Oleh RIZQI ZABIDI
SEBANYAK 35 ketulan mampat ganja ditemukan dalam serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah bengkel dekat Pekan Changlun, Kubang Pasu pada Ahad lalu.
Pengarah Kastam Negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, kesemua dadah tersebut ditemukan dalam empat kotak putih yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.
Katanya, nilai keseluruhan kesemua dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM142,000.
“Serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan rapi dijalankan selama dua minggu.
“Susulan itu, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 50-an ditahan dan direman hinngga 9 Disember depan bagi membantu siasatan manakala kenderaan tersebut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, dadah tersebut disyaki disorokkan dalam kenderaan di bengkel tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati.
“Orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak terlibat dengan kegiatan sedemikian. Penyeludupan tidak hanya merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam di nombor 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Leave a Reply