menteri dengan bermain spekulasi murahan yang tidak benar.
“Ke mana dibuang prinsip-prinsip anti kleptokrasi dan anti kluster mahkamaha yang dilaungkan Anwar dan DAP? Sudah dibuang ke tong sampah agaknya.
“Semua tindakan hanya dilakukan bagi mengaburi mata rakyat demi mencapai cita-cita meskipun tidak mendapat sokongan secukupnya,” katanya.
Tambahnya, ketika ini Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang mengecapi saat manis tanpa menyedari rakyat Malaysia cukup meluat dan muak dengan lakonan pimpinan kedua-dua gabungan berkenaan yang tidak tahu melaksanakan kerja ibarat tikus membaiki labu.
“Janji kepada rakyat tidak ditunaikan sebaliknya negara semakin rosak kerana pemimpin lalang yang tidak berprinsip, kleptokrasi dan gila kuasa,” katanya.
Leave a Reply