KERAJAAN berfahaman kiri gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang wujud kini mula menunjukkan kesan apabila kumpulan-kumpulan aliran kiri yang anti perdagangan sudah mula lantang.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat perlu peka berhubung perkara itu dan jika kerajaan PH-BN memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan tersebut, ia merupakan satu lagi bukti penularan fahaman sosiopolitik kiri di Malaysia.

Sebagai contoh kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, kumpulan itu baru-baru ini mahukan kerajaan PH-BN menarik diri daripada perjanjian perdagangan bebas antarabangsa yang dikenali sebagai ‘Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership’ (CPTPP).

Tambahnya, kumpulan-kumpulan itu lantang semula kerana tahu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cenderung ke arah kiri.

“Salah satu elemen dalam falsafah ekonomi kiri ialah sikap anti perdagangan terbuka dan anti ekonomi pasaran.

“Mereka berselindung di sebalik pelbagai hujah seperti perlukan libat urus, perlukan kajian, mahu elak berat sebelah, dan sebagainya.

“Tetapi ini semua adalah alasan ciptaan sahaja. Sebenarnya semua alasan ini sengaja dicipta untuk menutup hakikat bahawa sikap mereka itu berakar umbi dari falsafah ekonomi kiri yang anti perdagangan terbuka dan anti ekonomi pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Saiful, Malaysia dibina sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai sebuah negara perdagangan dan pasaran ekonomi berkembang kerana aktiviti perdagangan domestik dan antarabangsa.

Sehubungan itu kata beliau, tindakan pentadbiran sebelum ini meratifikasi CPTPP adalah tindakan yang tepat yang mana CPTPP dijangka memberi akses ke pasaran baru seperti di Mexico, Peru dan Kanada.

“Dengan adanya CPTPP, nilai jumlah perdagangan Malaysia dijangka meningkat ke RM3.05 trilion pada 2030, manakala eksport Malaysia akan mencecah RM1.65 trilion pada 2030.

“CPTPP akan memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat, termasuklah kepada rakyat Tasek Gelugor yang mana saya adalah Ahli Parlimen mereka,” katanya.

Tambah beliau, ramai warga Tasek Gelugor bekerja di kawasan perindustrian dan kemasukan pelaburan baharu, perpindahan teknologi baharu, dan peluang mempertingkat kemahiran tenaga kerja melalui CPTPP, sudah pasti akan membolehkan warga Tasek Gelugor mendapat pendapatan lebih tinggi di masa depan.

“Inilah manfaat daripada perdagangan dan sistem ekonomi pasaran. Jika penyertaan Malaysia dalam CPTPP dibatalkan, yang rugi bukan saja warga Tasek Gelugor, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, kerajaan harus menolak desakan keluar daripada CPTPP dan pentadbiran negara mestilah dipacu berdasarkan fakta dan kajian, bukan berdasarkan ideologi kiri yang dianuti oleh PH-BN dan kumpulan penyokong PH-BN semata-mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here