Dewan Pemuda Pas sindir Kabinet ‘Reformasi’ Anwar

DEWAN Pemuda Pas hari ini menyindir barisan Kabinet kerajaan perpaduan yang baru mengangkat sumpah semalam yang disifatkan pergerakan itu cukup mantap dan menyerlahkan semangat reformasi dengan memberikan ‘kelegaan dan kegembiraan’ kepada rakyat khususnya pengundi Pakatan Harapan (PH).

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, reformasi terbesar Kabinet baharu itu adalah pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi, sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Pelantikan ini selaras tawaran kedua dalam 10 Manifesto PH, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi.

“Selain itu, Kabinet ‘Reformasi’ ini juga turut dianggotai (Naib Pengerusi Kebangsaan DAP) Nga Kor Ming, pemimpin DAP ekstrim yang masyhur dengan ceramah berbaur perkauman, sebagai Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan.

“Ini bukti PH sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman. Dengan pelantikan ini, hasrat DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kesemua 27 menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara semalam.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, kejayaan paling besar Kabinet ‘Reformasi’ itu apabila PH bertindak tidak meletakkan semula menteri-menteri mereka yang dicanang sebagai kejayaan dan kebanggaan Kabinet PH pada 2020.

“Contohnya, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai Menteri Kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen berkenaan yang kalah dilantik pula menjadi menteri .

“Pemuda Pas mengucapkan tahniah atas pembentukan Kabinet ‘Reformasi’ ini. Pas akan terus memainkan peranan kami semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa yang akan menyemak imbang setiap tindak tanduk kerajaan campuran PH, BN ini!,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *