MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 15 hari mulai 12 Mei untuk mendengar kes Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes hari ini.

Selain 12 Mei, tarikh pendengaran lain termasuk 28 dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos; serta 7 dan 8 Sept.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 15 orang saksi.

Lapor Free Malaysia Today, peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent berkata, pihak pembelaan tidak akan memeriksa balas saksi rasmi dengan panjang lebar.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau sebelum ini gagal dalam permohonan untuk menggugurkan Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram ini atas alasan wujudnya kemungkinan berat sebelah. Rayuan terhadap keputusan itu sedang berjalan di Mahkamah Rayuan.

Zaini ialah hakim yang sebelum ini mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion pada 1 Sept.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmah bagi setiap tiga tuduhan, dengan semua hukuman berjalan serentak.

Rosmah turut didenda RM970 juta yang jika gagal dibayarnya, hukuman penjara akan ditambah 10 tahun lagi, selepas tamat hukuman asal 10 tahun.

Dia telah dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here