PERBUATAN dua lelaki yang mencuri motosikal jenis Honda Wave Alpha di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang untuk dijual di negara jiran pada harga hanya RM1,000 tumpas selepas mereka ditahan polis minggu lalu.

Kedua-dua suspek lelaki warga tempatan itu ditahan pasukan khas yang ditubuhkan selepas polis menerima sebanyak 10 laporan kecurian motosikal khususnya membabitkan model Honda Wave Alpha di kawasan parkir stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Mertajam dan Bukit Tengah antara Jun hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek pertama berusia 46 tahun ditangkap ketika berada di Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 6.25 petang, 23 November lalu.

Jelas beliau, suspek kedua berusia 41 tahun ditahan ketika berada berhampiran stesen bas di Butterworth tiga hari kemudian.

Ujarnya, hasil soal siasat mendapati, sindiket itu hanya menyasarkan motosikal jenis Honda Wave Alpha di stesen-stesen KTMB, pasar awam dan hospital sebelum dicuri, diseludup dan dijual ke negara jiran.

“Dalam operasi sama, kita turut merampas dua buah motosikal, peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan itu selain beberapa dokumen yang digunakan untuk merentasi sempadan negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Tambah beliau, dengan tertumpasnya sindiket itu, polis percaya turut dapat menyelesaikan antara 87 kes kecurian motosikal yang diterima setakat ini iaitu 30 kes di sekitar Pulau Pinang dan selebihnya di Kedah.

Ujar beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun selain dikenakan denda.

“Tempoh reman kedua-dua suspek turut dilanjutkan sehingga 4 Disember ini dan suspek pertama mempunyai 29 kes lampau berkaitan jenayah selain tiga kes berkaitan dadah manakala suspek kedua memiliki sembilan kes jenayah lampau.

“Ujian air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun didapati bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.

Difahamkan, motosikal curi yang diseludup ke negara jiran itu dijual kepada orang tengah atau orang persendirian untuk kegunaan harian termasuk bagi menjalankan kerja-kerja ladang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here