Tag: Kastam

  • 35 ketulan mampat ganja bernilai RM142,000 disorok di bengkel kenderaan

    35 ketulan mampat ganja bernilai RM142,000 disorok di bengkel kenderaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 35 ketulan mampat ganja ditemukan dalam serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah bengkel dekat Pekan Changlun, Kubang Pasu pada Ahad lalu.

    Pengarah Kastam Negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, kesemua dadah tersebut ditemukan dalam empat kotak putih yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.

    Katanya, nilai keseluruhan kesemua dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM142,000.

    “Serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan rapi dijalankan selama dua minggu.

    “Susulan itu, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 50-an ditahan dan direman hinngga 9 Disember depan bagi membantu siasatan manakala kenderaan tersebut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, dadah tersebut disyaki disorokkan dalam kenderaan di bengkel tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati.

    “Orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak terlibat dengan kegiatan sedemikian. Penyeludupan tidak hanya merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

    Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam di nombor 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat di semua negeri.

    “Pihak JKDM memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

  • Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah merampas dua kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 23 Ogos lepas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena dalam serbuan pada 5 hingga 6.30 petang itu menemukan keseluruhan 42,630.66 liter minuman keras jenama Knight General, Tsingtao dan China Liquor dianggar bernilai RM334,810.

    Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diisytiharkan dalam borang kastam, dagangan itu dinyatakan sebagai ‘Nut and Washer’ dan ‘Bolt Washer’ dari negara jiran.

    “Kedua-dua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Ejen atau wakil penghantaran bagi sebuah kontena telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya di sini hari ini.

    Beliau berkata pihaknya percaya minuman keras itu dibawa dari Timur Tengah selain tidak menolak penglibatan sindiket atau kongsi gelap dalam kes berkenaan.

    Menurut Mohammad Sabri, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan elak cukai bernilai lebih RM210 juta melibatkan 911 kes sejak Januari hingga 26 Ogos lepas dengan 75 peratus daripadanya adalah rokok dan minuman keras.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tampil membantu membanteras penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.- BERNAMA

  • Cuba seludup RM7.35 juta rokok dengan isytihar produk cendawan dalam tin

    Cuba seludup RM7.35 juta rokok dengan isytihar produk cendawan dalam tin

    TAKTIK sindiket yang cuba menyeludup masuk rokok dipercayai dari negara Asia Timur dengan mengisytiharkannya produk cendawan di dalam tin gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

    Dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor pada1 Ogos lalu itu, sebanyak 10.2 juta batang rokok putih tidak berkastam dianggarkan bernilai lebih RM7.35 juta termasuk nilai cukai yang dimuatkan di dalam kontena berjaya dirampas.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Ramli berkata, kontena itu ditahan di pelabuhan terbabit dalam operasi kira-kira pukul 1.10 petang.

    Ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati rokok putih terbabit dimuatkan di dalam sebanyak 1,021 ‘MasterCase’ melibatkan nilai anggaran RM816,000 dan cukai berjumlah RM6,542.568.

    “Modus operandi yang digunakan penyeludup adalah dengan mengisytiharkan kontena terbabit sebagai kargo cendawan tin untuk mengelak daripada dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport syarikat berstatus sendirian berhad beralamat di Kuala Lumpur.

    Ujarnya, sindiket penyeludupan itu juga cuba mengelirukan pihak berkuasa berhubung maklumat pengirim (consignor) dan penerima sebenar.

    “Malah, kewujudan syarikat turut diragui kerana semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat itu adalah nomad,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1) (g) akta sama serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

  • Taktik sorok rokok seludup lebih RM500,000 dalam van terbongkar

    Taktik sorok rokok seludup lebih RM500,000 dalam van terbongkar

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai lebih RM500,000 termasuk cukai yang dipercayai disimpan oleh kumpulan penyeludup di dalam sebuah van yang diletakkan di sebuah lorong kampung, di Kota Bharu, empat hari lepas.

    Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, pasukan operasi bahagian penguatkuasaan JKDM Kota Bharu menemukan 82 kotak yang mengandungi 671 batang rokok pelbagai jenama itu selepas memeriksa van berkenaan dalam serbuan Ops Benteng, pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

    “Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM98,650 dengan nilai cukai sekitar RM452,725…kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Bongor, di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, risikan pihaknya mendapati penyeludup sengaja menjadikan kenderaan yang ditinggalkan sebagai tempat simpanan rokok seludup untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sebelum diedar kepada pelanggan.

    Sementara itu, Mohd Nasir berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini 183 kes rokok seludup dikesan melibatkan rampasan 11 juta batang rokok bernilai kira-kira RM1.5 juta dengan nilai cukai dianggarkan RM7.4 juta.

    Beliau berkata, 22 individu ditahan dan didakwa di mahkamah bersabit dengan kegiatan itu. – BERNAMA

  • Rasuah: Empat pegawai kastam dipenjara dua tahun

    Rasuah: Empat pegawai kastam dipenjara dua tahun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Empat pegawai kastam dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini setelah didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM22,000, dua tahun lalu.

    Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap  Kamaruzaman Hashim, 41, Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 34, Saiful Azhar Ismail, 35, dan Muhamad Izrul Ismail, 30, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Mengikut pertuduhan, kesemua pegawai kastam berkenaan didakwa dengan niat bersama menerima wang sebanyak RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit berusia 69 tahun yang menyimpan rokok dan mercun belum lulus kastam.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Namek Tua, Sik, kira-kira pukul 6.30 petang pada 21 Mei 2019.

    Tertuduh pertama, Kamaruzaman selain itu turut disabitkan dengan satu lagi kesalahan kerana menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada menantu warga emas tersebut sebagai ganjaran untuk tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap bapa mentuanya itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.49 petang pada tarikh dan lokasi sama.

    Bagi kesalahan tersebut, Hakim turut memerintahkan agar Kamaruzaman dipenjara 24 bulan dan hukumannya akan berjalan serentak dengan pertuduhan pertama.

    Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairul Nizam Abu Bakar mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 sementara kesemua tertuduh pula diwakili peguam, Rosman Azwan Osman.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan agar hukuman tersebut ditangguhkan, sementara menanti keputusan Mahkamah Tinggi.

    Begitu pun mahkamah menetapkan kadar jaminan yang sebelum ini berjumlah RM2,000 pada tempoh perbicaraan, dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin dan kesemua tertuduh perlu melapor diri di pejabat JKDM terdekat pada minggu pertama setiap bulan hingga kes selesai.

  • Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan mengedar 28 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1 juta hasil serbuan di Puchong, Selangor pada 13 Sept lepas. 

    Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Kastam menahan sebuah kereta Proton Saga di tempat letak kereta berhadapan sebuah hotel yang dinaiki dua lelaki.

    Menurutnya, semasa pemeriksaan itu, pemandu kereta bertindak memecut kereta dan melanggar kenderaan pegawai kastam sebelum kedua-dua mereka keluar melarikan diri apabila tiba di tengah jalan di Jalan Bandar, Puchong.

    “Bagaimanapun, anggota kastam berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai manakala seorang lagi rakannya melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan itu menemukan dua beg galas di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih dadah jenis methamphetamine dengan kereta berkenaan disyaki hasil curi,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.

    Abdul Latif berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam beg yang diletakkan dalam bonet kenderaan selain menggunakan kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu serta sentiasa menukar kenderaan lain bagi mengelakkan mereka dikesan.

    Beliau berkata siasatan juga mendapati bekalan dadah itu bukan untuk pasaran tempatan tetapi dihantar ke Indonesia melalui jalan laut.

    Susulan kes berkenaan, beliau berkata empat lagi lelaki dalam lingkungan 27 hingga 31 tahun termasuk seorang yang melarikan diri semasa serbuan pertama turut ditahan di lokasi berasingan Isnin lepas.

    “Dua ditahan di Gua Musang, Kelantan, seorang di Klang, Selangor dan seorang lagi ditahan ketika memberi keterangan di Cawangan Narkotik JKDM di sini, hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Katanya, suspek pertama warga Indonesia direman 14 hari bermula 14 Sept mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama manakala permohonan reman turut dibuat terhadap empat suspek lain bagi membantu siasatan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM merampas sebanyak 16,000 kg dadah jenis amphetamine membabitkan nilai berjumlah RM5.2 bilion, methaphetamine, 624 kg (RM22.5 juta), ketamin 2.6 kg (RM124,160), heroin 3.9 kg (RM337,569) sejak Januari lepas.

    Jelasnya, bagi rekod penahanan pula, sehingga kini 14 orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan tujuh orang kena tuduh (OKT) dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.- BERNAMA

  • Kastam rampas 9 juta batang rokok di Pelabuhan Utara

    Kastam rampas 9 juta batang rokok di Pelabuhan Utara

    SEBANYAK sembilan juta batang rokok bernilai kira-kira RM900,000 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ketika cuba diseludup di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, bulan lepas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata hasil rampasan daripada penahanan sebuah kontena itu melibatkan jumlah duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM6.03 juta. 

    “Kontena tersebut telah diikrar sebagai ‘Garments’ bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak Kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. 

    Beliau berkata orang ramai diminta membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – BERNAMA

  • Kastam gagalkan cubaan seludup produk tembakau, beras putih di Pelabuhan Barat

    Kastam gagalkan cubaan seludup produk tembakau, beras putih di Pelabuhan Barat

    JABATAN Kastam Zon Tengah (Kuala Lumpur) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah produk tembakau disyaki cerut berjenama dan beras putih menggunakan kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, 5 Ogos lepas.

    Penolong Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata barangan dagangan dalam kontena bersaiz enam meter berkenaan dianggarkan bernilai RM101,175 dengan melibatkan cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM2.6 juta.

    Beliau berkata barangan dagangan itu dipercayai tidak berkastam dengan produk tembakau serta beras putih itu masing-masing memerlukan permit import daripada Ketua Pengarah Kastam dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras untuk mengimportnya.

    “Berdasarkan maklumat di dalam bil muatan, dagangan berkenaan diikrarkan sebagai ‘general merchandise’ dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan itu.

    “Pemeriksaan fizikal telah dibuat dan mendapati dagangan yang ditemukan adalah berbeza seperti yang dinyatakan iaitu produk tembakau yang disyaki cerut dan beras putih yang dipercayai tidak berkastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zazuli berkata pihaknya sedang mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya manakala wakil syarikat perkapalan telah hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, katanya.- BERNAMA