SEORANG jurukimpal didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras di Kajang, minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Chin Ngit Soon, 51, yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Chin didakwa membunuh Wong Kim Miew, 71, pada 11.50 malam, 25 Nov lepas.

Majistret Syahrul Sazly Md Sain menetapkan 13 Jan ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala Chin tidak diwakili peguam.

Pada 26 Nov lepas, media melaporkan Chin dan isterinya berumur 45 tahun ditahan di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur kira-kira 1.30 pagi selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan hospital itu berhubung seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian badan dan paha akibat ditikam. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here