PENYANYI veteran, Datuk DJ Dave membuat laporan polis selepas mendapati seorang lelaki menggunakan gambarnya sebagai profil dalam aplikasi WhatsApp bagi tujuan meminjam wang.

Menurut DJ Dave, 75, beliau sudah menerima lebih 100 panggilan telefon daripada kenalan yang dikatakan hampir terkena dengan sindiket penipuan terbabit.

“Ingin saya maklumkan ada seorang lelaki yang menyamar sebagai saya, menggunakan gambar profil WhatsApp, kononnya untuk meminjam wang dari anda. Harap berhati-hati.

“Saya sudah membuat laporan polis berkenaan isu ini dan mengharapkan kes seperti ini tidak berulang atau berlaku kepada orang lain,” katanya.

DJ Dave yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mengakui terkejut dan dengan tidak menyangka perkara sebegitu terjadi pada dirinya.

“Sebelum ini, saya ada mendengar daripada rakan-rakan mengenai ‘scammer’ ini, tetapi tidak sangka terjadi pada saya.

“Saya terkejut kerana gambar yang digunakan sememangnya gambar profil saya. Jadi, saya terus tukar kepada gambar lain,” katanya, lapor Berita Harian.

Sementara itu, DJ Dave menasihati kenalan untuk terus menghubunginya sekiranya masih ada yang menerima mesej sedemikian.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak terbabit dan sekiranya masih ada yang menerima hantaran WhatsApp, sila hubungi saya atau pengurus dengan segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here